Lim Kit Siang

Sebagai juara hak asasi manusia, Aung San Suu Kyi mesti membuktikan bahawa beliau adalah juara untuk semua lapisan manusia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan latar belakang

Setakat hari ini dilaporkan sekurang-kurangnya 86 orang telah terbunuh manakala 300,000 lagi telah melarikan diri di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak di wilayah Rakhine, Myanmar.

Human Rights Watch sejak Sabtu lalu telah melaporkan beberapa gambar satelit menunjukkan beberapa perkampungan etnik Rohingya di wilayah tersebut telah dibakar, dan menjadi bukti kepada pembersihan etnik yang tidak boleh dinafikan lagi.

Apa yang lebih mengecewakan ialah kegagalan pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi untuk menawarkan keamanan, bahkan dituduh pula tidak mendengar keluh kesah nasib penduduk Islam Myanmar. Suu Kyi tidak menafikan tuduhan-tuduhan tersebut.

Kegagalan Suu Kyi untuk bersuara bagi pihak etnik Rohingnya yang teraniaya adalah keaiban dan penghinaan kepada hadiah Nobel yang telah dianugerahkan kepada beliau. Apatah lagi setelah partinya yang mengusung nama ‘demokrat’ berjaya meraih kemenangan yang begitu besar tahun lalu, bagi menafikan kekuasaan pentadbiran tentera selama lebih dua dekad lampau.

Walaupun operasi ‘pembersihan’ di wilayah Rakhine digerakkan oleh pihak tentera yang masih menguasai 25% kerusi parlimen Myanmar, kerajaan pimpinan Suu Kyi tidak seharusnya duduk diam, apatah lagi melarikan diri daripada berhadapan krisis pembantaian dan pelanggaran hak asasi manusia pada skala yang begitu besar.

Etnik Muslim-Rohingnya yang didakwa minoriti tak bernegara dan terus diburuk-burukkan oleh nasionalis Myanmar sebagai pendatang Bangladesh meski telah menetap selama bebeberapa generasi di wilayah tersebut tidak sewajarnya terus dilayan seperti haiwan tanpa tempat untuk mencari tempat berlindung.

Myanmar telah sekian lama menafikan hak-hak asasi buat etnik Rohingya, termasuk hak bernegara, berkahwin, beribadat dan mendapatkan pendidikan. Ini seterusnya mengakibatkan mereka ditindas dan memilih untuk melarikan diri, menaiki kapal-kapal menyeberang lautan tanpa mengetahui bila dan di mana mereka akan berlabuh dan menemukan tempat selamat untuk didiami.

Aung San Suu Kyi tidak boleh terus berdiam diri berhadapan penindasan zaman berzaman ke atas rakyat negaranya, apatah lagi setelah menggalas harapan yang begitu besar sebagai pembawa perubahan bagi menghentikan penderitaan etnik Rohingnya. Suu Kyi tidak boleh terus memilih untuk tidak peduli, apatah lagi enggan menyebut perkataan ‘Rohingnya’ dan memilih untuk merujuk etnik tersebut sebagai ‘Bengali’. Sikap yang sedemikian langsung tidak mencerminkan seorang pemimpin yang diharapkan untuk membawa keamanan kepada negaranya, apatah lagi sebagai seorang pemenang hadiah Nobel.

Kerajaan pimpinan Suu Kyi sekurang-kurangnya harus membuka jalan bantuan kemanusiaan untuk mereka yang masih terperangkap di wilayah bergolak itu, kalau pun tidak mempunyai kemampuan dan keazaman politik untuk menghentikan pergolakan dan pembersihan etnik atas dasar perbezaan agama dan keturunan.

Sebagai juara hak asasi manusia, Aung San Suu Kyi mesti membuktikan bahawa beliau adalah juara untuk semua lapisan manusia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan latar belakang, dan bukan sekadar menayangkan ilusi juara hak asasi untuk kaum yang beliau suka sahaja, atau kelompok yang memberi kelebihan atau kemudahan politik untuk dirinya sahaja.

Malaysia juga harus mengambil iktibar daripada tragedi yang melanda Myanmar, bahawa pertelingkahan yang bertitik tolak daripada perbezaan agama dan keturunan boleh membawa akibat yang amat buruk kepada fabrik masyarakat Malaysia yang berbilang agama, budaya dan keturunan.

Untuk ke sekian kalinya saya menyeru rakyat Malaysia semuanya untuk menolak politik perkauman sempit, yang bermodalkan ekstremisme agama dan ketuanan keturunan, supaya negara tidak terjerumus ke kancah keganasan.