Berjuang untuk perubahan memang susah

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 26, 2012

26 MEI — Memperjuangkan yang benar itu amat susah dan tidak ada jalan yang senang dan mudah. Sebaik sahaja manusia itu ingin perubahan untuk kebaikan ia akan tetap mendapat reaksi serta merta.

Bak kata seorang ulamak yang muktabar, “jalan ke syurga itu berduri-duri dan beronak, jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju”. Pejuang yang berniat untuk kebaikan itu selalunya akan merasakan kepedihan.

Itulah sebabnya setengah orang merasa hairan kenapa seseorang itu terus menerus berjuang sehinggakan menghadapi kepayahan dalam kehidupan mereka. Sesungguhnya yang paling penting ialah kepuasan dalaman dan jika kita pautkan usaha kita itu dengan beriktikad untuk ke addin dan agama itu ia amat menyejukkan jiwa seseorang itu.

Nabi Noh Alaihissalam dicerca dan dihina oleh masyarakat sekelilingnya. Dalam menegakkan kebenaran apa sahaja yang dilakukan oleh Noh dipersendakan dan dikasari oleh masyarakat dan kaumnya sendiri. Apabila Noh membina bahtera yang besar ditengah-tengah padang pasir dan berbukit itu masyarakat sekeliling Noh telah mengatakan yang Noh itu gila dan berbagai-kata nesta. Anak dan isterinya sendiri tidak mahu mengikut jejak langkah nya.

Noh tetap cekal dan akhirnya semua rakyat sekelilingnya telah mendapat bala yang besar dan hanya sebilangan kecil yang disebut oleh setengah ulamak hanya berjumlah 81 orang sahaja. Setengah ulamak berpendapat jumlah pengikutnya hanyalah 83 orang. Akhirnya seluruh masyarakat zaman itu telah dilemaskan oleh bah besar yang diturunkan Allah dan mereka yang selamat hanyalah mereka yang mengikuti seruan Noh untuk taat kepada Allah swt.

Di negara kita pun berlaku perkara yang sama. Kita selalu membaca semangat berkobar-kobar Melayu untuk mencapai kemerdekaan dari British dan itulah isu yang terbesar untuk menyatukan rakyat Malaya semasa itu untuk bersatu menuju kepada kemerdekaan itu. Tetapi kepada yang tua-tua usia mereka masih teringat yang tentangan untuk mencapai kemerdekaan itu ada dan jelas.

Tentangan itu datangnya dari Melayu yang telah selesa hidupnya dan kebanyakkannya adalah dari kumpulan yang bekerja dengan kerajaan penjajahan kerana mereka takut untuk berubah. Saya masih ingat lagi setelah kita mencapai kemerdekaan itu masih ramai orang Melayu yang tidak berkeyakinan dengan kemerdekaan yang kita capai.

Ramai yang bercakap yang kita tidak akan pergi kemana-mana sebabnya orang Melayu nak buat jarum pun tak pandai macam mana hendak menjaga negara apabila mendapat kemerdekaan itu. Kita dengar dimerata tempat kata-kata itu.

Namun apabila telah terbukti yang orang Melayu dan rakyat mampu untuk melakukan perubahan itu, orang-orang yang mengkritik dan menentang kemerdekaan ini jugalah yang mendapat laba dan nikmat dari penat lelah dan jerih pejuang-pejuang kemerdekaan itu.

Kumpulan yang tidak senang dengan pencapaian kemerdekaan ini jugalah yang menjadi pembesar-pembesar negara seperi menjadi Datuk Bandar dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan. Tetapi itu tidak mengapa kerana itulah namanya demokrasi. Pimpinanan yang demokratik mesti mempunyai sifat “magnanimous” dan tidak mempunyai sifat dendam mendendam.

Dalam politik tanahair kini, keadaan yang sama sedang berlaku. Setiap usaha yang dilakukan oleh pihak alternatif itu sedang mendapat tentangan yang hebat juga. Usaha ini mendapat reaksi yang amat kotor dengan wujudnya kumpulan-kumpulan gangster dan penyangak upahan untuk mengganggu program serta kegiatan pihak alternatif setiap masa dan waktu.

Usaha rakyat untuk bersatu diluar Barisan Nasional menjadi isu yang besar dan pihak yang berkuasa menggunakan isu perkauman yang menebal untuk menyatukan orang-orang Melayu dibawah kuasa mereka. Apa yang mereka lupa ialah mereka hendak meninggalkan kebathilan yang dilakukan oleh pemerintah yang telah mengambil kelembutan rakyat terutamanya orang Melayu sebagai kelemahan dan mahu mengelirukan mereka sepanjang masa untuk mengekalkan kuasa.

Tetapi kepada sesiapa yang memahami keadaan tidak akan gentar menghadapi situasi kotor ini. Mereka yang sedar ini tahu yang kerajaan yang merelakan kerja kotor ini berlaku itu merupakan tanda yang amat jelas yang usia kuasa yang ada kepada mereka pasti akan tamat. Tidak ada dalam sejarah dunia ini yang membuktikan yang zalim itu akan berjaya terus menerus. Yang tertekan akan akhirnya berjaya asalkan isu berdasarkan kepada niat dan motif yang baik.

Itulah sebabnya saya tidak putus-putus dihubungi oleh mereka dalam parti pemerintah dan duduk berbincang dan bertukar-tukar pandangan dalam isu yang baru kita sebut ini. Saya menjangkakan mereka dari Umno yang selalu bersama saya ini akan mengubah haluan dan kecenderungan mereka untuk berubah ini semakin hari semakin jelas dan tidak memeranjatkan yang mereka akan bersama-sama untuk membuat perhitungan dalam peti undi semasa pilihanraya nanti.

Beberapa ketua-ketua cawangan yang mengenali saya melalui blog ini pun datang ke Kuala Lumpur untuk membuat perbincangan dengan saya dan yang terakhir ialah kumpulan dari beberapa bahagian di Selangor. Saya menerima tawaran mereka untuk berjumpa, tetapi jika berjumpa saya tempatnya hanyalah dikedai-kedai minuman mamak sahaja.

Saya tidak mampu untuk berbincang di restoren-restoren besar kerana saya tidak biasa ditempat-tempat hebat itu. Saya bukan dari gulungan yang berada seperti rakan-rakan saya di dalam Umno itu. Sesiapa yang hendak berjumpa saya terpaksa bersabar dengan satu dua mug teh tarik dan diselangi dengan air suam sahaja. Kalau nasib baik bolehlah makan roti canai sekali.

Saya menyebut perkara ini kerana didalam sesuatu perjuangan, yang paling susah ialah untuk memecahkan ruyungnya. Nah, sekarang ruyungnya sudah pun pecah, hanya menunggu masa dan waktu untuk menikmati kejayaan itu.

Sebelum mencapai kejayaan semua pihak yang inginkan perubahan itu akan melalui waktu dan masa yang amat gelap. Tetapi apabila kita melalui kegelapan yang amat sangat itu, ia menunjukkan yang kejayaan sudah hampir sampai.

Ada perbilangan berkata, “The darkest part of the night is just before dawn”. Maksudnya bahagian malam yang paling gelap ialah semasa betul-betul sebelum siang, iaitu sebelum subuh. Tidak beberapa ketika selepas itu kita akan menikmati terang dan siang yang terang benderang.

Buat sementara ini kita mesti bersabar dan berdoa terus menerus. Walaupun kita sedang melalui kegelapan yang seketika ini, insyaallah kita akan melihat jelmaan siang yang terang benderang. Kita jangan memberikan reaksi kasar terhadap gangster Umno itu kerana kita tidak mesti jauhi diri kita dari bersikap seperti mereka. Kita mesti menunjukkan berbezaan diantara kita dengan mereka.

Apabila siang nanti kita akan akhirnya tahu dan nampak siapa yang melakukan kejahatan semasa dalam keadaan gelap tadi. Mereka tidak akan dapat menyorok lagi. — aspanaliasnet.blogspot.com

2 Replies to “Berjuang untuk perubahan memang susah”

Leave a Reply