Dikala rakyat Malaysia masih berkabung untuk kematian dua wira negara, komando polis Insp Zulkifli Mamat 29 dan Sabaruddin Daud 46 yang terbunuh di dalam insiden tembak menembak dengan penceroboh bersenjata Sulu di Kampung Tanduo Lahad Datu pada pagi Jumaat, tiga lagi komando cedera, negara dikejutkan lagi pagi ini dengan berita bahawa terdapat dua lagi polis maut di Semporna malam semalam.
Rakyat Malaysia bangun pagi ini dengan berita sedih bahawa “Polis terbunuh bertempur dengan militan Filipino di Semporna” tetapi menjelang tengah hari, pihak polis mengesagkan terdapat dua pegawai polis yang terbunuh di dalam serang hendap di Kampung Seri Jaya Siminul, sebuah perkampungan atas air, di Semporna pada sekitar 6.30 petang semalam – dan yang ketiga sedang bertarung nyawa di hopistal awam di Semporna.
Namun yang lebih buruk bakal terjadi, apabila rakyat Malaysia mendapati berita sidang akhbar bersama pertama oleh polis dan tentera di Felda Sahabat Residence, Lahad Datu selepas tiga minggu stand-off dengan penceroboh bersentaja Sulu di Kampung Toudou, seperti yang digambarkan di dalam laporan Malaysiakini:
- Lima anggota polis terbunuh di Semporna, kata IGP
- IGP: Lebih ramai penceroboh mendarat di Sabah
- Panglima ATM kata penceroboh ada kemahiran
Turut dilaporkan terdapat satu lagi pendaratan oleh penceroboh di Kunak.
Malam semalam saya menerima laporan kematian dua orang polis di dalam pertempuran di Semporna dan saya pasti maklumat ini sudah pun berlegar sekitar Sabah petang semalam, menimbulkan tandatanya terhadap kewibawaan maklumat rasmi berkenaan krisis Sulu di Sabah.
Pihak berkuasa sepatutnya sedar bahawa di era maklumat dan komunikasi serba pantas ini, terdapat keperluan untuk melihat kembali dan memodenkan dasar dan amalan era pra-informasi mereka bagi memastikan kewibawaan mereka.
Semakin ramai rakyat Malaysia yang patriotik tertanya-tanya tentang pengurusan stand-off selama tiga minggu dengan penceroboh bersenjata Sulu di Lahad Datu dan sama ada korban pasukan keselamatan dapat dielakkan sekiranya seluruh situasi itu ditangani dengan betul sejak awal lagi.
Keraguan dan rasa ingin tahu ini, tidak kira betapa absah sekalipun, perlu diletakkan di tempat kedua, memandangkan tidak diragui lagi negara kini berdepan dengan krisis melibatkan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat yang mesti dijadikan keutamaan tertinggi.
Saya mencadangkan majlis semua pihak ditubuhkan, dengan perwakiland daripada kedua-dua perikatan pemerintah dan oposisi, untuk membantu menguruskan krisis Sulu Sabah bagi menunjukkan pada dunia bahawa rakyat Malaysia, tidak mengira gabungan politik, kaum, agama atau kawasan, bersatu dalam memelihara kedaulatan negara dan keselamatan rakyatnya.
Saya mempunyai dua cadangan berkenaan krisis Sulu Sabah untuk member sokongan sepenuhnya kepada anggota polis dan tentera yang berada di barisan hadapan mempertahankan kedaulatan negara dengan nyawa mereka:
- Satu sidang tergempar Parlimen yang sepatutnya diadakan dalam minggu ini, walaupun pada 8 Mac 2013 yang menandakan ulangtahun kelima pilihan raya umum 2008, untuk memberitahu negara dan dunia bahawa walaupun negara berdepan dengan pilihan raya umum ke-13, rakyat Malaysia tidak mengira gabungan politik, kaum, agama dan kawasan, bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat melibatkan krisis Sulu Sabah;
- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuat lawatan segera ke Sabah untuk meredakan kebimbangan dan kerasahan rakyat Sabah terhadap pelbagai insiden pencerobohan ke Sabah dan keselamatan rakyat di Sabah.