Oleh Mahdzir Ibrahim | JANUARY 15, 2014
Roketkini | The Malaysian Insider
Saya tidak pasti akan dapat memberi jawapan yang jelas sebagaimana soalan tersebut kerana adakalanya jawapan tu hanya dapat digambarkan saja. Justeru, pembaca berhak menyimpulkan sendiri jawapan yang saya tulis ini, dalam keadaan sedar diri dan waras.
Sedar bahawa siapa saya, budaya saya dan keinginan saya.
Antara penolakan yang paling popular oleh DAP ke atas dasar kerajaan Umno adalah hal yang berkaitan tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB). Yang nyata, DAP menolak pada kaedah atau mekanisme pelaksanaannya, bukan menolak tujuan dan matlamat DEB.
Jawapan yang sangat objektif ini rupa-rupanya belum cukup buat orang Melayu faham, bukan kerana orang Melayu bodoh tetapi kerana pendirian DAP ini diputar belit oleh Umno menerusi propaganda perkauman yang sangat licik.
Maka, jawapan tersebut perlu lagi dijelaskan dengan lebih mendalam, moga kepalsuan dapat dijinakkan menerusi kempen-kempen kesedaran atau kempen ‘pembetulan’, dan rencana ini adalah sebahagian daripada kempen tersebut.
Sebagai permulaan, kita perlu menyorot kembali kepada sejarah lampau untuk memahami skeleton mitos DAP anti Melayu dengan hujah DAP menolak DEB kerana faktor perkauman.
Semuanya bermula selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969. Zaman ini belum ada internet, belum ada telefon bimbit malah, populasi kita hanya sekitar 10.8 juta orang sahaja, termasuk kaum Cina, India dan Sabah serta Sarawak.
Kira-kira setahun selepas peristiwa 13 Mei, Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK) kali kedua diadakan di Universiti Malaya pada 1970, mungkin ia berlaku secara kebetulan dan tiada kaitan dengan tragedi 13 Mei itu.
KKK ke-2 ini diadakan untuk mencari, merumus dan jika dapat, untuk mengabsahkan identiti bangsa Malaysia. Rasional pengabsahan identiti bangsa Malaysia ini diyakini oleh mereka (kerajaan Umno – Perikatan) akan dapat membantu menstruktur, menginstitusi atau melembagakan identiti kita rakyat Malaysia menjadi satu bentuk rigid yang dapat dipegang, dilihat dan dihormati. Maka ia lengkap sempurna menjadi identiti politik Malaysia.
Hasil daripada DKK, satu dasar dibentuk, dan inti dasar ini ‘budaya Melayu’, diangkat sebagai teras budaya kebangsaan (nasional). Budaya kaum lain, diterima seadanya, sekadar untuk melengkapkan pakej budaya nasional, itu sahaja.
Untuk membangunkan sebuah negara bangsa daripada puing-puing kehampaan, imaginasi baru harus dibentuk terlebih dahulu, ini juga biasa terjadi dalam mana-mana negara yang masih muda remaja. Dan, jangan kita lupa, imaginasi juga selalu dikaitkan dengan ilusi.
Memahami DKK
Dalam DKK, budaya daripada satu kaum iaitu Melayu, diangkat menjadi teras budaya dan identiti nasional (kebangsaan), sebagai ‘Malaysia’. Hakikat ini tidak ada salah dan silapnya selagi ia diterima oleh mana-mana bangsa pada ketika itu.
Apa yang pasti, pengabsahan identiti budaya nasional yang termeterai ini, secara tidak langsung seakan-akan menjadi kontrak sosial (mutual understanding) antara kaum. Maka, apa pula masalah kontrak sosial ini?
Mitos
Daripada rentetan sejarah dan sebahagian dapatan dokumen DKK ini, mitos Ketuanan Melayu semakin kuat dijadikan slogan, di zaman inilah bermulanya budaya politik perkauman yang terus berjalan secara sistematik oleh kerajaan Umno hingga ke hari ini.
Ahli politik Umno mula berpolitik atas nama bangsa atau kaum.
Hujah kaum digunakan untuk menjustifikasikan tindak-tanduk politik mereka. Cabar-mencabar atas nama ketuanan Melayu hingar-bingar. Atas nama kaum jugalah ia digunakan untuk ‘menghalalkan’ kerja rasuah dan salah guna kuasa elit politik Umno dan rakan kroninya.
Jika ia dipertikaikan oleh oposisi seperti DAP, silap berdebat kita dikatakan anti Melayu. Bagi ahli Melayu parti oposisi akan dicop sebagai pengkhianat bangsa, Melayu murtad, Melayu lima puluh sen dan sebagainya. Dan hari ini, itulah yang benar-benar terjadi.
Mitos ketuanan Melayu ini menjadi ‘ajaran’ yang membenam dalam ke dalam otak, menjadi peta pemikiran segelintir golongan ultra Melayu iaitu kroni Umno. Inilah slogan, inilah hagemoni yang wujud hasil daripada roh yang ditanam dalam DKK.
Jangan kita lupa kata-kata Nelson Mandela, “ Tiada orang yang lahir dengan membenci orang lain kerana warna kulit, latar belakang atau agamanya. Manusia belajar membenci, dan jika mereka boleh belajar membenci, mereka juga boleh diajar untuk menyayangi, kasih sayang akan datang ke hati manusia secara semula jadi berbanding sebaliknya”
Maka, mitos Ketuanan Melayu inilah yang membentuk satu mitos politik baru iaitu DAP anti Melayu, hanya kerana DAP mempertikaikan tindak tanduk elit politik Umno yang menyalahgunakan kuasanya dan memecahbelahkan rakyat perlbagai kaum.
Tanpa memahami latar ini, kita tidak akan faham malah akan percaya dengan mitos perkauman ke atas DAP dengan menyangka DAP itu parti cauvinis Cina.
Hakikatnya tidak begitu, dan sebagai rujukan, kita petik salah satu perenggan daripada Deklarasi Setapak 1967, ia dibacakan setahun selepas parti DAP diabsahkan oleh RoS (RoS yang dahulu, bukan RoS yang sekarang), iaitu ;
“Jika kami hendak memperbetulkan prinsip pembangunan negara di sebuah masyarakat berbilang kaum, maka perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya hegemoni perkauman oleh mana-mana komuniti. Usaha yang sedemikian mesti ditumpaskan dan disingkirkan sama sekali, atas dasar keinginan dan boleh dilakukan.”
DAP menjunjung Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, tidak ada pertikaian dalam hal ini. DAP juga mahu bahasa ibunda lain terus diiktiraf dan diberi ruang dalam bidang pendidikan, kesusasteraan, seni dan kebudayaan selagi mana ia terus mengabdikan cinta dan taat setia kepada tanah air. Itulah yang sewajarnya dan itulah rupa Malaysia.
Sebelum kita terlupa, lebih awal daripada semua ini, Presiden Umno yang pertama dapat menghidu akan semua masalah ini. Pada 1951, Dato Onn Jaafar keluar Umno kerana cadangannya untuk menjadikan Umno parti pelbagai kaum, ditolak oleh perwakilan dan pemimpin elit Umno.
Sayang sekali, jika tidak, integrasi antara bahasa dan budaya akan lebih mencerminkan semangat Malaysia. Kini, semangat Dato Onn itulah yang sedang kita sama-sama perjuangkan. – 15 Januari, 2014.
* Bahagian kedua – Mitos DAP tolak DEB kerana perkauman akan menyusul.
* Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Pusat (DAPSY Kebangsaan), juga seorang peminat seni dan kebudayaan.
Terima kasih kpd Mahdzir Ibrahim!
Artikel anda sungguh baik untuk kami memahami bagaimana politik perkauman bermula di Malaysia.
Rakyat jelata perlu memahami strategi Umno yang saling membelah bagi rakyat supaya Umno terus kekal pemerintahnya.