Setahun sudah MH370

Nomy Nozwir
The Malaysian Insider
7 March 2015

Minggu ini genap setahun saya menulis dalam ruang kolum The Malaysian Insider, saya masih ingat pada mula-mula kejadian pesawat malang MH370, dari Kuala Lumpur menuju Beijing, telah hilang entah ke mana.

Bagi saya, peristiwa kehilangan pesawat ini adalah satu momen yang cukup besar kepada sejarah negara ini, sama seperti peristiwa 13 Mei 1969 atau pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pejam celik pejam celik, sudah setahun peristiwa besar dalam sejarah negara kita itu sudah berlalu.

Peristiwa itu kita dapat menyaksikan seluruh rakyat Malaysia, tidak mengira agama, kaum, dan semangat kepartian bersatu berharap pesawat malang itu dapat ditemui.

Majlis solat hajat, kempen bakar lilin dan tandatangan sebagai satu tanda rakyat ini bersimpati atas mangsa yang berada dalam kapal terbang itu, serta berharap kapal terbang itu dapat dijumpai.

Sehingga hari ini, usaha untuk mencari pesawat itu masih diteruskan, dengan langkah-langkah aktif dilakukan oleh tentera laut Australia mencari kawasan seluas-luasnya di Lautan Hindi, serta penat lelah para pencari masih belum hilang.

Dari situ, kita lihat terdapat persaingan kuasa besar dalam menghulurkan bantuan, antara China dan Amerika Syarikat, bagi mendapat tempat cengkaman untuk terus memperluaskan empayar masing-masing.

Amerika Syarikat muncul kuasa tunggal besar dunia sejak kejatuhan Soviet pada penghujung 1980an, terus mahu memperkukuhkan kedudukan empayar melalui dasar “Pivot Asia”, sementara China yang mula berkembang pesat ekonomi selepas reformasi Deng Xiaopeng, mula mahu meluaskan penguasaan pengaruh mereka melalui dasar apa yang dipanggil “Silk Road 2.0”.

Melalui peristiwa ini jugalah, kita dapat melihat betapa pentingnya kedudukan strategik wilayah Asia Tenggara dalam usaha untuk memperluaskan empayar mereka.

Kawasan Asia Tenggara sejak dahulu lagi menjadi kedudukan strategik untuk sebuah kuasa besar, Portugis, Belanda, dan British, sebagai pusat perdagangan dan bahan mentah yang strategik yang menjalinkan antara Timur dan Barat.

Hari ini, Amerika sebagai ‘superpower’, hasil kemenangan dari Perang Dingin, mahu meneruskan kelangsungan Pax Americana.

China pula cuba bersaing sebagai satu ’emergence power’ yang mahu menguasai kekayaan di negara dunia ketiga.

Peristiwa MH370 ini jelas sekali begitu penting kerana banyak berlakunya peristiwa yang menentukan geopolitikal di Asia Tenggara.

Tetapi, persoalan yang tinggal persoalan oleh rakyat Malaysia: apa sebenarnya yang telah berlaku pada malam malang 8 Mac 2014 itu.

Jawapan sentiasa dinanti oleh rakyat Malaysia, sementara itu kecelaruan dan pelbagai spekulasi dicetuskan seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan.

Saya bukan cuba untuk mencetuskan spekulasi, tetapi semakin banyak jawapan yang diberikan, semakin banyak timbul persoalan mengenai peristiwa ini.

Isu seperti manggis dua tan, data terakhir dari pesawat itu, serta radar pesawat di Gong Kedak, Terengganu hanya dapat menemui data terakhir pesawat tersebut ketika berada di Teluk Siam, menimbulkan banyak persoalan.

Mengapa begitu sulit untuk memberitahu cargo manifest, atau mengapa radar tidak dapat membaca kapal terbang itu ke mana arahnya, masih terus ditanya oleh rakyat.

Dan setiap kali dengan isu ini diceritakan, kerajaan negara ini hanya mahu memain sentimen dan terus meniup harapan bahawa pesawat itu akan dapat dijumpai juga.

Kini, sudah setahun peristiwa pesawat malang itu berlalu. Tetapi, apakah ia benar-benar malang akibat kerosakan mekanikal, atau ianya sebenarnya ‘buah catur’ permainan kuasa-kuasa besar?

Beberapa bulan selepas MH370, peristiwa MH17 ditembak di ruang udara Ukraine, tempat dimana Amerika dan Kesatuan Eropah sedang ‘bergusti’ dengan Rusia, sebuah bekas ‘superpower’ Soviet Union.

Apa yang sebenarnya berlaku? Selepas setahun, saya terus bertanya soalan ini.

Yang pasti, saya tidak akan tanya soalan ini kepada Raja Bomoh. – 6 Mac, 2015.

Leave a Reply