Kit Siang mengaku bukan mudah kekalkan kerusi parlimen Teluk Intan

Astro Awani
Bernama | Kemas kini: Mei 18, 2014

TELUK INTAN: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata parti itu berhadapan dengan cabaran besar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu hujung bulan ini.

Beliau berkata DAP telah mengambil keputusan berani dengan mencalonkan setiausaha politiknya, Dyana Sofya Mohd Daud.

Pemimpin veteran itu berkata beliau yakin calon wanita muda berusia 27 tahun itu mampu memenangi hati pengundi di kawasan Parlimen itu.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Penamaan calon ditetapkan Isnin ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei ini.

Bagaimanapun, DAP telah memulakan kempen pada Sabtu apabila Dyana Sofya turun padang bersama mentornya, Kit Siang, untuk bertemu pengundi di pasar malam di kawasan Dataran Menara Condong di sini.

Bagi Dyana Sofya pula, apabila ditanya mengenai calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53, yang juga Presiden Gerakan, katanya faktor usia dan kaum tidak menjadi masalah besar bagi dirinya.

“Sebelum ini pun ramai pemimpin muda yang menjadi anggota Parlimen…jadi faktor umur tidak jadi masalah. Apa yang penting ialah kematangan politik,” katanya.

CategoriesUncategorized

One Reply to “Kit Siang mengaku bukan mudah kekalkan kerusi parlimen Teluk Intan”

Leave a Reply