Bangkit lawan penzalim adalah wira, kata Mufti Perlis

The Malaysian Insider
29 August 2015

Menjelang perhimpunan Bersih 4 hari ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohamad Asri Zainul Abidin berkata, sesiapa yang bangkit menentang si zalim yang kuat ataupun pengkhianat yang berkuasa, maka dia pastinya seorang wira.

Baginya, jika hanya wanita yang ramai dalam perhimpunan ini, ia memalukan, katanya yang dipercayai merujuk kepada pengerusi Bersih 2.0, penganjur Bersih 4, yang merupakan seorang wanita iaitu Maria Chin Abdullah.

“Memalukan bagi sesebuah masyarakat ataupun pihak jika tiada wira lelaki yang muncul, sebaliknya hanya wanita yang berani tampil bersuara dan bertindak,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza.

Dalam pada itu, beliau juga memberikan ingatan, sesiapa yang ingin memperjuangkan hak rakyat tetapi merosakkan harta awam dan menyakiti mereka yang tidak terbabit, maka dia bukanlah pejuang rakyat tetapi pejuang nafsunya sendiri.

“Pastikan harta awam terpelihara dan mereka yang tidak bersalah selamat,” tulisnya di laman Facebook beliau yang dipercayai ditujukan kepada perhimpunan Bersih 4 yang akan bermula tengahari ini sehingga esok.

Bersih 4 bermula serentak di tiga tempat hari ini, iaitu di ibu negara Kuala Lumpur, Kucing, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah di samping puluhan bandaraya seluruh dunia yang menunjukkan sokongan.

Semalam, Asri menulis di laman sosial itu, golongan agamawan disarankan tidak hanya menghadkan kajian mereka dan mempelajari hanya sejarah pejuang beragama Islam semata-mata.

Katanya, mereka patut meluaskan ilmu mereka dengan melihat kepada sejarah para pejuang dari pelbagai latar.

Antara contoh pejuang ‘sosialism’ yang dinamakan beliau ialah Che Guevara yang dilabelkannya sebagai pejuang handal dengan nilai positif.

“Mengiktiraf keperwiraan seseorang pejuang bukan semestinya kita menyokong ataupun bersetuju dengan semua pegangannya.

“Kita mungkin tidak setuju dengan ‘sosialism’ Che Guevara namun kita perlu akur dia pejuang yang handal dan ada nilai positif yang patut dipuji pada dirinya,” katanya seperti dipetik dari laman Facebooknya.

Katanya, tidak salah sekiranya agamawan mengiktiraf kebaikan perjuangan dan mempelajari strategi yang mereka lalui.

“Tidaklah salah untuk kita mengiktiraf kebaikan perjuangan dan menyertainya jika ternyata ianya satu kebaikan,” katanya sambil memetik kisah dari hadis Nabi menyokong hujah beliau.

Kata Asri, Nabi Muhammad juga mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat pihak Quraisy semasa era jahiliah yang membela golongan ditindas.

Asri mengakui apabila membaca mengenai perjuangan Che Guevara, beliau begitu kagum dengan pergorbanan dan kesungguhan pejuang tersebut.

“Dalam sejarah, kita melihat orang seperti Che Guevara yang berjuang dengan senjata dan gerila. Saya terpesona dengan kesanggupan dan pengorbanan beliau,” katanya.

Selain Che Guevara, beliau menyenaraikan beberapa nama pejuang lain yang patut dipelajari sejarahnya seperti William Willborce yang berjuang melalui politik dan parlimennya.

“Nelson Mandela juga hebat sebagai seorang pejuang. Long Walk To Freedom menjadikan kita terpukau dengan kesanggupan menanggung derita yang begitu berat untuk sebuah perjuangan yang diyakini benar.

“Gandhi juga pejuang hebat yang menggunakan sentimen rakyat untuk mencapai kepentingan perjuangan yang baik,” katanya. – 29 Ogos, 2015.

Leave a Reply