Hanya kroni yang tergugat dengan dasar ekonomi DAP yang telus dan bertanggungjawab.

Zairil Khir Johari | 18 Disember 2012
Penolong Setiusaha Publisiti Kebangsaan DAP

Dalam laporan akhbar Sinar Harian yang bertajuk “Izat: Ekonomi Melayu gugat jika DAP diberi kepercayaan” pada 17 Disember 2012, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir telah dipetik sebagai berkata bahawa “sokongan orang Melayu terhadap DAP akan hanya menyebabkan ekonomi dan masa depan orang Melayu terumbang-ambing.”

Kenyataan Datuk Izat ini jelas dangkal, bermotif politik perkauman dan langsung tidak berasas. DAP adalah sebuah parti politik yang konsisten dalam pelaksanaan dasar tadbir urus yang cekap, bertanggungjawab dan telus, sepertimana yang dibuktikan oleh pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang selama hampir lima tahun ini. Keberkesanan tatakelola pentadbiran yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang telah pun mendapat pengiktirafan dan pengesahan daripada Laporan-laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Bagaimanakah ciri-ciri ketelusan dan kebertanggungjawaban boleh menjadi ancaman kepada orang Melayu? Hipotesis yang kurang waras ini hanya digunakan oleh sesetengah pihak yang tidak mampu berdaya saing akibat kebergantungan mereka kepada sistem kroni dan amalan rasuah.

Sebagai contoh, setelah beberapa tahun perlaksanaan sistem tender terbuka yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, telah didapati bahawa lebih 70 peratus kontrak kerajaan negeri telah dianugerahkan secara telus dan terbuka kepada kontraktor-kontraktor Melayu yang berdaya saing. Ini lantang membuktikan bahawa kontraktor-kontraktor Melayu yang tulen telah diperkasakan dan tidak perlu lagi bergantung kepada “kabel politik”, seperti yang menjadi kelumrahan kerajaan BN terdahulu.

Nyata yang terancam adalah kroni UMNO dan BN dan bukannya pengusaha-pengusaha Melayu yang tulen dan kuat berusaha.

Dalam pada itu, dasar “Agenda Ekonomi Saksama” yang diusahakan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang merupakan kerangka yang serba inklusif. Duit lebihan yang berjaya dikumpul melalui penjimatan dan keuntungan daripada dasar tender terbuka telah disalurkan kepada rakyat melalui program-program bantuan yang menyasarkan golongan-golongan seperti miskin tegar, warga emas, ibu tunggal, pelajar dan sebagainya. Malah, Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan tegar, dan menjelang akhir tahun 2013 bakal menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan sama sekali.

Adakah model pembangunan yang membantu golongan bawahan ini, khususnya yang miskin dan daif, boleh dianggap sebagai menggugatkan masyarakat Melayu?

Jauh daripada tergugat, dasar DAP dan Pakatan Rakyat yang dilaksanakan di Pulau Pinang telah memanfaatkan dan memartabatkan masyarakat Melayu, serta menjalinkan pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat dan berdaya saing.

Sebenarnya, adalah UMNO dan BN yang telah menggagalkan dan menyeleweng rakyat, khususnya orang Melayu. Di manakah keadilannya apabila rakyat Melayu dan Bumiputera merupakan rakyat termiskin di negara kita sementara pemimpin-pemimpin UMNO dan BN dapat menikmati kekayaan yang luarbiasa, seperti Ketua Menteri Melaka yang baru-baru ini menjamu 130,000 orang tetamu untuk kenduri perkahwinan anaknya dan keluarga Ketua Menteri Sarawak yang didakwa mempunyai kekayaan berbilion-bilion ringgit?

Jelas, sokongan Melayu terhadap DAP dan Pakatan Rakyat akan membawa manfaat dan keuntungan kepada mereka, manakala sokongan berterusan kepada UMNO dan Barisan Nasional hanya akan menguntungkan kroni-kroni dan pemimpin-pemimpin yang rakus serta memastikan rakyat akan terus dibelenggu dalam jerat kemiskinan.

One Reply to “Hanya kroni yang tergugat dengan dasar ekonomi DAP yang telus dan bertanggungjawab.”

  1. S’wak Pek Moh’s son no UmnoB member or kroni, but VERY2 RICH ooh
    Spent millions just like dat
    Y, oh Y, still lots of Sarawakians so poor n Sarawak so under developed
    Y huge illicit capital flight fr M’sia (world #2!)

Leave a Reply