Pilihanraya kecil Sungai Limau esok akan menjawab persoalan: Apakah Mahathir dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau terakhir sejak enam bulan lalu?
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir berkata kumpulan pelampau sedang menguasai Malaysia pada ketika Barisan Nasional sedang bergelut untuk menangani masalah kemerosotan sokongan orang ramai terhadap pakatan parti pemerintah itu walaupun ia masih menguasai kerajaan.
Benar dakwaan Mahathir bahawa kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lemah dan ia merasa perlu untuk melayan “tuntutan-tuntutan tidak munasabah” daripada puak pelampau untuk mengekalkan sokongan orang ramai. Tetapi beliau melakukan kesilapan dengan mendakwa puak pelampau itu terdiri daripada anggota Pakatan Rakyat.
Hakikatnya, Mahathir sendiri boleh dianggap mewakili puak pelampau berkenaan yang menjadikan “kumpulan majoriti yang moderat” sebagai tebusan dengan segala pembohongan mereka sehingga menjejaskan usaha pembinaan dan pembangunan negara serta penyatuan warga.
Dalam majlis pengumuman calon Pakatan Rakyat di Sungai Limau 21 Oktober lalu, saya telah menyatakan harapan agar pilihanraya kecil itu menjadi model bagi politik bersi, jujur, dan bermaruah dengan memastikan pembohongan dan kepalsuan tidak disebarkan dan taktik serangan peribadi atau politik wang tidak digunakan.
Tetapi sejak hari pertama kempen lagi, pembohongan dan taktik serangan peribadi menjadi isi utama kempen Umno/BN dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, antaranya pembohongan tentang DAP yang kononnya mahu membentuk negara Kristian di Malaysia, menghapuskan sistem Raja Berperlembagaan, anti-Melayu dan anti-Islam.
Segala pembohongan yang karut ini tidak berbeza dengan pembohongan yang disebarkan oleh Mahathir dalam Pilihanraya Umum ke-13 apabila beliau membuat tuduhan palsu dan tidak bertanggungjawab bahawa:
-
Saya bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan ketegangan antara Melayu dan Cina di Johor dan bahawa saya mahu orang Cina Johor “membenci Melayu”; dan
-
bahawa DAP menolak konsep perkongsian kuasa Melayu/Cina/India kerana kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik orang Melayu.
Tetapi Mahathir dan Mahathirisme menanggung kegagalan enam bulan lalu dalam Pilihanraya Umum ke-13 apabila para pengundi Melayu tidak termakan dengan pembohongan dan dusta dan memenangkan saya di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14,000 undi.
Dalam kempen Pilihanraya Umum ke-13 di Gelang Patah saya menyeru ke arah yang sama sekali berlawanan dengan pembohongan Mahathir dan Mahathirisme itu, iaitu apabila saya menyeru kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan untuk bersatu di bawah wawasan Impian Malaysia untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih bersatu, demokratik, bebas, adil, berdaya saing serta makmur demi kebaikan semua warga Malaysia.
Mahathir dan Mahathirisme juga gagal memberikan kemenangan kepada puak pelampau di Shah Alam dan Pasir Mas yang diwakili oleh Presiden Perkasa Ibrahim Ali dan Naib Presiden Perkasa Zulkifli Noordin.
Malah, selepas pilihanraya umum, ketua bahagian Umno Shah Alam menyebut bahawa jika Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin mendapat lebih banyak undi.
Mahathir dan Mahathirisme seterusnya berdepan kekalahan dalam pemilihan parti Umno bulan lalu dan Mahathir lalu menyalahkan politik wang sebagai punca beliau gagal memastikan anaknya, Mukhriz Mahathir, menang sebagai Naib Presiden Umno.
Pilihanraya kecil Sungai Limau pada hari Isnin, 4 November ini, berlangsung genap enam bulan setelah Pilihanraya Umum ke-13 yang diadakan pada 5 Mei lalu.
Mahathir hari ini muncul dalam kempen Umno/BN di Sungai Limau dan mengambil pendirian bahawa politik wang ke atas Mukhriz dalam pemilihan parti Umno adalah sesuatu yang jelek tetapi “OK” untuk diamalkan oleh Umno dan Mukhriz dalam pilihanraya kecil Sungai Limau.
Persoalan lebih menarik ialah sama ada Mahathir dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau mungkin yang terakhir sejak enam bulan selepas Pilihanraya Umum ke-13 dalam pilihanraya kecil Sungai Limau esok. Inilah yang akan terjadi jika calon PAS dan Pakatan Rakyat Mohd Azam Samat mampu mempertahankan kawasan itu, terutama dengan perbezaan undi lebih besar.
Kemenangan calon Pakatan Rakyat itu akan menjadi berita terbaik bagi negara ini.
Puak pelampau ini nak meng-bankrapkan negara ini bila-bila masa saja. Lihatlah angkara-angkara mereka. Sudah tahu kapal nak tenggelam, belanjalah sewenang-wenangnya duit rakyat.
Hutang berbilion-bilion, beli alat-alat sepuluh kali ganda harga. Kemudian panggil kitta pula ikat ketat tali pinggang. Tapi perut dia orang buncut-buncut. Siapalah puak pelampau.