PAS, ‘GU’ dan politik realistik

– Huzaifah Ahmad Yamani
The Malaysian Insider
4 March 2015

Dalam kamus ada satu istilah disebut realisme. Makna mudahnya, fahaman yang berpijak di bumi nyata. Apabila seseorang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan, kita memanggilnya realistik. Misalnya, apabila kita berjimat cermat dek kerana kenaikan harga minyak dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), ertinya kita seorang yang realistik. Dunia realisme perlu difahami, termasuklah dalam dunia politik.

Apa yang menjadi perdebatan dalaman PAS, antara golongan GU – Erdogan atau sebut sajalah apa pun namanya, bagi saya bertitik tolak dari ‘realisme politik’ inilah. Satu pihak masih mahu mempertahankan ‘status quo’, dan satu pihak lagi mahu berubah dan menjadi ‘realistik’ dengan keperluan zaman.

Nah, ada beberapa persoalan ingin saya ajukan. Satu, salahkah PAS berubah dan menjadi realistik? Dua, apa ‘status quo’ PAS yang sebenarnya? Tiga, antara kumpulan GU – Erdogan ini, mana lebih diperlukan dalam dunia politik Malaysia?

Satu, saya yakin 100% berubah itu tidak salah. Malah, kita disogokkan dengan ajaran Islam Allah dan Rasul-Nya juga meraikan perubahan. Kekal dalam ‘status quo’ atau kejumudan yang merugikan diri, adalah sangat ditegah. Malah, orang yang berusaha berubah, mereka bakal mewarnai kejayaan. Pepatah Melayu pun memberi petua dan ibarat, misalnya ‘jika ruyung tidak dipecahkan, bagaimana sagu bisa dimakan?’ Ertinya, perubahan perlu dijana, diusahakan baru boleh dikecapi.

Al-Quran sendiri dalam beberapa ayat menyuruh manusia berubah, antaranya dalam surah al-Ra’d ayat 11: Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka sendiri berusaha mengubahnya. Qada atau ketentuan dan pelaksanaannya itu milik Allah. Dalam bicara ilmu tauhid, qada boleh berubah dengan kehendak Allah. Maka, manusia wajib berubah, dari negatif kepada positif, dan di sana menjadi asbab Allah mengubah nasibnya.

Saiyidina Umar al-Khattab sendiri ada menyatakan, didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka, kerana mereka dilahirkan bukan di zaman kamu. Ertinya, perubahan diri bagi menghadapi arus zaman yang terus berubah itu hakikatnya satu keperluan. Maka, bagi saya PAS wajar berubah. Ini zaman ‘realistik’, bukan ‘retorik’ atau zaman di mana, PAS menang sorak di medan ceramah, tapi kalah di medan pilihan raya termengah-mengah.

Dua, apakah ‘status quo’ PAS yang sebenarnya? Bagi saya, ‘status quo’ PAS ialah, sebuah parti Islam yang dasarnya Al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas. Empat elemen itulah dasar PAS dan itu jugalah ‘status quo’ PAS. Kempimpinan dalam PAS bukanlah ‘status quo’. Dulu, yang memimpin PAS bukanlah ulama, namun dasarnya sama. Jika ulama sekali pun memimpin PAS, namun melanggar 4 dasar dan ‘status quo’ PAS, maka dia akan terkeluar dari PAS.

Maka, dalam perkelahian – GU vs Erdogan – apakah geng Erdogan ini menolak dan mengganggu gugat ‘status quo’ PAS? Saya melihat tidak ada gangguan langsung. Sebaliknya geng Erdogan ini dilihat sangat konsisten dengan apa yang ada, dan mereka hanya berbicara isu dan soal pendekatan, bukan dasar. Mereka meyakini, PAS di dalam PR lebih baik berbanding PAS di luar PR. Tidak ada satu kenyataan pun mereka untuk mengetepikan dan mengecilkan ‘status quo’ PAS.

Jika pihak GU menganggap mencabar status presiden PAS sebagai menggugat ‘status quo’, maka jelas pihak GU sudah melakukan kesalahan. PAS mengamalkan demokrasi dalam pemilihan pemimpin. Jika presiden tidak bisa dicabar, maka ia bukan lagi demokrasi. PAS meniru Umno, yang enggan mempertandingkan dua jawatan tertinggi partinya sendiri.

GU sewajarnya patut menjadi lebih arif mendepani zaman, kerana mereka sarjana Islam. Bukankah dalam ilmu fiqah, ijtihad juga boleh berubah dengan perubahan zaman, seperti mana Imam as-Syafie juga ada qaul jaded dan qaul qadimnya. Tahaluf siyasi PAS bersama PR ini adalah satu ijtihad juga, dan apa ‘tahaluf siyasi’ bersama PR ini merugikan PAS?

Jika rugi, maka saya minta pihak GU senaraikan, apakah kerugian di pihak PAS setelah bersama PR? Tidak usah banyak, 10 kerugian pun sudah memadai. Namun saya yakin, geng Erdogan boleh menyenaraikan lebih 10 keuntungan apabila PAS bersama PR.

Hudud, adakah ia juga ‘status quo’ PAS? Ya, saya akui matlamat PAS adalah menegakkan negara Islam dan pastilah di dalamnya tertegaknya undang-undang Islam – termasuklah hudud. Jika benar PAS mahu menegakkan negara Islam, maka saya yakin tahaluf siyasi bersama PR ini memang sukar merealisasikan hasrat PAS ini. Ya, mungkin atas dasar itulah, sebahagian ulama dalam GU mengesyorkan agar PAS berjuang secara solo, kerana mustahil DAP dan PKR menyokong hasrat PAS menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam.

Sekali lagi, realistik dalam berpolitik adalah perlu. GU tidak boleh berangan-angan, kerana kita terikat dengan usaha, ada sebab dan akibat. Memanglah, jika Allah menghendaki, hari ini pun Malaysia boleh menjadi negara Islam. Allah boleh membalikkan hati perdana menteri Malaysia dan seluruh ahli Parlimen, lalu PM membuat usul pindaan perlembagaan dan mengisytiharkan Islam sebagai perlembagaan negara hingga akhirnya, Malaysia pun menjadi seperti Brunei Darussalam.

Namun, sunnatullah menunjukkan kena ada usaha, ada sebab dan baru ada akibat. Nabi Muhammad kena berusaha, bekerja keras, berdakwah siang malam, berjihad hingga berpindah ke Madinah sebelum negara Islam terbentuk. Maknanya, PAS juga kena berusaha, tiada jalan pintas dan mengharapkan keajaiban. Ini realitinya.

Maka, bagi saya kesempatan dalam PR dengan tahaluf siyasi inilah peluang keemasan bagi PAS untuk mendidik seluruh rakyat mengenai negara Islam – termasuk hudud. Peluang ini terbuka selebar dan seluas-luasnya di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor (dulu termasuk di Terengganu, Kedah dan Perak).

Soalannya, sejauh manakah peluang ini sudah dieksploitasi secara bersungguh-sungguh oleh GU? Sudahkah seluruh masjid dan surau, semua kawasan perumahan, sama ada kompleks PPRT dan kawasan perumahan mewah dan elit diterjah? Bagaimana dengan pasar malam, pasar tani, tapak pesta dan sebagainya, sudahkah diserbu untuk tujuan dakwah? Sudah kompleks beli belah dijadikan medan mendidik ummah?

Cuba pihak GU ingat balik zaman Barisan Nasional (BN) menguasai Selangor dan Pulau Pinang, betapa susahnya untuk GU sendiri menyampaikan dakwah. Masjid dan surau menjadi medan BN berkempen dan meneruskan legasi politik. AJK masjid dan surau hak mutlak ahli Umno yang kerjanya hanya membantutkan pemikiran umat Islam. Ustaz dan pendakwah ditapis dengan ketat. Kuliah agama, tazkirah Ramadan dihalang sekehendak hati. Tauliah mengajar pun ada GU susah dapati.

Lebih malang dan sedih, ada ustaz yang ditangkap, digari malah dilokap. Kemuncaknya, ada masjid yang terus dirampas, surau dikunci rapat tidak kedengaran azan dan solat jemaah pun tidak diberikan kebenaran untuk didirikan. Semuanya menjadi kenangan paling pahit dan getir bagi mereka yang pernah melaluinya. Adakah ini sudah luput daripada pemikiran dan benak hati GU?

Maka, janganlah ghairah dengan satu perkara sehingga mengetepikan apa yang sudah ada. Ibarat kata pepatah Melayu, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran. Ambil kesempatan yang sudah ada, lalu manfaatkan sepenuh tenaga, sebarkan dakwah semahunya. Itulah peranan yang patut sama-sama kita lakukan, sama ada GU, Erdogan atau siapa pun kita, bukan menyerang dan saling berperang. Menang jadi arang, kalah jadi abu – dua-dua tidak berguna.

Sayangnya, dakwah di Selangor dan Pulau Pinang sendiri sudah tidak seghairah dulu. Cuba pergi ke Taman Tasik Shah Alam atau di Taman Tasik di Bangi, Selangor, atau di tepian pantai di depan Pulau Jerejak dan di sekitar Batu Feringhi, Pulau Pinang, bersepah golongan muda-mudi berdua-duaan. Malah di Kelantan, majalah Mastika sendiri melaporkan kalangan muda-mudi di sana ramai yang terjebak dengan maksiat. Soalannya, sejauh mana PAS sebagai ‘parti dakwah’ melakukan gerak kerja dakwah di negeri-negeri yang dikuasai secara bersama ini?

Tiga, antara GU dan Erdogan, yang manakah lebih dominan? Saya yakin dalam kondisi rakyat yang sudah meluat dengan Umno dan BN, maka rakyat mahukan perubahan. Jika GU mendesak PAS keluar PR, menjadi sebuah parti solo di persada tanah air, saya lihat PAS akan kerugian yang amat sangat. Sangat rugi sebenarnya.

Hari ini, PAS ada suara di DUN, PAS ada exco di Selangor, PAS boleh melakukan apa yang selama ini hanya dalam dengungan ceramahnya saja. Saya teringat, allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah berkata, sewaktu beliau belum menjadi menteri besark maka semua ucapannya tidak mampu direalisasikan; namun apabila beliau menjadi MB, ia menjadi kenyataan. Tidak dapat buat semua, jangan pula tinggal semua. Tidak dapat buat hudud, tapi dapat tutup kepala wanita di papan iklan pun satu kejayaan.

PAS sudah berpeluang walaupun skalanya sangat kecil untuk merealisasikan sebahagian tuntutan Islam. Tirulah kesabaran Erdogan dan parti AKP di Turki dalam mengubah kanvas sosiobudaya politik negaranya yang ratusan tahun terjajah dengan idealisme sekular, sedikit demi sedikit tetapi penuh konsisten dan berperancangan, sehingga hari ini mahasiswi universitinya sudah mampu berhijab kala duduk di kerusi dewan kuliah. Dahulu, pelajar perempuannya ditegah berjilbab sama sekali. Malah, wanita berhijab dianggap ketinggalan zaman. Jangan pula kita tiru kegelojohan sebahagian pendokong Morsi yang akibatnya Mesir kembali ke era tirani.

PAS sudah matang, jangan kembali menjadi seperti budak-budak hingusan. – 4 Mac, 2015.

Leave a Reply