Lim Kit Siang

Umno, PAS perlu gabung jadi satu parti

Amin Iskandar
The Malaysian Insider
20 December 2015

Peristiwa Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang berada di atas satu pentas di Kuala Lumpur minggu ini menjawab pelbagai persoalan yang sebelum ini tidak begitu jelas.

Dalam hal kerjasama di antara 2 parti Melayu itu, Umno kelihatan lebih jujur berbanding PAS.

Ketika Hadi dan beberapa pemimpin lain masih berdolak-dalik tentang kerjasama di antara 2 parti itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan sudah 2 tahun Umno dan PAS bekerjasama.

“Kerjasama berlaku, (ia) bukan mimpi… tidak tepat (kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), itu tidak betul.
“Kerjasama berlaku 2 tahun dah,” kata pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan itu seperti dilaporkan Bernama.

Mungkin tidak semua pemimpin dalam PAS yang tahu dan dilibatkan dalam hal bekerjasama dengan Umno ini.

Maka tidak hairanlah mengapa ramai di antara pemimpin kanan PAS keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

Umno dan PAS kini sama

Ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini, Najib seolah-olah seperti seorang pemimpin PAS.

Beliau sudah mula menggunakan perkataan-perkataan Arab dalam ucapannya.

Sebelum bersalaman dengan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecatnya daripada Kabinet pada Julai, Najib menggunakan istilah seperti “syura”.

Dalam menawarkan kerjasama bersama PAS, Najib juga menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk “menghalalkannya”.

Berucap semasa merasmikan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia, presiden Umno itu turut membacakan ayat daripada surah Al-Imran dalam al-Quran bagi menyokong kenyataannya.

“Islam menganjurkan betapa pentingnya perpaduan dan kesatuan ummah dan sebaliknya, betapa bahayanya apabila kita umat Islam terjebak dalam kancah perbalahan.

“Dan petunjuk al-Quran dengan begitu jelas menggariskan perpaduan ini, sehingga orang biasa seperti saya dapat memahami.

“Ini bukan pilihan, ini wajib. Bila mana Allah perintah, hukumnya adalah wajib,” katanya semasa merasmikan multaqa itu di Kuala Lumpur yang menyaksikan perhimpunan bekas pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir dari Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.

Begitu juga dengan segelintir pemimpin PAS. Sudah lama mereka bersikap seperti Umno.

Sehingga kadang-kadang yang membezakan di antara seorang pemimpin Umno dan PAS hanyalah songkok dan kopiah.

Dewan Ulama Umno

Untuk menguatkan lagi Najib di dalam Umno, penggabungan di antara kedua-dua parti Melayu itu harus disegerakan.

Oleh kerana PAS bukanlah jenis parti politik yang mahukan kekuasaan tetapi hanya reda Allah semata-mata, penggabungan akan menjayakan lagi misi dakwah mereka.

Realitinya, walaupun sudah lebih 50 tahun PAS menjadi sebuah parti politik, mereka masih gagal menawan Putrajaya.

Jadi, penggabungan bersama Umno akan menyebabkan PAS dapat melebarkan “dakwah Islam” mereka di dalam kerajaan.

Selepas bergabung, PAS bolehlah memainkan peranan sebagai Dewan Ulama Umno.

Pemimpin-pemimpin PAS bolehlah mengambil portfolio agama dalam Kabinet dan menjadi menteri besar di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Semua ini perlu dilakukan PAS sementara Umno masih mahukan mereka. Ketika kedudukan Najib masih belum kuat. Jika Umno sudah kembali kuat, mereka juga tidak akan hairan dengan PAS.

Meneruskan PAS ketika Umno sudah menerima “Islam ala PAS” akan menyebabkan banyak pembaziran wang dan tenaga. Bergabung akan lebih menjimatkan.

Bukankah membazir itu amalan syaitan? – 20 Disember, 2015.