— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 25, 2012
25 MEI — Bergiat dalam politik hari ini merupakan satu aktiviti yang bukan sedikit seriknya. Politik tanahair hari ini merupakan politik yang paling getir sekali yang belum pernah kita alami selama ini. Bahangnya panas terik dan ianya hanya boleh digiatkan oleh mereka yang benar-benar yakin dan menjadikan keyakinan mereka itu sebagai penambahan kepada tenaga yang dikeluarkan oleh penggiat politik.
Saya sendiri telah berehat daripada bergiat selama lebih dari satu dekad dengan menghabiskan masa di rumah dan kadang-kadang pergi melihat di tempat-tempat yang belum saya lawati. Selama saya berehat itu saya tidak dihubungi oleh mana-mana pemimpin Umno walaupun saya pernah bersahabat dengan mereka.
Tetapi saya tidak pernah putus hubungan dengan kawan-kawan yang berada di strata bawah parti Umno dan jumlah kenalan saya yang saya kenali dengan rapat adalah ribuan jumlahnya di seluruh negara. Setelah saya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan saya dengan Umno, saya telah mengambil keputusan untuk berfikir di luar kotak dan menyertai DAP pada 8hb Januari yang lalu.
Saya menyertai DAP setelah berfikir dan melakukan introspeksi yang mendalam selama bertahun lamanya. Saya berfikir kerana jika saya menyertai parti itu tentulah kerana saya bersetuju dengan perjuangannya dan akan bersamanya buat selama-lamanya. Saya katakan kepada ahli keluarga saya serta sahabat-sahabat akrab saya, ‘that I am going to grow old together with DAP’. Saya impikan untuk bersama sebuah parti politik yang mempunyai intergriti yang tinggi dan mengutamakan ‘rule of law’ serta memperjuangkan sebuah kerajaan yang mempunyai ‘governance’ yang tinggi.
Saya telah nampak dengan jelas bahawa DAP adalah parti yang penuh dengan disiplin, berintergriti, menghormati undang-undang dan mendukung semua yang tertulis di dalam perlembagaan persekutuan kita. Saya tidak boleh dipengaruhi oleh momokan Umno dan media arus perdana kerana saya menumpukan kepada mengasah pemikiran yang tidak boleh dipengaruhi oleh unsur-unsur jahat dan negatif apatah lagi jika momokan itu datangnya dari Umno sendiri. Continue reading “Perubahan tetap akan berlaku, yang penting bersabar”