Pengiraan Detik 68 Hari ke PRU13 – Penyimpangan dan histeria Chua Soi Lek yang kian menjadi-jadi ketika semakin hampir dengan PRU13 amat menyedihkan

Amat menyedihkan untuk melihat menjadi-jadinya penyimpangan dan histeria Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ke tahap beliau perlu merayu ahli MCA untuk memberikan tepukan kepada ucapannya dan pemimpin MCA lain dalam acara terbuka MCA seperti “makan malam mega” MCA yang diadakan di seluruh negara.

Chua membuat rayuan ini ketika majlis makan tengah hari sambutan ulangtahun MCA ke-64 Wilayah Persekutuan di Kepong semalam akan tetapi apa yang beliau dapat daripada ahli MCA yang hadir hanyalah sambutan yang dingin dan tidak sepenuh hati meskipun berkali-kali merayu tepukan untuk ucapannya.

Malah Chua cuba untuk mengelirukan ahli MCA untuk mengukuhkan rayuannya – meminta ahli MCA untuk mencontohi DAP dengan mendakwa bahawa apabila pemimpin DAP bercakap atas pentas, ahli DAP di bawah akan menyambut tanpa henti dengan tepukan untuk memberikan gambaran apa yang dikatakan adalah betul. Begitu juga, beliau meminta ahli MCA untuk melakukan perkara yang sama dengan memberikan tepukan gemuruh kepada pemimpin MCA ketika mereka bercakap atas pentas untuk mewujudkan keyakinan buat MCA.

Pertama sekali, izinkan saya nyatakan sepanjang 47 tahun di dalam politik, saya tidak pernah merayu supaya ucapan saya diberikan tepukan dan sorakkan – dan begitu juga dengan semua pemimpin DAP yang lain.

Kedua, jawapan mudah kepada Chua adalah bukan sahaja orang biasa, tetapi juga ahli MCA yang berasa marah dan terasing dengan lakonan yang dimainkan oleh kepimpinan MCA sebagai penyebar pembohongan dan ahli nujum malapetaka bagi membantu UMNO untuk menakut-nakutkan pengundi Cina bagi menyokong Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13.

Bukan saja kebanyakkan rakyat Malaysia yang berfikir, sama ada orang Cina, Melayu, India, Kadazan dan Iban, tetapi majoriti besar ahli MCA yang baik, yang dapat melihat di sebalik sifat penakut, tidak jujur dan kepura-puraan politik penipuan dan pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin MCA dan UMNO – dengan pemimpin MCA yang agenda utama mereka adalah untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dengan penipuan bahawa DAP adalah pak turut PAS sementara pemimpin UMNO melakukan perkara yang sebaliknya iaitu menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan menuduh PAS adalah boneka DAP.

Sama ada DAP adalah pak turut PAS atau PAS adalah boneka DAP. Hanya salah satu yang mungkin kerana keduanya tidak mungkin betul. Dan dalam kes ini, kedua-dua propaganda bercanggahan MCA dan UMNO adalah salah – kerana kedua-dua adalah penipuan dan pembohongan.

Inilah yang pada dasarnya membezakan Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional. Barisan Nasional hanya perikatan dari segi nama namun UMNO memaksakan budaya politik “Listen, listen, listen” dengan UMNO sebagai hagemoni yang tidak dipertikaikan dalam BN.

Inilah sebabnya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sewenang-wenangnya dan tidak mengikut perlembagaan mengumumkan pada 29 September 2001 (Deklarasi 929) bahawa Malaysia adalah negara Islam, yang pertama menzahirkan sokongan terbuka ialah pemimpin tertinggi MCA dan Gerakan, walaupun tanpa sebarang mandat daripada ahli MCA dan Gerakan.

Chua dan pemimpin MCA telah melaungkan di dalam “makan malam mega” MCA mereka penipuan dan pembohongan bahawa akan timbul masalah di Malaysia dan negara akan muflis sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya ke-13 dan membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Tidak diragukan lagi bahawa majoriti ahli MCA menganggap ucapan sedemikian sebagai paling tidak bertanggungjawab kerana kejayaan Pakatan Rakyat di lima negeri selepas tsunami politik pilihan raya umum 2008, terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor, telah membuktikan yang ramalan malapetaka sedemikian adalah salah dan tidak berasas.

Tidak diragukan lagi bahawa majoriti ahli MCA juga merupakan rakyat Malaysia yang patriotik dan mahu melihat perubahan politik buat pertama kali di dalam 55 tahun sejarah negara untuk mewujudkan hari esok yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

Saya ucapkan semoga berjaya buat Chua, kerana di tahap perkembangan politik Malaysia sekarang, beliau membantu membuka banyak mata terhadap politik tidak jujur, berpura-pura, penipuan dan pembohongan yang diamalkan bukan sahaja oleh MCA tetapi juga UMNO/Barisan Nasional jika dibandingkan dengan mana-mana Presiden MCA sebelumnya.

CategoriesUncategorized

Leave a Reply