Lim: Konflik agama, kaum gagalkan konsep 1Malaysia

By Fazy Sahir | May 12, 2011
Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata konsep 1Malaysia yang sering dicanangkan oleh para pemimpin Umno-Barisan

Nasional (BN) mula tercemar apabila timbul konflik keagamaan dan ketegangan kaum sejak kebelakangan ini.

“Para pemimpin Umno-BN bertanggungjawab di atas kegagalan konsep itu yang diperkenalkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sejak mentadbir negara ini mulai April 2009,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sambil merujuk kepada fitnah berterusan yang dilemparkan ke atas DAP sejak akhir-akhir ini, Lim berkata Umno-BN kini kian terdesak untuk mengembali dan mengukuh kuasa mereka.

Menurut Lim, bukan sahaja (Dr Mohd) Khir Toyo malah ramai lagi pemimpin Umno-BN yang sengaja mencetuskan ketegangan kaum dengan sering melemparkan berbagai fitnah terhadap DAP yang dianggap sebagai punca masalah.

Beliau membidas dakwaan bekas Menteri Besar Selangor itu bahawa DAP merupakan dalang disebalik konflik keagamaan dan ketegangan kaum yang tercetus suatu ketika dahulu yang disiarkan oleh FMT semalam.

“Umno-BN kemukakan cadangan untuk menyatu-padukan rakyat namun sebaliknya berlaku……mereka merosakkan perpaduan kaum.

Semua kenyataan yang dilemparkan kepada DAP adalah dusta dan fitnah belaka,” katanya.

Umno-BN tiup api perkauman

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor menerangkan bahawa Umno-BN menggunakan kaedah kempen yang sangat kotor iaitu dengan meniupkan api perkauman.

“Jelas kenyataan seperti ini merupakan satu komplot untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama. Mereka nak menimbulkan ketakutan kepada rakyat.

“Hasil daripada isu ini, siapa yang dapat untung? Adakah DAP yang dapat untung? Tidak…..sedangkan mereka senada untuk mencipta suasana seperti ini. Ini permainan politik Umno-BN,” katanya.

Lim turut mempertikai bidang tugas yang ditonjolkan oleh Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Mereka berkelakuan sebagai ahli parti politik, lebih dari peranan sebagai seorang Ketua Negara dan pemimpin negara,” ujar beliau.

Menurut Lim, dengan konsep 1Malaysia yang dibawa Najib itu hanya menghancurkan kredibiliti beliau serta Hishamuddin memandangkan kedua-dua pemimpin ini bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian bukannya menghancurkan negara.

“Jika dilihat kepada apa yang berlaku sejak kebelakangan ini dengan melemparkan pelbagai fitnah kepada DAP oleh beberapa pemimpin Umno-BN, adakah konsep 1Malaysia ini selaras dengan apa yang dibawa Najib?

“Hishammuddin pula, adakah beliau bertindak sebagai Menteri Dalam Negeri atau sebagai Menteri Umno?,” soalnya.

Lim berkata tindakan ini hanya memberi kesan buruk kepada pelabur-pelabur luar yang mahu melabur di negara ini.

“Tindakan ini juga merupakan suatu pengkhianatan terhadap negara kerana menakut-nakutkan pelabur. Pelabur bimbang sekiranya wujud ketegangan kaum dalam sesebuah negara,” katanya.

CategoriesUncategorized

Leave a Reply