Lim Kit Siang

Selepas ‘cai’ tentukan pimpinan PAS

A Shukur Harun
The Malaysian Insider
9 June 2015

Dengan berbekalkan sekeping cai – kertas yang mengandungi senarai nama calon pimpinan PAS yang perlu dipilih – maka perwakilan di muktamar PAS minggu lalu pun mengundi dalam situasi di mana cai itu memberi arahan bisu supaya mengundi nama yang tersenarai dalam cai itu.

Walaupun sebahagian kecil perwakilan tidak menurut ‘arahan ghaib’ cai itu, tetapi kebanyakannya mematuhi arahan supaya mengundi calon yang tersenarai dalam cai itu.

Diberitakan, hampir 80% perwakilan dipengaruhi dengan kertas ‘cai’ itu. Ada pihak yang sempat merakam gambar perwakilan yang sedang ‘khusyuk’ meneliti cai, sebelum mengundi berdasarkan arahan cai tersebut.

Demikian berkuasanya sekeping kertas cai yang tidak diketahui siapa yang menentukan nama yang tersenarai itu, tetapi nyatalah ia sangat berkuasa.
Menurut pemerhati yang mengikuti pergolakan di dalam PAS, ini sebuah konspirasi peringkat tinggi yang terancang begitu lama hingga menjadikan demokrasi di dalam PAS sebagai lawak jenaka.

Tidak ada rasa malu dan segan silu, tidak lagi merujuk akal dan bisikan hati nurani akan apa yang dilakukan, walaupun ada peringatan tegas dari Nabi Muhammad: “Jika kamu tiada rasa malu lakukanlah.”

Barangkali ada ustaz yang lupakan hadis ini.

Kita tidak pernah fikirkan bagaimana konspirasi ini berlaku, yang nyata mempermainkan demokrasi dan sampingkan etika moral di dalam sebuah parti yang bernuansa Islam berumur 61 tahun itu.

Hinggakan seorang sahabat memberitahu saya, kalau begini caranya, andainya Profesor Dr Yusuf Al-Qaradhawi bertanding pun akan kalah jika tidak tersenarai namanya dalam cai itu.

Tetapi apa yang terjadi terjadi. Tidak mungkin dapat dibaiki lagi. Demokrasi dan moral dihumbankan ke sungai kerana ‘tujuan menghalalkan cara’ iaitu doktrin politik Machiavelli, ahli teori politik Itali yang juga pernah berkata, “Politik tidak ada hubungan dengan moral.”

Dengan ‘kuasa ghaib cai’ itu, tersingkir para tokoh golongan sederhana PAS, walaupun betapa cemerlangnya khidmat dan pengorbanan mereka kepada PAS selama ini.

Maka gembiralah nampaknya golongan konservatif ini atas nama pendukung Islam sejati, yang mendakwa mahu mempertahankan parti dari penyelewengan.

Peristiwa yang sangat memalukan ini berlaku di Muktamar PAS di Kuala Selangor, negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, negeri yang menjadi pusat demikian ramai para cerdik pandai tanah air.

Jika begitu petunjuk yang diberikan, maknanya dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS di muktamar akan datang, maka perwakilan tidak perlu lagi berfikir siapa pemimpin yang wajar dipilih, justeru cai sudah menyediakan segalanya.

Ertinya di sini, cai menjadi sebahagian sejarah penting PAS kerana ia mencorakkan kepimpinan PAS.

Inilah wajah PAS yang selama ini ahlinya ditarbiyahkan melalui usrah, tamrin, mukhayam dan pelbagai lagi oleh para murabbi supaya ahli PAS berilmu, berakhlak mulia dan seterusnya boleh berfikir.

Puluhan tahun ahli PAS diperingatkan mengenai akhlak Islam, pertahankan ukhuwah Islamiyah, jangan memfitnah, umpat keji, melebel golongan yang tidak disukai.

Malangnya kini segalanya terburai.

Di sinilah saya amat terkesan dengan ucapan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N. Balasubramaniam di muktamar tersebut yang menyatakan rasa terkejutnya melihat amalan fitnah memfitnah dan saling melabel yang berlaku dalam parti Islam itu.

Pada masa yang sama, beliau bertanya pemimpin PAS, khususnya kumpulan ulama, sama ada terdapat dalam Al-Quran yang menghalang seseorang melakukan amalan memfitnah.

“Saya tidak pasti sama ada dalam Islam dan dalam al-Quran ada atau tidak larangan supaya jangan memfitnah dan jangan melabel orang lain,” kata Balasubramaniam.

Kalau ada, katanya, kenapa ulama PAS tidak mengawal ini daripada berlaku dalam parti?

“Kami di dalam DHPP tidak mahu amalan fitnah dan label-melabel berlaku. Kami berharap Islam di bawah kepimpinan ulama supaya tampil ke dapan menegur. Kami menumpang kasih Islam yang dibawa PAS,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam muktamar tersebut.

Ini peringatan dan teguran sangat bermakna dari pemimpin DHPP yang saya kira perlu diberi perhatian serius kerana beliau – yang bukan Islam – terkejut dengan budaya fitnah dan melabel yang wujud dalam PAS. Sementara itu, dengan pemilihan pimpinan baru dan keadaan yang berbangkit di dalam PAS akhir-akhir ini, ramai yang bertanya bagaimana masa depan PAS.

Ada kecenderungan di kalangan sesetengah pemimpin PAS, berdasarkan kenyataan dan ucapan mereka, PAS mampu berdiri sendiri, tidak perlu berjuang bersama Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi dengan keadaan hubungan PAS yang amat kritikal dengan DAP.

Ertinya PAS boleh bertanding sendiri dengan keyakinan mereka kononnya undi Melayu akan pergi kepada PAS. Benarkah begitu?

Namun bukti nyata ialah dalam PRU 2008 dan 2013, kemenangan calon PAS kebanyakannya kerana sokongan pengundi bukan Islam. Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, malah di bandar lain menjadi bukti nyata.

Oleh itu, bolehkah PAS hanya mengharapkan kemenangan di negeri Pantai Timur? Itu pun belum tentu lagi. PAS memerintah Kelantan di tahun 1990 ialah hasil gabungan PAS dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Sementara itu, menurut statistik jumlah pengundi di kawasan luar bandar akan merosot hingga sekitar 25% sahaja lagi dalam PRU akan datang. Dalam keadaan begini, bolehkah PAS mengharapkan undi mereka ini saja untuk menang?

Saya tidak dapat bayangkan – terutamanya dalam konteks negeri Selangor – jika berlaku PAS memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi tidak dengan PKR dan masih hendak bersama Pakatan Rakyat. Ini adalah suatu langkah politik yang sangat pelik.

Selepas golongan konservatif PAS ini menang besar, maka rakyat mahu melihat agenda dan roadmap mereka. Bagaimana mereka berinteraksi dengan rakyat di luar PAS secara terbuka, bukan lagi sekadar bertemu sesama sendiri di Liqak Fikri dan pelbagai ijtima serta program dalaman parti. – 9 Jun, 2015.