Lim Kit Siang

Pengiraan Detik 67 Hari ke PRU13 – Jangan hanya memuja Psy dan Gangnam Style tetapi fahamilah pengajaran paling penting bahawa UBAH dalam PRU13 adalah prasyarat untuk Malaysia melakukan peningkatan besar menjadi sebuah negara maju seperti Korea Selatan

Perkara yang sedang hangat diperkatakan hari ini ialah senjata rahsia PRU13 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menarik 60,000 orang hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang di sekolah Han Chiang pada 11 Febuari dengan menjemput bintang Korea Selatan, Psy untuk mempersembahkan Gangnam Style.

Jemputan kepada Psy akan mengakibatkan kos yang besar buat UMNO/BN dan akhirnya rakyat Malaysia sendiri, termasuklah Najib dan pemimpin UMNO/BN, dan terlepas titik paling penting jemputan buat Psy untuk Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Najib di Pulau Pinang.

Malaysia tidak seharusnya cuma memuja Psy dan Gangnam Style tetapi fahamilah pengajaran paling penting bahawa UBAH dalam PRU13 adalah prasyarat untuk Malaysia melakukan peningkatan besar menjadi sebuah negara maju seperti Korea Selatan.

Pemimpin UMNO/BN telah cuba untuk menakut-nakutkan pengundi Malaysia dengan memberi amaran bahawa sekiranya berlakunya perubahan pada Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dalam PRU13, akan berlaku huru-hara seperti negara yang mengalami “Kebangkitan dunia Arab” dan Malaysia akan muflis dalam masa lima, tiga atau dua tahun – bergantung pada pemimpin mana yang mengatakannya!

Mengapa rakyat Malaysia mahukan perubahan ketika PRU13? Adakah pemimpin Pakatan Rakyat dan pengundi Malaysia yang menyokong diakhiri hagemoni 55 tahun UMNO dan kerajaan satu perikatan BN mahukan huru-hara di dalam negara dan Malaysia muflis dalam masa dua, tiga atau lima tahun lagi?

Hanya yang politiknya penuh dusta atau cacat mentalnya saja akan mempercayai perkara tak masuk akal sebegitu.

DAP dan Pakatan Rakyat tidak pernah menggalakkan revolusi tetapi perubahan aman dan demokratik melalui peti undi.

Kita sepatutnya membandingkan diri kita dengan Korea Selatan dan bukannya negara yang melalui “kebangkitan dunia Arab”

Pada awal 1960-an, Korea Selatan merupakan salah satu negara termiskin di dunia, dengan pendapatan per kapita kurang daripada US$100 – lebih miskin dan mundur daripada Malaysia yang berada di kedudukan No.2 Asia selepas Jepun dari sudut kemakmuran dan pendapatan, mempunyai pendapatan per kapita US$200 ketika kita mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pada dekad pertama kemerdekaan kita, Malaysia masih jauh di hadapan Korea Selatan memandangkan KNK per kapita berada pada US$290 jika dibandingkan dengan US$160 Korea Selatan.

Hari ini, selepas 55 tahun Merdeka, Korea Selatan adalah sebaliknya, daripada memiliki separuh pendapatan per kapita kita, pendapatan per kapita Korea Selatan kini dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada Malaysia. IMF contohnya menjangkakan pada 2012, KDNK per kapita Korea Selatan ialah US$23,021 berbanding KDNK per kapita Malaysia hanya US$10,578.

Pada 2011, sebuah bank pelaburan antarabangsa melaporkan menjangka Korea Selatan akan berada di kedudukan 10 negara terkaya KDNK per kapita diselaraskan dengan kuasa membeli setara pada tahun 2030 dan 2040.

Apakah rahsia kejayaan ekonomi Korea Selatan, merubah dirinya dalam tempoh separuh abad daripada sebuah negara yang lebih miskin dan mundur berbanding Malaysia, dengan hanya separuh daripada pendapatan per kapita kita menjadi dua hingga tiga kali lebih kaya berbanding Malaysia – dengan kemajuan menakjubkan terlihat di dalam setiap bidang yang usaha manusia, sama ada pembangunan sumber manusia, teknologi malahan dalam bidang budaya, speerti yang digambarkan dalam fenomena Psy dan Gangnam Style?

Jawapannya akan ditemui di dalam perubahan politik yang dilalui Korea Selatan daripada pemerintahan autoritarian kepada pendemokrasian yang lebih hebat sepanjang beberapa dekad yang membolehkan Korea Selatan membawa ekonominya ke tahap baru inovasi dan kreativiti. Rakyat Malaysia tidak mahu bersaing atau dibandingkan dengan negara yang melalui “Kebangkitan dunia Arab”. Kita telah dipotong oleh Korea Selatan tetapi kita mestilah berani untuk bangkit dan mengejar dan merapatkan kembali jurang yang kian melebar antara Malaysia dengan Korea Selatan.

Biar Psy dan Gangnam Stylenya menjadi peringatan buat rakyat Malaysia bahawa jika kita mahu mencapai tingkat baru pencapaian dan tidak mahu tersekat di dalam lorong sempit politik, ekonomi, pendidikan dan pembinaan bangsa akibat daripada 55 tahun pemerintahan UMNO/BN, maka UBAH dalam PRU13 adalah suatu yang penting dan matlamat patriotik.

Pada ketika itu barulah Malaysia boleh berharap untuk melahirkan Psy dan Gangnam Style kita sendiri untuk memukau dunia dan rakyat Korea Selatan di festival negara mereka!