Testimonial siapa yang lebih baik? Tunku dan Hussein Onn atau yang lain-lain?

—Aspan Alias
The Malaysian Insider
Apr 23, 2012

23 APRIL — Semalam PM Najib di Pulau Pinang, negeri yang telah begitu maju dan telah pun menjadi negeri yang mendahului negeri-negeri lain dalam pelaburan pembuatan tahun lepas. Pulau Pinang diikuti rapat oleh Selangor dalam sektor yang sama dan kedua-duanya adalah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Najib kali ini menjanjikan bulan dan bintang kepada negeri P. Pinang jika BN kembali memerintah negeri itu.

Janji pemimpin BN itu adalah janji dari parti yang telah jatuh ke dalam gaung dan kali ini ia memberikan janji kepada orang-orang yang telah mencampakkan BN ke dalam gaung itu. Lawatan ini adalah lawatan dalam siri kempen pilihanraya ke13 nanti dan Najib masih melagukan lagu-lagu lama yang sudah tidak masuk “carta lagu popular mingguan” lagi.

Lagunya yang dinyanyikan di Pulau Pinang semalam bertajuk “Ingat kepada jasa lama” dan “Jangan tinggal daku” yang telah dinyanyikan oleh pemimpin Umno setiap kali pilihanraya sampai. Lagu ini serupa seperti lagu “Selamat Hari Raya” nyanyian biduawanita negara Saloma. Lagu “Selamat Hari Raya” hanya berkumandang semasa kita menghampiri Hari Raya Puasa. Lagu-lagu ini datangnya bermusim. Bila habis Hari Raya hilanglah lagu selamat Hari Raya. Begitu jugalah lagu nyanyian Najib.

Tidak ada modal lain selain dari meminta rakyat dan orang Melayu khususnya untuk berterima kasih kepada BN dan mengenang jasa-jasa pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir serta Abdullah Ahmad Badawi. Najib menggunakan nama-nama pemimpin yang terdahulu sebagai “testimonial” untuk mendapatkan sokongan yang berterusan dari rakyat. Najib dan Umno pimpinannya sedang kepanasan kerana dalil-dalil yang jelas telah dilihat yang BN akan menghadapi pilihanraya yang paling getir dalam sejarah negara merdeka kita.

Tetapi Najib tidak pula nampak yang “testimonial” nama-nama pemimpin yang disebut beliau itu tidak boleh meyakinkan rakyat untuk menerimanya bulat-bulat. Setidak-tidaknya dua dari nama yang disebutnya itu tidak berada didalam Umno semasa mereka meninggal dunia. Tunku Abdul Rahman sehingga akhir hayat beliau tidak mahu menyertai Umno kerana parti itu tidak lagi mempunyai “attribute” sebagai parti yang mempunyai intregiriti untuk memerintah. Begitu juga Hussein Onn. Kedua-dua bekas pemimpin besar Umno ini tidak mahu menyertai Umno sama sekali.

Oleh itu, “testimonial” yang mana satu yang harus dihormati oleh orang Melayu sekarang? Adakah perlu menghormati “testimonial” Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn atau “testimonial” pemimpin-pemimpin selepas mereka ini? Agak-agaknya “testimonial” yang mana yang lebih berintregriti dan mempunyai rekod yang bersih?

Isu ini penting kerana kedua-dua pemimpin ini telah begitu jelas menunjukkan pendirian yang tidak secocok dengan Umno. Kalau kita hendak mengenang jasa pemimpin-pemimpin terulung negara ini maka kita wajar memilih untuk bersama dengan pendirian mereka. Penentangan mereka terhadap Umno itu tentunya berkait dengan perjuangan mereka untuk siasah rakyat khususnya untuk orang Melayu.

Kalau Tunku dan Hussein tidak lagi berselera dengan Umno sehingga akhir hayat mereka, bagaimana kita semua mempunyai selera dengan parti ini? — aspanaliasnet.blogspot.com

CategoriesUncategorized

One Reply to “Testimonial siapa yang lebih baik? Tunku dan Hussein Onn atau yang lain-lain?”

  1. All I know…it is that..it was Hussien Onn who formed UMNO …a party for all Malaysians.
    His idea and him was not accepted.
    Tunku raised money and gave Malaya… independence.
    Tunku is a proven fair and concerned PM.
    Hussien was ever tested. We will never know.

Leave a Reply