Pengiraan Detik 78 Hari ke PRU13 – UMNO/BN akan menghidangkan “Penipuan, penipuan dan banyak lagi penipuan” menjelang PRU13 tetapi rakyat Malaysia janganlah dialihkan perhatian daripada Isu Penting Reformasi dan Pembaharuan Nasional dalam PRU13

Tiada tanda penyesalan atau keinsafan pada pemimpin, propagandis dan media perdana UMNO/BN dalam menghujani parti-parti dan pemimpin Pakatan Rakyat dengan penipuan dan pembohongan, tanpa sedikit pun rasa hormat kepada kesengsaraan dan kesedihan keluarga yang berpunca daripada kesakitan dan kesukaran seperti yang terjadi pada Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng, isterinya Irene Change dan lima anak mereka.

Benar-benar keji dan hina apabila walaupun Irene tidak pernah diwawancara atau merungut tentang parti dan pemimpin parti, namun sebuah kenyataan palsu telah diterbitkan kononnya mengatakan beliau bertindak menyelar parti dan pemimpin parti sebagai tidak berhati perut berkenaan rawatan “tumor otak” Ho Leng, malah mendakwa Ho Leng mengumpul RM10 juta belanja pilihan raya tetapi Cuma RM4 juta yang dibelanjakan sementara RM6 juta dirampas oleh DAP Sarawak dan ibupejabat DAP.

Seperti yang telah Ho Leng katakan berkenaan kenyataan yang palsu dan rekaan berkenaan Irene, “tiada satu ayat pun yang benar”, dakwaan RM10 juta itu pula sama seperti dakwaan tidak munasabah bahawa DAP membelanjakan RM1.3 juta untuk menghasilkan video klip Gangnam baru-baru ini, semuanya rekaan semata-mata.

UMNO/BN akan menghidangkan “Penipuan, penipuan dan banyak lagi penipuan” dengan menjelangnya PRU13 tetapi rakyat Malaysia, termasuklah pemimpin, ahli dan penyokong DAP dan Pakatan Rakyat, jangan dialih perhatian daripada Isu Penting Reformasi dan Pembaharuan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13, memandangkan kini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sukar untuk menangguh lagi pilihan raya ke suatu waktu yang tidak pasti.

Isu Penting Reformasi dan Pembaharuan Nasional termasuklah agenda menghapuskan rasuah dan mengakhiri pengaliran keluar modal haram; menjadikan Malaysia selamat daripada jenayah dan bebas daripada rasa bimbang terhadap jenayah buat rakyat, pelancong dan pelabur; memulihkan kecekapan, kebebasan dan perofesionalisme institusi nasional utama; merombak sistem pendidikan untuk menjadikan Malaysia berdaya saing, makmur dan progresif; serta memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau tempat untuk menjadikan Malaysia model antarabangsa masyarakat berbilang kaum dan agama yang juga negara demokrasi berjaya.

Kecenderungan tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan pengecut untuk menggunakan “Penipuan, Penipuan dan Banyak Lagi Penipuan” dalam kempen pilihan raya UMNO/BN mencerminkan keterdesakan yang dirasai pemimpin UMNO/BN bahawa PRU13 mungkin melihatkan mereka dikeluarkan dari kuasa Persekutuan di Putrajaya – pertama kali di dalam tempoh 55 tahun.

Inilah sebabnya mengapa pemimpin dan propagandis UMNO/BN semakin galak dengan politik kebencian dan konflik, mengapi-apikan perpecahan kaum dan agama walaupun perbuatan itu bercanggah dengan dasar 1Malaysia Najib yang mahukan rakyat Malaysia menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu kemudian barulah kaum, agama, status sosio-ekonomi dan tempat.

Hakikatnya, rakyat Malaysia hari ini tidak pernah berasa kurang “1Malaysia” dalam empat tahun pemerintahan Najib sejak April 2009.

Sewaktu mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir, mempersoal kelayakan kewarganegaraan satu juta bukan Melayu yang diberikan kewarganegaraan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman sebagai sebahagian daripada Persetujuan Merdeka dan “kontrak sosial” sebelum Merdeka pada tahun 1957, ia adalah tidak lain penolakan terus terhadap Dasar 1Malaysia Najib.

UMNO/BN mahukan rakyat Malaysia terus bertelingkah berkenaan masa lalu – kembali ke separuh abad dulu.

Sebaliknya, Pakatan Rakyat mahu rakyat Malaysia bersatu untuk membina masa depan yang bersatu, toleran, makmur dan progresif untuk semua anak cucu kita, supaya rakyat Malaysia boleh berdiri sama tinggi dalam masyarakat antarabangsa.

Rakyat Malaysia sepatutnya maju ke hadapan dengan impian dan harapan baru dan tidak membiarkan diri kita terikat dengan belenggu politik penipuan dan pembohongan juga politik keraguan antara kaum dan permusuhan agama.

Leave a Reply