Lim Kit Siang

Apakah Umno telah berubah daripada sebuah parti pembina negara menjadi parti pemusnah negara dengan sokongan Muhyiddin terhadap protes di luar gereja dan Noh Omar mempertahankan protes Umno Selangor terhadap Kristian?

Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada beberapa hari pertama tahun baru 2014 membuatkan rakyat Malaysia berfikir tentang masa depan negara ini.

Salah satu persoalan meresahkan rakyat Malaysia ialah sama ada Umno telah berubah daripada sebuah parti pembina negara menjadi parti pemusnah negara dengan sokongan Muhyiddin terhadap protes di luar gereja dan Noh Omar mempertahankan protes Umno Selangor terhadap Kristian.

Pada hakikatnya, sokongan yang diberikan oleh Muhyiddin dan Noh Omar terhadap tindakan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) dengan bantuan penuh Polis membangkitkan persoalan serius tentang keikhlasan, keseriusan, dan komitmen para pemimpin Umno terhadap jaminan asas kebebasan beragama yang diberikan oleh perlembagaan untuk semua rakyat Malaysia, selain Penyelesaian 10 Perkara yang disahkan oleh Jemaah Menteri pada April 2011 untuk mengakhiri kontroversi Alkitab.

Memandangkan tiada siapa dapat menyangkal bahawa serbuan Jais ke atas BSM dan rampasan 300 naskhah Alkitab berbahasa Bahasa Malaysia dan 10 naskhah berbahasa Iban adalah tindakan yang mencabul Penyelesaian 10 Perkara yang disepakati oleh Kerajaan Persekutuan dan masyarakat Kristian pada 2 April 2011 dan ditegaskan menerusi surat rasmi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Bishop Ng Moon Hing, pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, pada 11 Paril 2011, maka Muhyiddin dan Noh Omar perlu menyatakan kini sama ada mereka masih menyokong Penyelesaian 10 Perkara atau sama ada mereka tidak mahu terbabit dalam persetujuan itu!

Saya telah menyeru Najib untuk memanggil mesyuarat Jemaah Menteri buat kali pertama tahun ini pada hari Rabu nanti untuk mengesahkan Penyelesaian 10 Perkara kerana menteri seperti Muhyiddin dan Noh Omar yang telah mengesahkan persetujuan itu pada April 2011 nampaknya telah berubah fikiran – seperti yang jelas terlihat pada sokongan mereka terhadap serbuan Jais ke atas BSM dan rampasan Alkitab Melayu dan Iban yang kedua-duanya bertentangan dengan teks dan semangat Penyelesaian 10 Perkara.

Kabinet pasca Pilihanraya Umum ke-13 perlu menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bagi terhadap Penyelesaian 10 Perkara yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada April 2011.
Muhyiddin perlu menyatakan pendirian jelas memandangkan beliau telah bertindak jauh di luar kandungan dan semangat Penyelesaian 10 Perkara dengan menyokong serbuan haram dan bertentangan perlembagaan oleh Jais dan malah menyokong protes di luar gereja.

Saya mahu menarik perhatian Muhyiddin kepada Perkara 7 dalam Penyelesaian 10 Perkara yang menyebut:

“Arahan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan isu Injil diimplementasi dengan cara berkesan mengikut keputusan ahli Kabinet. Tindakan disiplin akan diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi peraturan mengikut Perintah-perintah Am. Taklimat akan diberikan oleh pegawai tertinggi kerajaan termasuk Peguam Negara (AG) kepada penjawat awam yang relevan untuk memastikan pemahaman menyeluruh dan pelaksanaan yang mengikut perintah.”

Jika tindakan tata tertib perlu diambil ke atas kakitangan kerajaan yang gagal mematuhi Penyelesaian 10 Perkara, bagaimana pula dengan Menteri yang enggan mematuhi isi penyelesaian tersebut?

Berapa banyak di kalangan Menteri sekarang yang sanggup menyatakan secara terbuka bahawa mereka menyokong sepenuhnya Penyelesaian 10 Perkara yang dicapai pada April 2011?

Patutkah Muhyiddin dibiarkan terus menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan apabila beliau secara terbuka bertindak berlawanan Penyelesaian 10 Perkara?

Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh Muhyiddin dan Najib.