Shahrulazwad Ismail
The Malay Mail Online
May 27, 2014
26 MEI — Universiti Teknologi MARA (UiTM) sering diperdebatkan baru-baru ini semenjak pencalonan calon parti politik DAP, Dyana Sofya Mohd Daud untuk kerusi Parlimen Teluk Intan. Pada tahun lepas, Dyana yang merupakan seorang graduan Fakulti Undang-Undang UiTM telah mencadangkan agar sebuah institusi seperti UiTM dibuka kepada golongan bukan bumiputera yang berpendapatan rendah.
Sesetengah pihak menganggap Dyana mahu UiTM dimansuhkan ataupun paling tidak dibuka kepada semua kaum. Dyana turut juga membangkitkan kepincangan dalam pengambilan pelajar apabila golongan Bumiputera yang kaya diterimamasuk sebagai pelajar lantas telah mengambil hak golongan bumiputera yang miskin untuk belajar di situ.
Sekurang-kurangnya satu kesan positif yang timbul daripada isu panas ini ialah timbul kesedaran tentang peranan UiTM dikalangan rakyat walaupun diiringi dengan pelbagai kritikan, prasangka dan juga hinaan dan cacian secara terbuka di media-media. Saya yakin ramai sudah maklum serba sedikit tentang sejarah dan matlamat penubuhan institusi ini dan tidak kurang juga tentang Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Pelbagai hujahan telah ditulis oleh pelbagai pihak baik dari pihak UiTM, para graduan UiTM (selain Dyana), para majikan dan tidak kurang juga golongan awam. Eloklah kita ambil kesempatan ini untuk menilai tahap kejayaan UiTM ketika ini dan mengenalpasti halatuju selanjutnya.
[Harap maklum bahawa penulis juga merupakan graduan Fakulti Undang-Undang UiTM sejak sepuluh tahun yang lepas.]
UiTM tidak wujud serta-merta sebagai sebuah universiti. Sejarah UiTM bermula dengan misi dan skala yang kecil selaras dengan matlamat untuk memajukan golongan luar bandar yang majoritinya ialah bumiputera. Bermula dengan Dewan Latehan RIDA, kemudiannya Maktab MARA dan berkembang pesat menjadi Institut Teknologi MARA (ITM) sehinggalah ke hari ini sebagai UiTM.
Perkembangan UiTM adalah organik dan semakin maju seiring dengan keperluan. Kursus-kursus yang ditawarkannya bukan sembrono. Permulaannya hanya tahap Sijil, kemudiannya Diploma, Diploma Lanjutan dan akhirnya Ijazah Pertama, Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (Phd) Kesemuanya dianjurkan dengan kerjasama badan-badan professional dan universiti-universiti antarabangsa dan diiktiraf di dalam dan di luar negara.
Kita tidak dapat menafikan bahawa UiTM telah berjaya mengubah kehidupan golongan bumiputera yang zahirnya tidak mungkin memperolehi peluang untuk mengubah kehidupan generasi mereka berikutnya. Bermula dengan sedikit ilmu ataupun kemahiran yang disokong dengan persijilan yang diiktiraf, anak-anak petani, pekebun ataupun nelayan tidak lagi terpaksa mewarisi pekerjaan turun-temurun nenek moyang mereka.
Memang hakikatnya, golongan bumiputera adalah yang termiskin pada 50 tahun yang lepas. Ia adalah hasil pemerintahan penjajah British yang mengamalkan sistem identiti kaum di mana kaum Melayu dikekalkan dengan pekerjaan tradisi seperti petani, pekebun dan nelayan, kaum India dibawa sebagai pekerja estet dan kaum Cina sebagai pelombong dan selebihnya peniaga.
UITM setelah sekian lama sebelum dinaiktaraf menjadi UiTM telah dikenali sebagai institusi yang bukan universiti menawarkan kelulusan tertinggi Diploma Lanjutan dan kemudiannya Ijazah Pertama pada tahun 1996. Misi ITM adalah untuk mengimbangi kekurangan tenaga kerja profesional dan separa profesional di kalangan bumiputera dan ITM telah berjaya dalam misi ini.
Secara ringkas, ITM melatih graduannya untuk dunia pekerjaan dan berjaya memenuhi keperluannya ketika itu.
Tanggapan popular ketika itu ialah ITM sebagai tempat pelajar bumiputra yang tidak cukup kelayakan dan/atau tidak cukup kemampuan kewangan ke universiti.
Universiti pula tidak banyak seperti sekarang. Memang begitulah dilemma yang sinonim dengan golongan bumiputera ketika itu; sama ada tidak cukup layak dan/atau tidak cukup kemampuan kewangan. Status sosial bumiputera yang diwarisi daripada nenek moyang tidak mudah diubah hanya melalui satu generasi.
Meritokrasi masih terpakai walaupun dikalangan bumiputera. Tiada graduan yang lulus percuma. UiTM masih sehingga kini dikawal selia oleh agensi kerajaan dan rakan-rakan universiti antarabangsa.
Persoalan Dyana tentang golongan bumiputera yang kaya menjadi pelajar di UiTM ada juga rasionalnya. Di antara calon-calon yang layak, pasti ada yang gagal dan tidak adil jika bumiputera yang miskin dinafikan haknya dan tempatnya diambil oleh bumiputera yang kaya, walaupun dia layak dari segi akademik. Kelayakan status sosial perlu menjadi titik penentu dalam pengambilan ke UiTM. Tidak wajar golongan kaya diberikan subsidi dalam pendidikan.
UiTM difahamkan mempunyai aspirasi global. Apabila ITM dinaiktaraf menjadi UiTM pada tahun 1999, ia adalah satu permulaan yang baru. UiTM mustahil menjadi universiti elit ala Ivy League dengan sekelip mata. UiTM mengejar reputasi akademik tetapi masih memegang tanggungjawab sosial terhadap golongan bumiputera.
Menurut ranking universiti dunia kelolaan QS setakat tahun 2013, UiTM berada ditangga 201-250 di Asia dan 701+ di dunia. Di Malaysia, UiTM berada ditangga ke 8 berkongsi dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan di atas Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Limkokwing University of Creative Technology (LUCT), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan universiti-universiti lain yang tidak tersenarai.
Syarat kemasukan UiTM hanya kepada golongan bumiputera wajar dikekalkan. UiTM telah menggunakan budibicaranya dengan baik apabila membuka tempat kepada pelajar bukan bumiputra tajaan kerajaan untuk program persediaan luar negara di International Education Centre (INTEC), sebuah institusi milik UiTM.
Selain itu, pelajar antarabangsa juga ditawarkan untuk belajar program lepasan ijazah di Insitute of Graduate Studies (IPSIS), UiTM.
UiTM tidak boleh dibandingkan dengan universiti-universiti biasa. Dalam mengejar reputasi sebagai universiti terkemuka di dunia, nampaknya UiTM sudah berada dilandasan yang betul tanpa perlu taksub dengan ranking.
Tanggungjawab sosialnya masih dipikul contohnya melalui program Destini Anak Bangsa. Mungkin di masa hadapan, pihak Senat UiTM boleh menimbang untuk menerima pelajar bukan bumiputra ke IPSIS sahaja. Ini tidak akan menjejaskan tanggungjawab sosial UiTM dan UiTM akan mempunyai peluang lebih cerah untuk menjadi universiti mega dengan matlamat sosial yang cemerlang di dunia sepertimana California State University (CSU) dan State University of New York (SUNY) di Amerika Syarikat.