Perjuangan mendiang Karpal Singh vs perjuangan Umno dan BN

Nur Jazlan
The Malaysian Insider
April 22, 2014

Pertama sekali saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang bekas Pengerusi DAP, Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan peguam terkenal, mendiang Karpal Singh terutamanya anak mendiang, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong, atas kematian bapanya dalam kemalangan tragis pada awal pagi Jumaat lalu.

Sesungguhnya, mungkin ini kali pertama majlis pengebumian seorang tokoh pembangkang menerima penghormatan tertinggi daripada sebuah negeri dan kematian mendiang Karpal Singh diratapi bukan sahaja ahli keluarganya, rakan-rakan atau ahli DAP tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
AT-M Ad

Walaupun tidak mengenali mendiang Karpal Singh yang turut dikenali dengan gelaran ‘Tiger of Jelutong’ secara peribadi, tetapi saya amat kagum dengan kesungguhan serta perjuangan beliau yang tidak berbelah bahagi dalam sistem perundangan negara serta kancah politik negara.

Secara tidak langsung, perjuangan politik mendiang Karpal Singh selama 40 tahun lebih kurang sama dengan arwah ayahanda saya, Tan Sri Mohamed Rahmat atau Tok Mat dan mereka juga adalah rakan ketika sama-sama menjadi Ahli Dewan Rakyat bermula sekitar tahun 70-an.

Jika ada yang beranggapan bahawa dengan pemergian mendiang Karpal Singh buat selama-lamanya akan mengubah hala tuju perjuangan parti DAP, saya tidak yakin ia akan berlaku memandangkan parti itu berada dalam ‘kelasnya’ tersendiri dalam kancah politik negara yang begitu mencabar.

Tambahan pula, dua anak mendiang iaitu Gobind dan Jagdeep adalah wakil rakyat DAP dan mempunyai kedudukan serta pengaruh dalam DAP sekaligus sudah pasti meneruskan legasi mendiang Karpal Singh.

Satu perkara yang paling menarik dalam perjuangan politik mendiang Karpal Singh sepanjang pemerhatian saya, adalah semangatnya yang tidak pernah memperjuangkan isu membabitkan sesuatu kaum secara khusus.

Sebaliknya, beliau sentiasa konsisten dengan perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik dan benar-benar bersikap sebagai seorang ahli pembangkang yang profesional dengan memberikan fakta serta hujah yang logik serta objektif berlandaskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Kepetahan mendiang Karpal Singh di mahkamah langsung tidak tergugat ketika dalam sesi Dewan Rakyat dengan jelas mengkritik segala dasar kerajaan, terutama sekali yang berkaitan dengan undang-undang atau perkara yang dilihat membelakangkan undang-undang atau Perlembagaan Negara.

Disebabkan itu, walaupun berkerusi roda selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2005, mendiang Karpal Singh terus menjadi idola, contoh serta ikutan perjuangan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang muda dalam DAP yang terus gigih hadir ke Parlimen bagi memperjuangkan nasib rakyat.

Perjuangan inilah, yang bagi saya menyebabkan mendiang Karpal Singh sentiasa dihormati kawan serta lawan dan buktinya lebih 5,000 rakyat hadir bersama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Ahad lalu.

Status serta perjuangan beliau ini juga menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang memberikan mendiang pengebumian negeri serta menamakan sebatang jalan di negeri itu dengan nama Karpal Singh bagi menghargai jasa serta pengorbanan mendiang.

Agaknya adakah perkara sama yang akan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada pemimpin MIC yang ada sekarang, sebagaimana penghormatan yang diterima mendiang Karpal Singh terutama sekali jasa serta pengorbanannya terhadap kaum India.

Selain perjuangan mendiang yang sentiasa konsisten kepada ‘Malaysian Malaysia’ dan kesamarataan kaum berlandaskan Perlembangaan Negara, siapa yang boleh menafikan bahawa kepopularitian beliau juga menyebabkan banyak peguam-peguam menceburi bidang politik secara serius.

Secara tiba-tiba, begitu ramai peguam menjadi ahli pembangkang, sama ada daripada parti DAP atau PKR dan kebanyakan mereka ini, pada awalnya menggunakan landasan sebagai ahli jawatankuasa Majlis Peguam sebagai asas untuk berpolitik.

Sebenarnya, jika dikaji semula sejarah Majlis Peguam ini yang ditubuhkan melalui Akta Profesion Undang-Undang 1976, ramai Jawatankuasa dan Presiden yang dilantik begitu kritikal terhadap kerajaan.

Disebabkan ketidakpuasan hati kepada kerajaan yang dikatakan banyak membelakangkan undang-undang serta Perlembagaan Negara dalam menggubal dasar atau menjalankan pentadbiran negara, mereka-mereka (peguam) mengambil keputusan menceburi bidang politik secara serius dengan menjadi ahli politik sebelum dipilih rakyat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sebenarnya, selain Majlis Peguam (Bar Council) terdapat sebuah lagi entiti yang lebih besar iaitu Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar).

Badan Peguam Malaysia ditubuhkan di bawah Seksyen 41 Akta Profesion Undang-undang 1976 dan wajib dianggotai oleh semua Peguam di Semenanjung Malaysia menurut Seksyen 43 Akta Profesion Undang-undang 1976, yang kini berjumlah lebih 15,000 orang.

Majlis Peguam pula ditubuhkan mengikut Seksyen 47 Akta Profesion Undang-undang 1976 dan hanya dianggotai oleh 36 orang ahli Badan Peguam yang dipilih secara pengundian menurut Seksyen 50 dan Seksyen 70 (7) Akta Profesion Undang-undang 1976.

Malah, menurut seksyen 64 (1) Akta Profesion Undang-undang 1976, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam hendaklah diadakan oleh Majlis Peguam sebelum bulan April pada setiap tahun.

Manakala, korum untuk AGM itu adalah 500 orang sahaja daripada ahli Badan Peguam yang berdaftar mengikut Seksyen 64 (4) Akta Profesion Undang-undang 1976.

Badan Peguam Malaysia ini, secara tidak langsung boleh diibaratkan sebagai sebuah kereta tanpa pemandu kerana Majlis Peguam bertindak sebagai pemandunya dan sebenarnya, destinasi ‘kereta’ ditetapkan di dalam Akta Profesion Undang-undang 1976, namun bergantunglah kepada pemandu kereta tersebut sama ada untuk mengikut arahan destinasi ataupun menyimpang daripada destinasi yang ditetapkan dalam akta.

‘Kesilapan’ kerajaan ketika menggubal undang-undang ini pada 1976, dengan bertujuan untuk mengekang pembabitan peguam dalam politik dan memberikan kelebihan kepada peguam Melayu tidak mencapai matlamat dan mempunyai impak negatif apabila lebih ramai peguam terbabit secara langsung dalam politik.

Mungkin disebabkan ‘lupa’ untuk meletakkan syarat bahawa Majlis Peguam perlu menjadi sebuah badan yang benar-benar bebas kini, badan berkenaan dilihat begitu pro-pembangkang dengan begitu lantang mengkritik kerajaan tetapi amat jarang sekali memuji dasar-dasar kerajaan.

Lebih memelikkan pada waktu kini, peguam-peguam ini, yang majoritinya berbangsa Melayu dilihat semakin menjauhi Umno malah, lebih gemar untuk mengambil pendirian yang neutral atau lebih pro-pembangkang.

Jika diperhatikan dalam tempoh dua penggal Pilihanraya Umum (PRU) lalu, berapa ramai peguam muda yang terpilih sebagai calon untuk Umno atau Barisan Nasional (BN) berbanding di pihak pembangkang.

Atas sebab itu, ramai pihak kini melabelkan Umno dan BN sebagai sebuah parti yang tidak lagi diminati oleh golongan profesional bukan sahaja di kalangan peguam, malahan doktor atau akauntan.

Kemungkinan ini juga yang menyebabkan Umno dan BN semakin hilang genggaman di kawasan bandar serta pinggir bandar apabila pembangkang menampilkan calon-calon muda yang profesional.

Kemunculan calon muda serta profesional ini, selari serta sesuai dengan citarasa masyarakat bandar serta pinggir bandar yang terdiri daripada golongan menengah rendah, atas serta elit yang majoritinya mendapat pendidikan sekurang-kurangnya bertaraf diploma.

Malah, perjuangan mendiang Karpal Singh seorang peguam terkenal juga mula dihayati pengundi di kawasan bandar serta pinggir bandar yang amat kritikal terhadap isu dalam kerajaan yang membabitkan penyelewengan kuasa, rasuah serta kronisme.

Semangat perjuangan mendiang Karpal Singh yang tidak pernah berubah sejak 40 tahun lalu inilah, yang menjadi semakin relevan dalam masyarakat Malaysia pada masa kini menyebabkan Umno serta BN semakin hilang kuasa di kawasan kritikal ini.

Sememangnya, dalam PRU14 lalu, Umno dan BN ada menampilkan calon muda tetapi bilangan profesional amat kurang berbanding daripada mereka yang ditawarkan parti pembangkang sebagai calon untuk rakyat.

Ramai pemimpin muda pembangkang kini menjadikan mendiang Karpal Singh sebagai idola politik mereka dan akan menjadikan diri mereka sebagai idola untuk pemimpin masa depan, tetapi keadaan itu jelas berbeza dalam Umno apabila kita jelas ketandusan golongan pemimpin muda untuk dijadikan idola bagi menjadi ‘penarik’ kepada golongan muda profesional di kawasan bandar dan luar bandar.

Saya turut melihat trend calon muda Umno dan BN yang terdiri daripada ahli perniagaan kurang ‘digemari’ pengundi di kawasan bandar dan pinggir bandar kerana mereka merasakan calon-calon ini mendapat sumber kekayaan daripada parti serta kerajaan dan tidak benar-benar ‘bersih’ selain mudah untuk pembangkang memutarbelitkan isu berkaitan diri calon-calon ini.

Pembangkang akan terus menarik golongan muda profesional yang imej mereka ditampilkan dengan penuh idealisme serta mempunyai latar belakang ‘bersih’, tetapi dalam Umno proses ‘regeneration’ ini dengan pemimpin masa depan yang berkualiti dan bersih akan terbantut.

Justeru, saya bimbang jika jika sesuatu tidak dilakukan Umno dan BN untuk berubah dengan mencari golongan profesional muda terdiri daripada peguam, doktor atau akauntan yang sanggup ke depan mempertahankan parti dan kerajaan secara terang-terangan untuk berhadapan dengan pemimpin muda profesional daripada pembangkang, masyarakat akan semakin menjauhi parti sekaligus padah akan jelas menanti dalam PRU 14 empat tahun lagi. – 22 April, 2014.

Datuk Nur Jazlan Mohamed is a three-term MP for Pulai, three-term Umno Pulai Divison Chief and the new PAC chairman. Apart from being in the new politics, he also writes for The Malaysian Insider while debating other matters at www.jazlan.net

3 Replies to “Perjuangan mendiang Karpal Singh vs perjuangan Umno dan BN”

  1. “buktinya lebih 5,000 rakyat hadir bersama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Ahad lalu”

    Alamak, does dis felo know HOW 2 estimate?

    Remember, at 1 time in 2008, maha-liar MMK called NJ 1 of a “joker”

  2. A buy erection will b held soon
    Let Perkosa-UmnoB/BN nominate a kaki 2 take part in d Bukit Gelugor buy erection, n distribute goodies + $$$ 2 rakyat who live there
    Rakyat there should collect all d goodies fr Perkosa-UmnoB/BN n then vote 4 PR – remember d ROAR of d Tiger of Jelutong

  3. He is wondering about UMNO’s future lacking in professionals – and he is suppose to be front line of the next generation of top leaders of UMNO.

    UMNO is a cooperation of opportunists and mentally challenged or to put it more plainly jerks and idiots. More than just losing professionals, its a party losing real character or talent.

Leave a Reply