Lim Kit Siang

Pengiraan Detik 76 Hari ke PRU13 – Sokongan kepada pembersihan korupsi badan kehakiman sejak 25 tahun lalu, termasuklah membuka semula dakwaan 33 mukasurat pada 1996 oleh pemberi maklumat badan kehakiman pertama di Malaysia melibatkan 112 dakwaan terhadap 12 orang hakim

Saya menyokong sepenuhnya tuntutan tiga bekas hakim Mahkamah Rayuan supaya dibuka semula kes lama dakwaan rasuah terhadap para hakim, termasuklah 33 mukasurat aduan oleh pemberi maklumat badan kehakiman pertama di Malaysia pada 1996 melibatkan 112 dakwaan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan salah laku terhadap 12 orang hakim, kerana saksi-saksi mungkin bersedia untuk tampil kedepan sekarang.

Trio Tan Sri V.C. George, Datuk Shaik Daud Ismail dan Datuk K.C. Vohrah adalah betul apabila mereka mengatakan bahawa orang ramai tidak berpuas hati kerana dakwaan sebelum ini tidak dilihat dengan cermat.

Malah, berikutan testimoni di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap kes video klip V.K Lingam (2007-2008), saya telah mengulangi di Parlimen apa yang telah saya bangkitkan di Parlimen pada 1996, menuntut sisatan menyeluruh ke atas 112 dakwaan korupsi, penyalahgunaan kuasa dan salah laku kehakiman terhadap 12 orang hakim yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Dartuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid.

Ini kerana testimoni di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Klip Video Linggam berkenaan rasuah dan korupsi hakim, termasuklah Hakim Besar ketika itu, mengingatkan rakyat Malaysia, terutamanya pemimpin politik, Ahli Parlimen, para hakim dan peguam kepada ucapan pertengahan Mac yang terkenal, ketika Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah mengejutkan rakyat Malaysia dengan pendedahan “33 mukasurat surat layang” yang membuat 112 dakwaan rasuah, salahguna kuasa dan salah laku terhadap 12 hakim pada satu Persidangan Hakim di Kuching pada March 1996.

Mohtar secara terbuka mengeluarkan arahan kepada polis untuk memulakan siasatan bagi “mencungkil” dan “mengheret ke muka pengadilan” “konspirator”, “pengkhianat” dan “unsur-unsur khianat” yang cuba “mencemarkan nama baik badan kehakiman dan menumpaskan keadilan” di negara ini.

Empat bulan kemudian, Mohtar mengumumkan kes tersebut ditutup apabila beliau mendapati seorang hakim Mahkamah Tinggi merupakan orang di belakang 33 mukasurat surat layang terhadap badan kehakiman dan hakim itu telah pun meletakkan jawatan.

Hakim itu adalah Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid, yang mana satu dekad kemudian secara terbuka mengumumkan dakwaan beliau tidak pernah disiasat secara menyeluruh, dan perkara itu telah disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Abu Talib yang mengeluh bahawa “sebaliknya, hakim yang menulis surat itu yang telah disiasat”.

Sudah tiba masanya keadilan mesti ditegakkan di dalam kes dakwaan Syed Ahmad Idid pada 1996.

Akan tetapi pembukaan semula kes lama dakwaan rasuah ke atas hakim-hakim itu tidak sepatutnya terhad kepada dakwaan Syed Ahmad Idid, tetapi sepatutnya melibatkan semua dakwaan rasuah dan salah laku kehakiman sejak pemecatan Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah pada 1988, termasuklah kes rasuah yang disebut bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang mengatakan secara terbuka pada March 2007 bahawa terdapat hakim yang korup tetapi tiada susulan terhadap pendedahan terbuka sedemikian baik dengan laporan polis atau penubuhan tribunal kehakiman terhadap hakim-hakim yang korup.

Seperti yang telah ditegaskan oleh George dengan tepat, tiada undang-undang yang menentukan had masa dalam pendakwaan jenayah maka dengan itu tiada sebab mengapa kes lama tidak boleh dibuka semula.

Masanya telah tiba untuk memulihkan kembali keyakinan awam ke atas kedaulatan undang-undang yang adil dan badan kehakiman yang benar-benar bebas di Malaysia dengan melancarkan pembersihan rasuah kehakiman sejak 25 tahun lalu, termasuklah membuka semula dakwaan 33 mukasurat pada 1996 oleh pemberi maklumat kehakiman pertama melibatkan 112 dakwaan ke atas 12 orang hakim.

Jika tiada kesungguhan politik di bawah pentadbiran masa ini untuk menegakkan keadilan kepada para hakim, sama ada yang sedang berkhidmat sekarang atau bekas-bekas hakim, ini adalah salah satu sebab mengapa masa telah tiba untuk perubahan dalam PRU13.