Lim Kit Siang

Berselindung di sebalik isu perkauman

– Dyana Sofya Mohd Daud
The Malaysian Insider
December 07, 2013

Pada November lalu, bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon telah berkata di Persidangan Asia Barat dan Afrika di Kuala Lumpur bahawa isu perkauman digunakan oleh sesetengah ahli politik di Malaysia bagi melindungi kegiatan rasuah yang dilakukan pemimpin terbabit.

Beliau juga berkata isu perkauman dimainkan bagi melindungi salah laku selain mengelak mereka yang terlibat daripada dituduh atas aktiviti tidak bermoral itu.

Saya tertarik dengan kata-kata beliau memandangkan di Malaysia terdapat satu gabungan parti politik yang masih mengamalkan politk perkauman dan gabungan ini berada di posisi di mana rasuah boleh berlaku secara berleluasa.

Apabila seorang cendiakawan memberi komen sedemikian, kita pasti tertanya-tanya apakah yang beliau tahu, dan ingin mengetahui secara lanjut apa yang dimaksudkan oleh Tan Sri Ghauth Jasmon? Sejauh manakah dan apakah contoh-contoh sifat perkauman dan kegiatan rasuah berkait di negara ini.

Tan Sri Ghauth Jasmon juga berkata “Jika negara dipenuhi dengan pemimpin rasuah, mereka akan menggunakan isu perkauman untuk melindungi kesalahan bagi menarik perhatian.Adakah dengan terus mempromosikan sifat perkauman yang semakin menebal, semakin tersoroklah kegiatan rasuah yang berleluasa?

Sekiranya ini benar, apa-apa gabungan politk yang masih berteraskan politk perkauman seharusnya dihentikan dan tidak lagi relevan kerana ia hanya melindungi kepentingan sesetengah pihak yang menggunakannya sebagai topeng untuk melindungi kegiatan rasuah mereka dan bukannya membantu atau memperkasakan sesuatu kaum tersebut seperti yang dikatakan, seterusnya menghancurkan negara tercinta ini.

Kita terpaksa akui bahawa masalah perkauman sememangnya wujud di Malaysia tetapi apa yang menyedihkan adalah, kita masih mempunyai pemimpin-pemimpin yang menyokong isu tersebut dan bukannya membantu menyelesaikannya.

Adakah dengan masih wujudnya sifat perkauman di Malaysia ini yang dipraktikkan oleh sesetengah ahli politik dan pemimpin negara sendiri telah menyumbang kepada kemerosotan Malaysia di dalam Indeks Persepsi Rasuah 2013 Transparency International yang diterbitkan beberapa hari yang lalu? Indeks ini merupakan satu peringatan kepada kesalahgunaan kuasa, perundingan rahsia dan kegiatan rasuah yang berlaku di seluruh dunia.

Malaysia berada di tangga ke 53 dengan markah 50 dimana markah 100 menunjukkan markah paling bersih dan 0 menunjukkan tahap korupsi yang tertinggi. Singapura berada di tangga ke-5 dengan markah 86, Hong Kong di tangga ke-15 dengan markah 75, Taiwan dan Israel di tangga ke-36 dengan masing-masing markah 61.

Rakyat Malaysia tidak harus lagi tertipu dengan agenda perkauman yang hanya akan membawa kepada kehancuran negara kerana pejuang-pejuang perkauman ini hanya melindungi kepentingan mereka bukannya memperkasakan sesuatu kaum itu sendiri.

Sekiranya perlu lagi contoh sikap perkauman yang ditonjolkan oleh sesetengah pihak di sebuah parti politik, boleh lihat sahaja di mana seorang perwakilan UMNO telah Perwakilan Umno semalam meminta slogan Salam 1Melayu menggantikan slogan salam 1Malaysia kerana kaum lain gagal membantu Umno negerinya.

Wakil Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir menceritakan pengalaman beliau “ditikam” oleh kaum lain ketika pilihan raya umum lalu dalam perbahasan ucapan dasar presiden, semalam.
Tan Sri Ghauth Jasmon ada berkata, “Jika negara dipenuhi ahli politik yang rasuah, ia adalah resipi kehancuran.”

Saya juga percaya jika negara berbilang kaum ini dipenuhi ahli politik dan pemimpin yang bersifat perkauman, ia juga satu resipi kehancuran.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menolak politik perkauman dan perlu sama-sama bersatu membina Impian Malaysia dan bukannya hanya melihat kepada perbezaan warna kulit atau mencari sebab untuk membenci satu sama lain. Malaysia adalah tanah tumpah darah kita semua.

“We are fighting for a society where people will cease thinking in terms of colour.” (March 8, 1993) – The late Nelson Mandela. – 7 Disember, 2013.

* Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.