Kita memerlukan siasah, ‘ambience’ politik dan imej negara yang baru

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Feb 06, 2012

6 FEB — Sejak saya menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 8hb Januari yang lalu, saya agak sibuk juga berjumpa dengan ramai rakan-rakan lama yang saya sudah lama tidak temui. Setiap hari ada sahaja beberapa panggilan talipon dari sahabat-sahabat lama ini, ada yang sudah dua puluh tahun tidak bersua. Mereka berjumpa untuk bertanya khabar setelah mendengar berita yang saya sudah meninggalkan Umno untuk melalui wadah baru perjuangan setelah menyepi hampir dua dekad.

Sesungguhnya selama saya keseorangan di rumah bersama cucu-cucu, saya sempat berfikir dan membuat “soul searching” secara serius tentang isu-isu politik yang berbangkit dalam negara kita ini. Saya memerhatikan lagak dan laku pemimpin-pemimpin melalui TV yang kebanyakkannya adalah dari mereka yang saya kenal sejak berdekad-dekad dahulu yang kini sudah menjadi pemimpin, tidak dapat memahami dan menyelami perasaan ahli-ahli Umno dan rakyat amnya.

Ramai di antara mereka yang berjumpa dengan saya itu adalah ahli-ahli Umno serta pemimpin di peringkat rendahan seperti ketua-ketua bahagian Umno serta jawatankuasa mereka. Ada juga pemimpin peringkat yang tinggi memanggil bertanyakan kenapa saya menyertai pembangkang sedangkan saya telah menyertai Umno selama 40 tahun, lebih lama dari mereka sendiri.

Pertanyaan-pertanyaan ini saya jawab hanya dengan meluahkan satu dua baris ayat jawapan. Yang paling selalu saya jawap ialah, Umno sudah hilang identitinya samasekali. Saya sudah tidak mengenali Umno lagi. Parti yang disebut sebagai Umno itu sudah tidak rupa Umno lagi. Umno hanya tinggal pada nama tetapi tidak ada rohnya lagi. Umno ibarat kucing dengan tikus. Dulu kucing makan tikus tetapi kucing sekarang takut pada tikus. Kadang-kadang saya menjawab dengan bertanya satu soalan; kenapa saya mesti kekal dalam Umno? Apabila soalan itu dijawab barulah saya boleh menjawab soalan kenapa saya menyertai DAP.

Pemimpin-pemimpin sekarang tidak memahami apa itu Umno sebelum mereka menyertai parti itu. Sampai sekarang mereka tidak memahami apa itu Umno dan mereka jugalah yang menjadi pemimpin parti itu dan mentadbir negara dengan cara yang kita lihat sekarang. Mereka menganggap menyertai Umno dan seterusnya menjadi Menteri dan sebagainya itu merupakan perkara yang “ultimate” bagi mereka tetapi mereka tidak pernah berusaha untuk menjaga apa yang terkandung dalam BAB3 Perlembagaan Parti itu.

Dosa terbesar Umno ialah membantutkan daya pemikiran orang Melayu. Orang Melayu tidak dibenarkan berfikir di luar kotak tetapi dalam masa yang sama mereka beretorik supaya orang Melayu menjadi bangsa yang global. Bercakap yang benar di dalam Umno itu merupakan kesalahan dan kita tahu yang Umno hanya bergantung kepada kuasa pinjaman yang diberikan rakyat sahaja. Umno tidak mampu mempertahankan diri dengan menunjukkan kerja baik dan membangun.

Ini disebabkan imej parti itu yang sudah terlalu tercemar dengan rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang keterlaluan. Maka satu-satunya jalan untuk mempertahankan diri ialah dengan membuat segala perkara yang lazim dilakukan oleh pihak-pihak yang “desperado”. Di mana-mana rasuah, baik dalam kerajaan atau dalam parti. Wang ringgit merupakan satu-satunya cara bagi mereka untuk mempertahankan diri, semuanya hendak dibeli. Jiwa dan perasaan pun menjadi bahan dagangan. Saya amat runsing melihat apa yang akan terjadi kepada bangsa saya yang dijadikan sebagai “political prostitute” dengan membayar setiap perkhidmatan terutamanya semasa pilihanraya hampir tiba ini.

Bagi saya perkara ini wajib dihentikan kerana yang akan terbantut daya pemikirannya ialah orang Melayu sendiri. Orang Melayu sudah begitu lesu, tidak berdaya berfikir secara jelas kerana jiwa mereka telah ditawan dan dikurung tanpa boleh berbuat sesuatu untuk kemajuan masa depan mereka. Mereka telah diasah yang boleh menjamin masa depan mereka ialah Umno sahaja.

Tetapi Umno itu sendiri sedang menghadapi saat kematian kerana penyakit yang tidak boleh diubati seperti rasuah, rendah diri serta tunduk kepada tekanan yang dilakukan oleh mereka yang telah digaji dan diupah untuk menjaga mereka. Rakyat tidak boleh berbuat sesuatu yang bertentangan dengan kehendak pemerintah yang diberikan mandat oleh rakyat itu sendiri.

Pemimpin-pemimpin Umno tidak dapat menerima bahawa parti itu sudah tidak Umno lagi kerana Umno yang sebenarnya tidak bersifat seperti yang kita lihat pada hari ini. Umno sudah menjadi parti yang “clueless” dan tidak lagi berdaya walaupun hanya untuk menentukan arah tujuan perjuangan partinya.

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno tidak “abreast” dengan keadaan baru yang menyelubungi pemikiran dan kehendak semasa rakyat yang baru. Umno tidak sedar yang rakyat mahu hidup aman damai dengan jiran tetangga dan tidak mahu lagi terkongkong dengan perasaan rasis yang menebal. Umno masih memainkan perasaan dan sentimen perkauman. Ramai yang telah membabikan saya kerana menyertai DAP tetapi tidak mahu mengenalpasti kenapa ramai orang Melayu sedang berjinak-jinak dengan parti itu selain dari berjinak-jinak dengan PAS dan PKR.

Umno tidak mahu berkorban dengan mengikuti kehendak rakyat yang dahagakan sebuah kerajaan yang telus dan terhindar dari rasuah besar-besaran. Rakyat sedang mencari penyelesaian terhadap “capital flight” secara haram yang telah mencecah kepada jumlah melebihi satu trillion ringgit. Rakyat tidak berpuas hati dengan kedudukan yang kelima terbesar jumlah kehilangan wangnya ke luar negara.

Rakyat mengharapkan Umno yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir dengan baik dan jujur, tetapi Umno tidak juga mahu melakukan kebaikan itu. Maka kebanyakan rakyat sedang menyelesaikan keresahan mereka dengan memberikan sokongan kepada parti lain yang diharapkan dapat memperbetulkan keadaan yang menjijikkan ini.

Sikap “cepat tangan” pemimpin Umno pada hari ini menyebabkan ramai rakyat yang sudah tidak lagi percaya kepada Umno. Rakyat sudah mempunyai persepsi yang “conclusive” terhadap Umno sebagai parti yang tidak mempunyai seorang pun pemimpin yang boleh dipercayai. Setiap projek kerajaan mesti ada sebahagian dari keuntungan kepada pemimpin yang mengetuai kementerian atau jabatan yang mereka ketuai.

Persepsi buruk ini sudah menjadi stigma yang tidak boleh dibuang lagi. Saya selalu bermimpi untuk memulakan sebuah negara yang baru dengan siasah baru dan ini hanya boleh dilakukan oleh seorang yang berkemampuan dan yang tidak mempunyai “baggage” dan berpengalaman dalam mentadbir dan mempunyai kemampuan politik yang tinggi. Saya tidak berhenti berdoa agar Tuhan mendatangkan seorang pemimpin yang berkemampuan untuk membetulkan keadaan yang sudah menjadi keresahan rakyat keseluruhannya.

Yang penting, keadaan politik yang tidak menentu ini mesti ditinggalkan di belakang untuk kepentingan rakyat semua kaum dan negara amnya. — aspanaliasnet.blogspot.com

2 Replies to “Kita memerlukan siasah, ‘ambience’ politik dan imej negara yang baru”

  1. Bye-bye to RM1.5 billion of the EPF’s money

    http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/union-reps-say-clueless-over-epf-loan-scheme/

    Ah Jib Sor Gor has not learned from the 2008 subprime crisis in America. Using RM1.5 billion from the EPF to give home loans to unqualified buyers is stupid because what happens should those unqualified buyers default on their mortgages?

    Subprime borrowers typically have weakened credit histories and reduced repayment capacity. Subprime loans have a higher risk of default than loans to prime borrowers.

Leave a Reply