Parti baharu bukan kumpulan terbuang

A Shukur Harun
The Malaysian Insider
30 June 2015

Selepas dikalahkan dengan cara paling hina di muktamar PAS baru-baru ini, golongan progresif dan sederhana dalam parti itu merancang menubuhkan sebuah parti baharu lepas Hari Raya Aidilfitri sebagai memenuhi harapan baharu rakyat Malaysia.

Penubuhan parti ini juga untuk meneruskan legasi perjuangan Allahyaram Datuk Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sangat terbuka dan demokratik.

Kumpulan ini mulanya bernama Kumpulan 18 (G18) kini dinamakan “Kumpulan Harapan Baharu” kerana jumlahnya bertambah.

Ia memang berhak mendakwa sebagai pewaris perjuangan kedua-dua tokoh yang amat disayangi majoriti rakyat Malaysia itu.
Ini kerana, golongan progresif ini sangat serasi dengan metodologi perjuangan dua tokoh tersebut iaitu menjadikan PAS parti yang inklusif, tidak jumud dan ekstrem, menyebabkan PAS diterima pelbagai kaum dan agama, meskipun ia tetap memperjuangkan Islam.

Atas inisiatif mereka dan disokong oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat sivil, mereka merancang menubuhkan parti baharu, di mana buat sementara ini dipanggil G18 – mengambil sempena 18 tokoh yang dikalahkan itu. Nama rasmi parti baharu itu akan diumumkan sempena pelancarannya beberapa minggu lagi.

Kini perancang parti baharu ini sedang giat mengadakan perbincangan demi perancangan ke arah penubuhannya yang dilihat sangat dinanti-nantikan oleh majoriti rakyat.

Namun pada awal-awal lagi sesetengah pemimpin PAS yang ada sekarang begitu segera memperkecilkan penubuhan parti baharu itu. Ada yang mengatakan, kononnya parti serpihan PAS itu tidak akan panjang umur dengan mengambil contoh parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dulu.

Ada juga pemimpin PAS memperkecilkan tokoh progresif itu sebagai daun yang gugur selepas pohonnya digegarkan ribut. Golongan profesional ini dianggap daun gugur yang langsung tidak ada nilai, sedangkan pohonnya, kononnya, tetap teguh.

Ada yang juga yang berkata tindakan menubuhkan parti baharu itu hanya akan menguntungkan musuh, Lebih jauh, ada pula ustaz muda tokoh segera PAS yang dengan segera hendak mengajar kumpulan sederhana ini supaya melihat sejarah gemilang PAS selama ini.

Saya kira pandangan negatif pimpinan PAS terhadap parti baharu ini perlu dijawab untuk memberitahu tahap tidak matangnya mereka dalam politik.

Pertama, parti baharu ini tidak akan menjadi Hamim dan Berjasa, kerana situasinya berbeza, keadaan mencetuskan parti baharu ini berbeza, sambutan rakyat juga berbeza dan persepsi umumnya berbeza di zaman penubuhan Berjasa dan Hamim dengan keadaan yang ada sekarang.

Daripada kajian awal yang diperoleh – terutamanya di bandar dan semi bandar – rakyat pelbagai golongan sedang menantikan penubuhan parti baharu ini.

Hamim dan Berjasa adalah proUmno, sementara parti baharu ini menentang Umno/BN.

Hamim dan Berjasa hanya mendominasi kawasan Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu, sedikit di pantai barat Semenanjung, sementara parti baharu bersifat nasional, seluruh Malaysia.

Parti baharu ini diyakini akan disertai pelbagai golongan rakyat yang sedar – terutama masyarakat sivil dan generasi baharu – yang dilihat sedang menantikan penubuhan parti baharu ini, Ini gelombang besar yang akan mengejutkan pemimpin PAS sendiri nanti.

Dengan kehadiran media baharu, perkembangan politik baharu ini mudah tersebar luas. Dari itu, menyamakan parti baharu dengan Hamim dan Berjasa tidak munsabah, malah ketinggalan zaman.

Kelemahan pemimpin PAS sekarang ialah mereka tidak memahami perkembangan politik terkini, kerana tenggelam dengan emosi dan prejudis, hanya berbangga dengan lutut dan siku bukan fakta dan ilmu.

Kedua, golongan progresif ini bukan daun yang gugur dan terbuang akibat ribut. Golongan ini masih gemilang dan terbilang. Mereka tetap berharga di kaca mata masyarakat yang sedar, bukan golongan yang jumud dan ekstrem.

Malah, tidak mustahil pula ribut besar yang melanda PAS boleh menumbangkan batang tubuh PAS itu sendiri kerana masyarakat melihat PAS kini sedang melakukan “reverse gear” yang amat menghairankan. Akhirnya ia kembali menjadi parti politik Pantai Timur.

Ketiga, Penubuhan parti baharu ini tidak menguntungkan musuh, malah menggerunkan mereka. Ini kerana ia sebuah harapan baharu dan kekuatan baharu yang didukung oleh majoriti rakyat.

Berbanding dengan krisis yang dialami PAS memang jelas menguntungkan musuh dipandang dari sudut apa pun kerana ia memecahkan Pakatan Rakyat.

Keempat, adapun ustaz muda yang menjadi tokoh segera PAS yang segera hendak mengajar kumpulan sederhana ini supaya melihat sejarah gemilang PAS selama ini perlulah mereka mencerminkan diri sendiri lebih dulu.

Pada ketika mereka masih belajar di Timur Tengah, tokoh veteran G18 ini sudah pun berjuang dalam PAS dengan keringat dan air mata mereka. Merekalah yang mengukir sejarah kegemilangan PAS selama ini menerusi kepimpinan Fadzil dan Nik Aziz.

Tokoh inilah yang berjuang di dalam PAS hasil inspirasi pendedahan perjuangan Ikhwanul-Muslimin, Jamaat e-Islami Pakistan, Jamaah An-Nur, Turki, pembacaan buku dan pertemuan dengan tokoh gerakan Islam rantau ini dan antarabangsa.

Oleh itu jangan ada sesiapa dengan penuh angkuh cuba menafikan keunggulan tokoh PAS ini.

Di sini mari kita renung dengan pemikiran jernih penubuhan parti baharu ini sebagai harapan baharu masa depan rakyat Malaysia di mana ia akan menyertai gabungan parti pembangkang yang ada sekarang.

Saya tetarik dengan pemikiran terbuka, pemimpin parti baharu ini, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi “rahmat yang tersembunyi” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Beliau yang menjadi setiausaha jawatankuasa bertindak G18 itu berkata penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.

Parti baharu ini akan menggabungkan semua masyarakat sivil di negara ini terutama badan NGO Islam bagi membentuk satu wadah baharu politik Malaysia berteraskan Islam yang lebih progresif berbanding parti lama mereka.

Beliau yakin wadah ini akan lebih diterima masyarakat Malaysia kerana sifatnya yang inklusif dalam sebuah negara berbilang agama dan bangsa ini.

Selain akan bergabung dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama. – 30 Jun, 2015.

One Reply to “Parti baharu bukan kumpulan terbuang”

  1. There is talk that the new Party will start in Kelantan the heart of PAS country. If its true, its bold, daring and admirable. BUT is it WISE?

    NewParty is really about delivering real things over the hallucination and appearances of current PAS..Its immediate goal must be something practical, something it can build real things. The publicity and the sensatinalism may be more starting in Kelantan and that will be useful for short term political milleage and morale but again, the NewParty must be just as real political strategy wise as what it promises..

Leave a Reply