Parlimen akan bincang MH17, juga perlu lihat kes MH370

KOMENTAR THE MALAYSIAN INSIDER
20 July 2014

Penggubal undang-undang di Malaysia dari kedua belah pihak akan berpeluang pada Rabu ini membincangkan dan mengutuk serangan peluru berpandu yang meletupkan kapal terbang MAS MH17 bersama 298 penumpangnya Khamis lalu.

Amat berbesar hati apabila ahli politik sudi mengenepikan perbalahan mereka dan bersatu menentang sesuatu yang boleh dikatakan pembunuhan beramai-ramai manusia tidak berdosa di zon perang Ukraine. Tetapi bagaimana pula dengan pesawat MH370?

Sementara Malaysia menumpukan kepada tragedi kedua menimpa negara dan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines dalam jarak tempoh empat bulan, adakah kita lupa tragedi pertama itu masih menjadi misteri hingga sekarang?

Kita akan jadi sebuah negara yang lalai kiranya kita buang jauh MH370 dari ingatan hanya kerana pesawat Boeing 777-200ER dengan nombor pendaftaran 9M-MRO bersama 239 penumpangnya itu tidak dapat dijejaki.

Kita jelas kenapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Putrajaya bersedia mengadakan sidang Parlimen membincangkan kes MH17 – kerana ia serangan ketenteraan dan tidak ada kesalahan yang akan dilabelkan atas MAS atau kerajaan – walaupun terdapat komen nakal yang terus mengaitkan kedua-duanya kepada kejadian itu.

Jadi, selamat untuk Putrajaya menjadi dermawan dan memanggil sidang parlimen tergempar yang mendapat sokongan pihak pembangkang. Sindiran akan mengatakan ia cuma satu sesi bising-bising mengutuk pengganas dan sebagainya, tetapi ia harus diteruskan untuk memastikan petualang dibawa ke muka pengadilan.

Menjadi kerajaan bukan hanya bermakna mempunyai lebih kuasa, tetapi juga ia mesti memastikan setiap orang di negara ini selamat dan paling penting dalam jagaan mereka yang bertanggungjawab. Dan ini bermakna melakukan perkara yang betul pada setiap masa.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang rakyat Malaysia seolah-olah dihujani berita buruk setiap hari. Selain dua tragedi udara itu, terdapat juga serangan dan penculikan di Sabah, kebangkitan sayap kanan retorik dan kebimbangan sebenar tentang kualiti dan integriti kepimpinan di Putrajaya.

Sesi soal jawab Parlimen yang jujur dan terbuka tentang MH370 pasti akan jadi lebih berserabut dan buruk daripada sesi tentang MH17 dengan persoalan mengenai tindak balas awal Putrajaya terhadap kehilangan pesawat itu.

Juga, soalan yang tidak berjawab tentang ada atau tidaknya tindakan ketenteraan apabila MH370 lesap tanpa sebarang kesan pagi 8 Mac itu.

Satu sesi Parlimen atau suruhanjaya siasatan diraja menyiasat MH370 boleh menjelaskan habis-habisan kekaburan berkisar kes misteri penerbangan itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia juga akan menenangkan sedikit ahli keluarga penumpang MH370 itu yang sepanjang empat bulan lepas memikirkan sama ada mereka masih hidup, meninggal dunia atau akan dijumpai akhirnya.

Apabila Putrajaya keberatan meletakkan dirinya terbuka untuk disiasat, ia membuatkan kerajaan lebih kelihatan bersalah dan seolah-olah mengaku ia boleh lakukan lebih lagi untuk menjejak Boeing 777-200ER itu pada awal pagi kehilangannya dikesan.

Jadi, nampak lebih mudah untuk membincangkan kes Boeing 777-200ER yang bernombor pendaftaran 9M-MRD dengan 298 penumpang itu, kerana ia jenayah terbesar dunia sekarang.

Putrajaya mesti adil kepada kedua MH370 and MH17. Ahli Parlimen tidak boleh membincangkan yang satu tanpa merujuk kepada yang satu lagi. Semua 510 penumpang dan 27 anak kapal atas kedua-dua pesawat layak mendapat perhatian sewajarnya.

Sejauh mana ahli Parlimen akan meneliti, berdebat dan mengutuk kejadian 10,000 meter di udara Ukraine Khamis lalu, mereka juga mesti lakukan yang sama untuk kejadian pada Mac di Laut China Selatan, semenanjung Melayu, Laut Andaman dan selatan Lautan Hindi.

Hati kita juga sama hancur seperti keluarga penumpang MH370 and MH17. Jadi, paling kurang yang mampu kita lakukan ialah meneliti setiap sudut kejadian MH370 seperti yang kita lakukan untuk MH17.

Kurang daripada itu ialah seakan satu tragedi yang sama hebatnya seperti kedua-dua tragedi penerbangan itu. Kurang daripada itu ialah satu ketidakadilan kepada Malaysia Airlines dan penumpang MH370 dan MH17. – 20 Julai, 2014.

Leave a Reply