Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada pada hari ini 3 Mei 2013 dicemari di Malaysia dengan semua media arus perdana berkempen untuk Barisan Nasional serta menyebar fitnah dan pembohongan terhadap Pakatan Rakyat.
Semua media arus perdana, sama ada Utusan Malaysia, The Star, TV3, RTM dan sebagainya, telah melanggar dan mencabul segala undang-undang, peraturan dan kod etika kewartawanan yang wujud. Dan tidak ada satu tindakan pun dikenakan oleh pihak berkuasa.
Media massa sepatutnya bersifat dan bersikap adil dan objektif. Ia tidak boleh berpihak dan ia hanya menyiarkan laporan yang benar dan berfakta tanpa rasa takut. Undang-undang tidak boleh dikenakan terhadap laporan yang tepat dan benar. Tetapi di Malaysia, semua ini telah dicabul oleh kerajaan UMNO-BN.
Saya sendiri telah menjadi mangsa fitnah dan pembohongan oleh media massa, terutamanya media berbahasa Melayu, yang menuduh saya sebagai anti- Melayu, anti-Islam dan sebagai pencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969. Semua ini telah terbukti bohong.
Saya telah dituduh menjadi dalang 13 Mei, saya telah dituduh kencing di tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor dan saya dituduh menghasut rakyat pelbagai kaum untuk bergaduh. Semua ini juga telah terbukti fitnah.
Saya tidak berada di Kuala Lumpur atau di mana-mana tempat berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Sebenarnya pada 13 Mei 1969, saya berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk berkempen bagi pihak calon-calon Bebas yang sama perjuangan dengan DAP. Hal ini telah disahkan oleh pihak kerajaan, khususnya pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri.
Namun, walaupun media massa kawalan UMNO-BN sedar tentang fakta-fakta ini, media-media tersebut terus menyiarkan fitnah dan pembohongan tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.
Ini membuktikan UMNO dan Barisan Nasional merestui fitnah dan pembohongan serta pelanggaran undang-undang, peraturan dan kod etika kewartawanan. Inilah yang UMNO-BN telah lakukan sejak lebih 50 tahun lalu. Mereka tidak peduli sama ada perbuatan mereka itu kotor, jijik serta tidak berakhlak.
Inilah yang telah dan yang akan terus dilakukan jika rakyat masih memilih UMNO-BN dalam PRU kali ini. Dengan itu, rakyat tidak boleh lagi menyokong parti atau kerajaan yang zalim, korup dan menyalahgunakan kuasa.
Untuk mewujudkan media yang lebih adil, bersih dan berani, semua pengundi perlu membuat pilihan yang bijak. Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP – tampil untuk menawarkan alternatif yang terbaik untuk Malaysia yang lebih adil, sihat dan makmur.
Ubah! Ini kali lah!