Bersyukurlah kangkung turun harga!

– Izmil Amri
The Malaysian Insider
January 14, 2014

‘Orang Melaka suka makan kangkung yang tidak dikerat-kerat’. Ini helah Tun Perpatih Putih ketika rombongannya sangat teringin melihat wajah Maharaja China.

Tun Perpatih Putih adalah adinda kepada Tun Perak dan dilantik jadi bendahara menggantikan abangnya itu setelah beliau meninggal dunia. Sebelum jadi bendahara, Tun Perpatih Putih yang dihantar Sultan Mansur Shah ketika mahu dijalinkan hubungan diplomatik dengan China. Delegasi itu begitu berjaya sekali sehinggakan maharaja China menghadiahkan Melaka puterinya, Hang Li Po.

Alkisahnya di zaman itu, adatnya ialah orang kebanyakan di China dalam zaman pemerintahan dinasti itu tidak boleh melihat wajahnya sang Maharaja. Kalau tandu maharaja lalu, jalan harus dikosongkan, dan kalau ada yang masih tersisa berdiri, mesti tunduk sujud di hadapan baginda.

Dan ketika sang maharaja perkenan mengadap mana-mana utusan dari luar negara, duduknya baginda itu dalam suatu mungkur kaca yang diletakkan di atas platform yang agak tinggi. Makanya sukar sekali mahu melihat wajah sang maharaja ini. Sehinggalah tiba akal Tun Perpatih Putih ketika ditanya apa makanan kesukaan orang Melaka.

Katanya, orang Melaka amat suka makan sayur kangkung. Dan dimasaknya sayur kangkung ini tanpa dikerat-kerat.

Arakian maka apabila dihidang sahaja makanan itu, delegasi Melaka pun mengambil peluang menjeling ke wajah sang maharaja. Dikepitnya sayur kangkung dan diangkat tinggi, lalu disuap ke mulut dengan kepala yang terdongak; sambil mata menjeling ke arah maharaja.

Tun Perpatih Putih dilantik jadi bendahara kepada Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir kerajaan Melayu Melaka; sebelum jawatan bendahara diberikan kepada Tun Mutahir anaknya Tun Ali, yang mencetuskan ketegangan dan membolehkan negeri itu diserang, dijajah dan akhirnya kehilangan pemerintah.

Ini kisah kangkung di zaman Melaka masih bersultan. Di zaman harga kangkung tidak ditentukan naik turunnya oleh kerajaan.

Saya bukan penggemar kangkung. Meski sewaktu sekolah asrama, kangkung adalah sayuran dan sumber vitamin (kalau pun masih ada) yang paling utama. Rasanya dalam satu minggu, kangkung wujud dalam menu dewan makan hampir sepanjang masa. Kecuali Sabtu. Yang pernah duduk asrama pastinya tahu.

Kangkung akan menjadi makanan ruji umat Malaysia khabarnya. Harga kangkung sudah turun. Kita mesti bersyukur kepada kerajaan kerana menurunkan harga kangkung. Ini indikator kerajaan prihatin dengan sengsara rakyat yang adakalanya tidak ada duit nak makan, dan terpaksa berlapar sampai dua tiga hari. Jadi kangkunglah jalan selesainya.

Malah, kalau tidak mampu beli kangkung, cari sahaja di tepi longkang. Kangkung tumbuh liar. Cabut sahaja berapa banyak mahu. Percuma.

Siang boleh masak kangkung buat lauk nasi lemak (kalau ada nasi lemak). Tengah hari boleh makan sup kangkung. Kalau hendak dipelbagaikan sikit, dan kalau ada belacan, bolehlah tumis dengan sambal. Malam pula boleh bikin kangkung tiga rasa. Rasa marah, geram dan menyampah dengan betapa entengnya pandangan kerajaan terhadap kemandirian hidup rakyatnya yang dituntut bersyukur apabila kangkung turun harga.

Kita boleh menghidu betapa teruknya keadaan ekonomi apabila seorang perdana menteri boleh bertanya, mafhumnya ‘bila harga kangkung turun kenapa tak puji kerajaan?’

Ini perdana menteri yang pada masa sama tahun lalu menyewa bukan satu tapi dua pesawat Airbus untuk kegunaan pasangan pertama Malaysia di saat partinya, Umno bersama-sama Barisan Nasional memerah kewangan negara untuk berkempen pilihan raya.

Blog pro-Umno sendiri melaporkan bahawa Perdana 1 sebuah jet korporat Airbus ACJ319, dengan nombor ekor 9M-NAA menelan belanja sewa tahunan sebanyak RM29 juta, selain kos selenggara RM5.5 juta serta kos ubah suai RM15.5 juta.

Perdana 2 model ACJ320, disahkan wujud oleh Pejabat Perdana Menteri serta disewa antara Februari dan Disember 2013 pada anggaran kadar RM28,000 sejam. Alasan yang diberikan Pejabat Perdana Menteri ialah mereka kekurangan pesawat kerajaan.

Dalam jawapan kepada Parlimen November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu bahawa kerajaan berbelanja hampir RM15 juta untuk bahan api dan lebih RM160 juta untuk menyelenggara penerbangan VVIP pada 2012.

Itu belum diambil kira perihal skandal penipuan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM12.85 bilion yang hari ini terbukti bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang dipertanggungjawabkan.

Dan kita rakyat marhaen ditanya kenapa tidak bersyukur apabila sayur kangkung harganya turun. Macamlah kangkung itu boleh diganti buat bayar tol, bayar tiket LRT, bayar yuran anak sekolah, atau disumbat ke tangki minyak kereta jadi ganti bahan api. Rasa macam hendak sumbat saja kangkung ke kerongkong orang yang tanya begini. – 14 Januari, 2014.

One Reply to “Bersyukurlah kangkung turun harga!”

Leave a Reply