Himpunan ulama progresif serlah keterbukaan politik Islam

A Shukur Harun
The Malaysian Insider
18th August 2015

Sehari suntuk mengikuti sekumpulan ulama progresif dalam majlis Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah 2015 (Nunji ’15) di Shah Alam Sabtu lalu mendedahkan kita kepada keterbukaan fiqh yang merangkumi politik Islam sesuai dengan keadaan masyarakat majmuk di negara ini.

Nunji ’15 itu berjaya mengumpulkan ulama yang berfikiran terbuka dan mendukung aspirasi Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bercita-cita membawa rakyat Malaysia kepada Islam sebagai “Rahmatan lil Alamin” (Rahmat seluruh alam) dengan sifatnya yang teguh, anjal, toleran dan adil.

Ini satu perkembangan baharu dalam memahami kemurnian tasawuur Islam, terutama mengenai hukum-hakam yang dilihat sering diselubungi kejumudan dan shadid (keras), menyebabkan wajah Islam yang sepatutnya ceria dan ramah menjadi bengis, malah menakutkan.

Dengan lebih 500 orang peserta menghadirinya, terdiri daripada ustaz/ustazah dengan sokongan kuat pelbagai pihak, khususnya NGO seperti Ikram, Abim, dan lain-lain, menggambarkan sokongan luar biasa terhadap sebuah cita-cita besar yang dipelopori oleh GHB – yang akan menjadi parti politik bernuansa Islam awal bulan depan.
Cita-citanya ialah mengenengahkan Islam yang syumul dan benar-benar murni dan hebat.

Perbincangan Nunji ’15 itu sendiri pula turut diikuti ribuan pendengar luar negara, menunjukkan pelbagai golongan masyarakat amat mengharapkan kejayaan usaha GHB ini iaitu memberikan pencerahan kepada tuntutan Islam sebenar, khususnya pembentukan formula “Fiqh Malaysia” yang sesuai untuk negara bermasyarakat majmuk ini.

Tahniah kepada Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa yang memimpin Nunji ’15 itu dengan jayanya dan juga Setiausaha GHB, Dr Dzulkefly Ahmad serta pimpinan GHB seluruhnya serta pembentang kertas kerja Nunji 15 itu.

Nadwah ulama itu dirasmikan oleh Penasihat GHB, Ahmad Awang yang juga ketua Ittihad Ulama Sedunia Cawangan Malaysia. Ucapan utamanya oleh Sheikh Sayyid Muhammad Ferjani (salah seorang pimpinan parti An-Nahdah Tunisia) dengan moderatornya Ridzuan Abu Bakar.

Kertas kerja pertama dibentangkan Datuk Dr Siddiq Fadzil, diulas oleh Dzulkefly, sementara kertas kerja kedua oleh Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dengan Dr Maszlee Malik sebagai pengulas.

Kertas kerja selanjutnya Dr Mohd Farid Sheikh Ahmad dan diulas Dr Dzulqarnain Lukman. Disusuli forum di mana panelnya Hasanudin Mohd Yunus, Dr Siti Mariah Mahmud dengan moderatornya, Asrul Hakim Suradi.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup pemimpin utama GHB, Mohamad Sabu, yang sangat menekankan persoalan integriti yang perlu ada dalam sesebuah parti politik. Parti baharu ini, katanya, berusaha ke arah itu.

Dalam ucapan alu-aluannya, Mujahid berkata, sebagai sebuah NGO yang akan segera menjadi parti politik, GHB melihat dengan cermat segala perubahan yang berlaku, termasuk suasana hubungan agama dan kaum yang semakin tegang ketika ini.

“Atas dasar itu, GHB terpanggil mencari satu formula penyelesaian kepada kemelut yang berlaku, dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan,” katanya.

Menurutnya, GHB dan rakan-rakan berusaha mencari formula pendekatan Islam dalam bernegara dan melahirkan “fikrah Malaysia”.

Mengikuti ucapan Ferjani sangat menarik, iaitu pengalaman An-Nahdah yang terlibat dalam politik Tunisia. Parti Islam itu pernah menang dan kalah dalam pertarungan pilihan raya di negara itu.

Oleh kerana An-Nahdah sentiasa menitikberatkan integriti, sangat peduli rakyat, sederhana, maka ia sangat dihormati dan diajak berkongsi kuasa dengan parti yang menang di negara itu di mana An-Nahdah menerimanya.

Menurut pemimpin An-Nahdah itu, parti politik Islam tidak boleh bersendirian, ia perlu berkongsi kuasa dengan parti lain dengan segala keterbukaan dan toleransinya.

Adalah tidak munasabah, katanya, jika sesebuah arti Islam hendak memasuki pilihan raya bersendirian dan hendak memerintah. Beliau seperti merujuk kepada situasi di negara ini yang bermasyarakat majmuk.

Ferjani menekankan parti politik Islam mestilah berjuang bersama membangun ekonomi rakyat, memperlihatkan keadilan Islam hingga semua rakyat dapat melihat keadilannya.

Baginya, Islam tidak sekedar hukum-hakam, tetapi juga peri kemanusiaan, toleransi, keadilan, kasih sayang sesama manusia.

Ini, katanya, banyak ditekankan di dalam Al-Quran dan Sunnah dan inilah yang dilaksanakan oleh An-Nahdah sebagai gerakan dan parti politik Islam.

Beliau kali kedua berkunjung ke Malaysia dan sebanyak sendikit memahami situasi negara ini yang memiliki masyarakat majmuk yang unik. Menurutnya, tidak mungkin sebuah parti Islam betapa pun lama dan berpengalaman mampu berjuang bersendirian mendapatkan kuasa, melainkan bertahalluf-siyasi dengan parti lain.

Baik Siddiq, Maszlee dan pembentang serta pengulas kerja yang lain di wacana tersebut, semuanya memberikan pandangan bagaimana Rasulullah (s.a.w.) melaksanakan politik tolleransi dan pandangan jauhnya.

Mereka menyebut mengenai peristiwa Hilful Fadhul, Perjanjian Hudaibiyah, pembukaan kota Mekah, layanan Rasulullah terhadap orang Islam dan bukan-Islam di Madinah, malah terhadap golongan Yahudi sendiri, peristiwa baginda melarang anak ketua golongan munafiq, Abdullah Ubayy daripada membunuh bapanya, peristiwa Taif, dan lain-lain.

Demikian juga baginda tidak meneruskan hasratnya mengalih kedudukan Ka’bah ke tempat asalnya selepas banjir akibat pecahnya ampangan Maarib. Ini semata-mata memikirkan persepsi golongan yang baru memeluk Islam di Mekah.

Pelbagai peristiwa lagi yang semuanya mencerminkan Baginda sangat mengambil kira persepsi masyarakat serta suasana persekitaran.

Menurut pembentang dan pengulas kertas kerja ini, sesiapa yang hendak mendukung politik Islam mestilah mencontohi semua kaedah politik Islam Nabi ini, kerana menelusuri masalah dan mengatasinya adalah tuntutan syariat Islam itu sendiri.

Tulisan saya akan datang akan memfokuskan lagi beberapa pandangan agamawan progresif dalam program Nunji ’15 itu. – 18 Ogos, 2015.

Leave a Reply