Umno menjadi lemah kerana dedalu-dedalu didalamnya

Oleh Aspan Alias | March 06, 2012
The Malaysian Insider

6 MAC — Ditempat-tempat dimana orang ramai duduk berborak, isu politik memang menjadi perkara yang wajib disebut, lebih-lebih lagi waktu kita menunggu pilihanraya yang hampir tiba ini. Bila pilihanraya, siapa yang akan menang dan kalah dan apakah isu yang mungkin menjadi bahan kempen oleh kedua-dua belah pihak yang menawarkan diri dan parti mereka nanti.

Tetapi isu orang Melayulah yang menjadi isu terbesar yang orang ramai selalu menyebutnya akhir-akhir ini. Isu memohon maaf Najib kepada orang ramai itu telah membawa isu baru pula. Ramai yang berpendapat apa yang dilakukan oleh Najib itu merupakan perkara yang merugikan Umno dari sudut politiknya. Adalah sukar untuk membuat tafsiran permohonan maaf secara terbuka Najib itu.

Walau bagaimanapun yang jelas sudah ramai pula yang beranggapan bahawa Najib tidak lagi “viable” sebagai pemimpin nombor satu negara dan sudah ada dikalangan orang-orang Umno sendiri berpendapat yang Najib sudah sampai ke penghujungnya, termasuklah dua orang pimpinan bahagian Umno yang bertemu dengan saya itu. “I think Najib should throw his towel now,” kata salah seorang dari pimpinan Umno itu.

Tetapi jika Najib hendak berhenti siapa yang akan mengambil alih? Adakah Muhyiddin menjadi pilihan untuk mengganti Najib? Salah seorang yang berjumpa saya itu bingkas menjawab, “Kalau Muhyiddin, tak payahlah. That will a bigger disaster,” kata seorang lagi.

Saya bertanya samada mereka berdua ini akan berusaha untuk menjadi calon seperti yang ramai-ramai itu. Mereka kata mereka tidak lagi berminat kerana sudah hilang semangat menghadapi keadaan serius dalam BN sekarang ini. Malahan mereka berkata yang niat mereka untuk berjumpa saya itu ialah untuk memulakan perbincangan untuk menyertai DAP kerana parti itu telah berjaya menunjukkan kemampuan untuk mentadbir secara baik seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

Pulau Pinang seperti juga kerajaan negeri Selangor, telah terbukti ada perbezaan dengan pengalaman dibawah pemerintahan BN dahulu. Lagi pula kata mereka, selagi mereka berada didalam Umno selagi itulah mereka mendengar dan melihat isu buruk yang keterlaluan buruknya moralnya. “Saya tidak tahan melihat kita semua sentiasa dibayar untuk menyokong mereka. Saya yakin Umno sudah sampai garis penamat hayatnya. Buktinya jelas. Apabila pemimpin-pemimpinnya ke hulu ke hilir membayar dan membeli undi disana sini itulah petanda parti itu akan habis riwayatnya!,” kata salah seorang lagi.

Pandangan pemimpin Umno itu benar. Dimana-mana tamaddun besar dalam sejarah dunia ini pemerintahnya akan berakhir apabila budaya membeli, mengungut dan membohongi orang dibawah perintahnya. Dizaman Roman Empire yang begitu kuat dan stabil, Empire itu tersungkur selepas parkara-perkara yang disebut tadi berlaku kerana mempertahankan kuasa.

Bagi sesiapa yang berfikir dengan teliti dan tekun, ciri-ciri ini sudah berlaku dan berlarutan. Ianya bermula sejak pentadbiran post Hussein Onn dan sekarang sudah menjadi budaya yang sudah tidak dapat dileraikan lagi. Kalau ini berlarutan lagi maka yang kita tunggu hanyalah satu, iaitu kehancuran budaya dan akhlak kehidupan generasi kita yang akan datang.

Persoalannya sekarang bolehkah ianya dileraikan. Tahukah pentadbiran sekarang cara dan mampu untuk meleraikan budaya ini sedangkan mereka adalah pengamal tegar kepada budaya ini. Bolehkah BN membetulkan keadaan dengan memohon maaf dan berjanji untuk memberhentikan budaya ini. Tidak ada siapa yang mempunyai daya pemikiran boleh mempercayai janji-janji manis ini kerana rasuah itu sudah menjadi “addiction” kepada pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno.

Kita tahu cara dan kaedah yang paling betul untuk penyelesaian terhadap budaya korup, salah gunakuasa, kemurungan sistem kehakiman dan “judiciary” negara dan berbagai-bagai lagi kemungkaran yang tidak dapat dikawal lagi ini. Caranya ialah untuk Najib dan seluruh kepimpinan dalam Umno itu meletakkan jawatan dan menjauhi kuasa yang mereka pernah menyalahlakukan itu.

Tetapi mahukah mereka berbuat demikian? Tentu mereka tahu kuasa itu adalah “ultimate” peribadi mereka dan bukannya untuk parti. Umno yang dikatakan parti yang baik itu telah dicemari dengan barisan pimpinan yang rasuah dan tidak berintregriti.

Umno itu ibarat pohon yang kuat tetapi oleh kerana terlalu banyak dedalu yang tumbuh dipohon itu, maka akhirnya pohon yang kuat juga akan akhirnya mati jika dedalu yang tumbuh mekar dipohon itu tidak dibuang.

Bagi diri saya sendiri, saya telah duduk kekal didalam Umno sebegitu lama kerana mengharapkan dedalu ini dicantas dan dibuang agar pohon itu (Umno) dapat kembali hidup subur. Tetapi hari demi hari, tahun demi tahun saya nampak dedalu itu bertambah membesar, maka saya mengambil keputusan untuk menyertai parti yang tidak ada dedalu ini tumbuh. Kata-kata saya kepada Umno ditempat dan negeri saya bertahun-tahun dahulu, ternyata menjadi kenyataan. Umno sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Dedalu-dedalu ini tumbuh dengan pesatnya sehinggakan pohon itu hampir mati dan tidak berbuah lagi. Bagi saya pohon yang disalut oleh tumbuhan dedalu tadi akan pasti mati, dan ianya tidak payah ditebang untuk membunuh pohon yang suatu ketika dahulu pohon yang kuat dan kukuh.

Dedalu-dedalu yang tumbuh dipohon rendang ini masih kekal, malahan bertambah membesar lagi. Saya hendak juga melihat bukti kalau ada pohon yang dihinggapi tumbuhan dedalu ini boleh hidup sampai bila-bila.

Bagi saya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara “natural” akhirnya. Kepada penyokong-penyokong Umno sama-samalah kita lihat apa yang akan terjadi kepada pohon (Umno) yang kian hari kian kurus kerana segala baja-baja pokok itu sudah disedut oleh dedalu yang hidup dan melekat kepada pokok yang suatu ketika dahulu merupakan pohon rendang tempat rakyat semua kaum khususnya orang Melayu berteduh.

Orang Melayu yang tekun berfikir merasa amat sedih kerana tempat mereka berteduh telah di ambilalih oleh dedalu yang hidup dipohon (Umno) sejak dua tiga dekad dahulu. Sekarang kita lihat Umno sedang berhempas pulas untuk mengambilalih kerajaan negeri Selangor selepas pilihanraya nanti. Rakyat Selangor mesti berfikir dengan tenang dan tekun, yang cuba hendak mengambilalih ini adalah dedalu yang hendak hidup dipohon rendang bernama Selangor itu.

Apa yang saya perkatakan ini tentunya akan mendapat tentangan dari penyokong pohon yang disaluti dedalu ini. Saya tidak kisah itu semua. Katalah apa-apa pun terhadap diri saya sekehendak hati. Yang penting bagi saya akhirnya nanti saya akan membuktikan kebenaran apa yang saya katakan ini. Semasa itu nanti menangis air mata darah pun tidak akan dapat menyelamatkan bangsa dan negara lagi.

Jika saya sudah tiada didunia ini dan apa yang saya katakan ini akan menjadi kenyataan, hadiahkan saya bacaan surah al-fatihah sekali seorang. Itu pun kalau ikhlas.

NB: Dedalu itu adalah sejenis tumbuhan yang tidak tumbuh ditanah. Dedalu ini tumbuh dipangkal dahan pokok-pokok yang rendang dan sentiasa duduk diatas sambil menumpang hidup dipohon yang rendang itu. Pohon rendang itu selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifiknya dedalu ini adalah “parasite”. — aspanaliasnet.blogspot.com

CategoriesUncategorized

9 Replies to “Umno menjadi lemah kerana dedalu-dedalu didalamnya”

  1. //“I think Najib should throw his towel now,” kata salah seorang dari pimpinan Umno itu.//

    Wa lao eh! After throwing in his towel, he would be left with his birthday suit, and his hairy body will scare everybody except fat mama losimah

  2. When a party starts recruiting ” new members ” and given powerful positions, some with personal issues to settle with other races……you know there will be trouble!

    It’s like hiring ” foreign fighters “, irrespective of their motives and background.

  3. Ini bukan dedalu biasa, ini dedalu kanser!, kalau dibuangkan saja dedalu-delalu ini, lagi cepat pohon ini mati ….. Masalah sekarang, tanpa dedalu-dedalu ini, pohon tak dapat hidup.

    Yang dedalu sekerang adalah pohon, yang pohon sekarang delalu, faham!. Maknanya, buang mati, tak buang pun mati!

  4. Aspan tulis “Umno lemah kerana dedalu-dedalu dalamnya”.. itu pandangan dia.

    Najib tulis “Umno kuat kerana dedalu-dedalu dalamnhya”… itu pandangan Najib.

    Umno kuat atau lemah, saya tak kisah. Yang rakyat kisah adalah salah-gunaan kuasa, putar-belit proses perundangan, kehakiman dan pentabiran. Rakyat hanya akan dapat rahmat jika kerajaan yang betul-gunaan kuasa, hormati and patuhi proses perundangn, kehakiman dan pentabiran.

    Ahli politik serupa saja, kalau esok, PR berkusa, ramai ahli politik umno juga yang masuk PR. Dedalu juga pohon PR.

    Rakyat hanya boleh bergantung kepada system dan proses yang betul dan telus, bukannya boleh bergantung kepada manusia… Manusia ini, masa tak berkusa dia pohon, kalau berkusa nanti dia dedalu… faham?

Leave a Reply