— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Aug 06, 2012
6 OGOS — Perkembangan politik di Sabah akhir-akhir ini amat menarik dan menjadi tumpuan ramai. Dengan perkembangan terakhir ini tidak dapat lagi dinafikan yang BN Sabah sedang menerima tekanan yang amat berat untuk mempertahankan mandat yang ada kepada mereka (BN) apabila PRU sampai masanya untuk di adakan.
Musa Aman, pengerusi BN Sabah berkata penghijrahan Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing tidak langsung menjejaskan BN di Sabah. Kita faham yang kenyataan beliau (Musa) itu hanya lah satu kenyataan politik yang liar sahaja.
Isu yang menyebabkan BN Sabah khususnya Umno tidak lagi mendapat perhatian rakyat sekarang ini terlalu banyak sehinggakan kita tidak dapat memahami di antara sebab atau alasan yang menyebabkan penolakan rakyat yang begitu ketara terjadi. Tetapi yang paling nyata sekali ialah isu peribadi Musa Aman sendiri yang tidak lagi sanggup diterima oleh rakyat Sabah sebagai pemimpin utama mereka. DAN pemimpin ini jugalah yang dipertahankan bermati-matian oleh Najib.
Tetapi kalau Umno itu Umno juga. Parti itu sememangnya terlalu leka dengan mempertahankan pimpinan yang diragui rakyat sejak tiga dekad yang lalu. Umno tidak dapat menerima bahawa politik ini adalah peperangan mental dan jika Musa yang sudah dipersepsikan sebagai laibiliti kepada BN sepatutnya mengundurkan diri atau dipaksa oleh pimpinan tertinggi Umno untuk berundur.
Tetapi biasalah, dalam Umno, untuk memberhentikan seseorang itu terlalu susah kerana terlalu banyak pertimbangan sampingan yang kebanyakkannnya adalah pertimbangan peribadi semata-mata. Pucuk pimpinan lebih cenderung untuk mendengar nasihat “warlords” yang di sekeliling mereka dari mendengar pandangan ramai. Tidak kita ketahui apa yang menyebabkan Najib khususnya terlalu terikat dengan Musa sehinggakan beliau (Najib) tidak berdaya untuk memberhentikan seseorang yang telah begitu parah persepsinya dimata rakyat itu. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.
Najib masih mempertahankan Musa sehinggakan rakyat Sabah merasakan yang Umno hanya mementingkan keuntungan dan pertimbangan peribadi dari memberikan pertimbangan terhadap keselamatan parti itu di mata rakyat. Isu “money laundering” yang dikaitkan dengan peribadi Musa itu adalah isu yang amat serius dan tidak boleh lagi berada di dalam sebuah parti pemerintah jika kita pertimbangkan dari sudut etika sesebuah negara yang merdeka yang mengamalkan sistem demokrasi.
Kerana Musa segala-galanya pecah dan punah ranah, dan itu belum lagi di lihat dari isu-isu besar yang lain. Umno tidak mempertahankan etika serta moral sebagai sebuah parti pemerintah. Sejak tiga dekad yang lalu Umno terlalu lalai dengan etika kepimpinan sehinggakan mereka yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin di jadikan pemimpin oleh parti itu. Itulah sebabnya seseorang yang ingin menjadi pemimpin mesti seorang yang berintergriti, bukannya seorang yang pandai berpolitik tanpa moral dengan melaksanakan politik pecah perintah sejak zaman Dr Mahathir dahulu.
Akhirnya parti itu secara tidak di sedari sudah di kuasai oleh mereka yang tidak beretika dan secara beransur-ansur juga rakyat memandang rendah terhadap kewibawaan parti itu seperti yang kita lihat sekarang ini. Apabila sudah sampai ketahap yang tidak boleh diperbaiki lagi ini, barulah pucuk pimpinan hendak membetulkan keadaan tetapi sekarang usaha itu sudah terlambat.
Pucuk pimpinan yang sedang berusaha untuk membetulkan keadaan itu sendiri adalah dari kumpulan yang terbentuk dengan budaya buruk yang saya sebutkan tadi. Justeru kita lihat apa jua tindakan untuk memperbaiki keadaan yang dilakukan oleh Najib sekarang adalah seperti “tikus memperbaiki labu” sahaja.
Rakyat termasuk rakyat Sabah sendiri mempunyai had kesabaran mereka. Umno terlalu leka dengan kerja peribadi sehinggakan lupa yang mereka pimpin ini ada lah sebuah negara bukanya persatuan murid tua sekolah kebangsaan Kuala Tahan. Segala teguran dan kritikan terhadap pucuk pimpinan di anggap sebagai penentangan dan tidak langsung di ambil peduli.
Sekarang bagi BN, untuk mempertahankan kedudukan mereka, ia amat mahal harganya. Berbillion ringgit wang rakyat telah dibelanjakan untuk memberi “gula gula” kepada rakyat dan wang itu adalah wang rakyat sendiri. Saya teringat semasa kecil dahulu, askar-askar Australia dan New Zealand yang masih berada di negara ini selepas merdeka selalu melemparkan gula-gula kepada kanak-kanak sekolah semasa konvoi mereka melalui kawasan sekolah.
Murid-murid yang sedang menunggu bas untuk balik kerumah berebut-rebut untuk mendapatkan gula-gula yang di lemparkan oleh askar-askar orang putih itu dari trak dan Land Rover yang mereka naiki itu. Maka kita masih lagi di lakukan seperti itu oleh Najib untuk mempertahankan kedudukan mereka itu.
Zaman dan waktu “menggula-gulakan” rakyat sudah berakhir termasuk bagi rakyat Sabah. Najib akan ke Sabah dengarnya untuk menyelesaikan masalah yang BN Sabah hadapi. Bagi saya sikap BN, baik dari Pusat dan di Sabah sendiri, tindakan ini ibarat “sudah hendak berak baru menggali lubang”. Segala rintihan rakyat selama ini tidak di hiraukan: asyik dengan mempertahankan mereka yang dalam barisan kroni mereka tanpa memerhatikan etika dan kewajaran untuk mempertahankan mereka, termasuk pemimpin seperti Musa Aman.
BN jelas sudah menjadi pak pandir. Sibuk hendak mengambil alih Selangor tetapi terlepas pula Sabah dan negeri-negeri lain. Tutup lubang sana terbentuk pula lubang di sini. Yang di kejar tidak dapat yang dikendung berciciran.
Walaupun Najib akan ke Sabah tetapi dalam masa beliau ke Sabah itu ramai lagi ahli-ahli legislatif dari Sabah berhasrat untuk meninggalkan BN yang mereka tidak yakini itu dalam masa yang terdekat ini. Najib sudah mundar mandir sampaikan beliau tidak ada masa untuk menguruskan negara.
Dalam pada Najib sibuk ke hulu dan ke hilir, ke darat dan ke baruh, untuk mengejar masa mempertahankan kuasa, sempat juga isterinya yang merupakan seorang “social climber” yang terhebat di dunia ini, bergegas-gegas terbang ke London. Tujuannya (Rosmah) ialah untuk menyaksikan perlawanan akhir badminton di acara Olimpik yang akhirnya kita kalah di tangan jaguh Cina, Lin Dan, semalam.
Pingat emas tidak juga kita perolehi walaupun pemainkan bermain di hadapan seorang wanita yang tersohor di seluruh dunia kini, yang datang untuk memberikan semangat. Begitulah yang akan dihadapi oleh BN serta Najib; bergegas kesana dan kesini tidak tentu siang dan malam, tetapi BN berkemungkinan besar akan kalah juga akhirnya.
Pendeknya jika kita sudah sampai ke penghujung nyawa kita, tidak ada sesuatu pun boleh menyambung nyawa dan kehidupan kita. Begitu jugalah BN: apabila sudah sampai waktunya untuk dikalahkan tidak ada apa kuasa yang ada ditangan makhluk seperti kita ini mengelakkannya.
BN sepatutnya bersyukur dengan sokongan rakyat sebelum ini yang menjangkau 55 tahun itu. BN patut bersyukur dengan apa yang mereka telah perolehi selama ini dan jangan marah kepada apa yang mereka (BN) tidak perolehi lagi sekarang ini.
Kelalaiann Umno selama inilah yang menyebabkan parti itu merudum. Dulu-dulunya semuanya “taken for granted”. Akhirnya membawa bencana. Bak kata perpatah “kalau keruh di hulu, keruh lah di hilir”. Sekarang ini kekeruhan yang di alami oleh Umno itu adalah hasil dari kekeruhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sejak tiga dekad dahulu. — aspanaliasnet.blogspot.com
MV U.M.N.O. pasti akan tenggelam ke bawah lautan, tak kira macam mana JJ1B cuba membaikinya. Ini adalah sesuatu yg memang tak boleh dielakkan. Kemungkinan besar, bencana ini (dari pandangan umno) akan berlaku pada masa GE13. Kalau tidak, ia pun pasti akan berterusan selepas GE13 sehingga akhirnya (anggaran saya sebelum GE14) tenggelam juga.
Yo! Lets celebrate.