Menyelenggara kereta tua terlalu mahal. Beli kereta baru!

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 06, 2012

6 MEI — Memandu kereta tua sangat mahal harganya. Kereta tua walau bagaimana hebat pun jenamanya, ia tetap memakan perbelanjaan penyaraannya yang tinggi jika dibandingkan kos penyelenggaraan semasa kereta itu masih baru.

Sesebuah kereta lama akan mengeluarkan asap hitam dan akan tidak lagi “environmentally friendly” kerana asap hitam itu akan menjadikan alam sekeliling kita menjadi kotor dan “toxic”.

Itulah sebabnya kita menukar kereta baru setelah kereta yang kita pandu itu sudah berumur banyak tahun. Jika kita tukar kereta baru setidak-tidaknya setakat empat atau lima tahun ia tidak akan memberikan banyak masalah kepada tuan punya kereta itu.

Lagi pula apabila kita masih mengekalkan kereta lama itu “petrol consumption”nya akan menjadi tinggi dan terpaksa berbelanja lebih untuk minyak kereta tersebut. Penghawa dingin kereta itu pun akan memakan belanja besar kerana terpaksa di “service” dan ditukar banyak alat ganti kepada penghawa dingin dan kereta itu keseluruhannya. Yang membuat untung hanyalah mekanik-mekanik yang mengambil kesempatan diatas segala masalah yang dihadapi oleh kereta itu.

Yang selalu kita lihat kereta yang sudah terlalu lama itu akan dibeli oleh syarikat pemotong kereta untuk menggunakan bahagian-bahagian kereta itu sebagai “spare parts” terpakai. Kereta-kereta lama ini selalunya tidak dibuang kesemuanya kerana masih ada sedikit sebanyak bahagian bahagian yang boleh digunakan untuk alat ganti terpakai oleh mekanik-mekanik untuk kegunaan mereka memperbaiki kereta-kereta pelanggan mereka.

Umno pun nampaknya begitu juga. Dengarnya minggu hadapan Umno akan merayakan ulang tahun ke 66. Bagaimana mereka mengira pun kita tidak tahu kerana pada perkiraan saya, Umno baru berusia 24 tahun sahaja. Tetapi tidak mengapa.

Katalah benar umurnya 66 tahun ia merupakan satu jangkamasa yang sudah terlalu lama untuk diselenggara dengan mudah. Seperti kereta tua tadi, dalam Umno terlalu banyak alat-alat yang perlu diganti, malahan lebih banyak yang perlu diganti dari yang dikekalkan.

Bagaimana tidak mahal belanja untuk menyelenggara Umno ini? Bayangkan untuk Najib Razak berkempen beliau telah membelanjakan hampir RM700 juta dalam tahun ini sahaja. Belum lagi untuk membayar BR1M dan yang lain lain. Walaupun telah banyak dibelanjakan untuk menyelenggara parti itu, macam kereta tua tadi asap hitam masih berkepul-kepul keluar. Perjalanannya masih tidak lancar.

Dalam pilihanraya nanti parti itu akan menurunkan calon atau drebar kereta yang canggih yang bersedia untuk memacu dengan tangkas dan laju. Tetapi bagaimana dengan kondisi Umno itu sendiri? Kalau calon sahaja yang “winnable” tetapi partinya tidak “winnable”, bagaimana hendak mencapai kejayaan?

Keadaan sudah begitu teruk dan buruk sehinggakan Umno itu sudah tidak diyakini lagi oleh ramai rakyat khususnya orang Melayu. Sudah 66 tahun umur BN ini, maka ramai di antara yang mendokong Umno sudah mengambil keputusan untuk menukar kepada kereta baru. Kereta baru setidak-tidaknya boleh berfungsi dengan penyelenggaraan yang murah selama empar tahun dan tidak memberikan banyak masalah. Kereta baru tidak akan memakan banyak petrol dan akan memberikan kelebihan kepada kereta tua yang sentiasa memakan minyak hitam dan terpaksa melakukan “top-up” kepada minyak enjin tersebut. Mahal sangat untuk menyelenggara kereta tua (BN) ini maka tidak hairan rakyat sudah mula berfikir-fikir untuk menukarnya dengan kereta baru.

Sementara kereta tua masuk bengkel untuk dilakukan “overhaul” maka sementara ini kita pakai kereta baru yang lain. Apabila kereta tua ini sudah di “overhaul” barulah boleh bersaing dijalan raya dengan kereta baru yang kita pandu itu.

Mengekalkan kereta tua sekarang ini memberikan kita banyak masalah kerana setiap pagi kita tengok lantai “porch” kita menjadi kotor kerana kebocoran kepada enjinnya dan menitiskan minyak-minyak hitam ke atas lantai “porch” kita itu.

Lagi pun elok kita mempunyai kereta kedua supaya kita tidak memandu kereta tua ini dengan terlalu lasak seperti yang dilakukan oleh kita selama ini. Kalau ada kereta baru yang lain setidak-tidaknya boleh kita berikan kerehatan kepada kereta tua itu buat sementara waktu ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

2 Replies to “Menyelenggara kereta tua terlalu mahal. Beli kereta baru!”

Leave a Reply