Lim Kit Siang

Pemimpin-pemimpin PR sepatutnya memberikan sepenuh fokus kepada memenangi sokongan majoriti rakyat Malaysia terhadap Dasar Bersama PR

Dalam pusingan akhir menuju PRU13, pemimpin-pemimpin PR sepatutnya memberikan sepenuh fokus kepada memenangi sokongan majoriti rakyat Malaysia terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan tidak jatuh ke dalam perangkap ‘Pecah dan Perintah’ Umno/Barisan Nasional.

Biarlah kita dipandu oleh Kenyataan Bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sewaktu Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 2008 yang menegaskan semula landasan perpaduan, komitmen dan persetujuan PR untuk melaksanakan sebuah agenda bagi membangunkan negara dan mewujudkan masyarakat yang makmur berdasarkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan tadbir urus yang baik, tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

Kenyataan Bersama pemimpin-pemimpin PR bertarikh 12 April 2008, yang terpahat padanya tandatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Datuk Seri Hadi Awang dan saya sendiri, menyatakan:

“Dasar-dasar Pakatan adalah berpaksikan kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan disepakati oleh semua pemimpin tiga parti iaitu, KeADILan, DAP dan PAS. Antaranya ialah membina negara ini atas landasan keadilan, membuka peluang untuk semua rakyat menikmati kemakmuran negara dengan memberi keutamaan kepada mereka yang miskin dan terpinggir.”

“Pakatan bukanlah medan bagi mana-mana pihak untuk memperjuang ideologi persendirian atau parti masing-masing. Walaupun ada pihak-pihak yang memberi pandangan berbeza dari yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin utama tiga parti dalam Pakatan, pandangan itu adalah pandangan peribadi yang tidak sama sekali mewakili mana-mana parti dalam Pakatan. Oleh demikian, semua pemimpin dan ahli dalam Pakatan telah diarahkan menghentikan pandangan yang lain daripada muafakat bersama ini.”

“Tidak ada parti yang menjadi tunjang Pakatan. Bahkan tunjang kekuatan Pakatan berpaksikan prinsip sama taraf dan berasaskan semangat pemuafakatan pimpinan Pakatan berteraskan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Ke-12 yang lalu.”

Setelah lebih dua tahun, negara ternanti-nanti akan PRU ke-13 tetapi sifat tidak dapat membuat keputusan dan kebimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana kurang berkeyakinan terhadap hasil pilihan raya itu nanti telah menghilangkan keyakinan ekonomi untuk masa hadapan negara.

Masa kian suntuk untuk Najib memandangkan ruang untuk beliau memilih tarikh terbaik bagi membubarkan Parlimen kini semakin sempit apabila tinggal cuma lima bulan lagi menjelang 27 April, 2013, yang mana Parlimen akan terbubar dengan sendirinya sekalipun Najib tidak dapat buat keputusan bila untuk memanggil pilihan raya.

Bagaimanapun, saya tidak percaya Najib mahu mencipta sejarah dengan menjadi pemimpin kerajaan yang tidak mampu membuat keputusan bilakah pilihan raya akan diadakan dan terpaksa bertahan sehinggalah Parlimen terbubar dengan sendirinya mengikut Perlembagaan.

Saya menjangkakan Pilihan Raya ke-13 akan diadakan pada bulan Febuari atau Mac tahun depan. Dengan tiga atau empat bulan lagi menuju PRU13, inilah masanya buat semua pemimpin-pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat memberikan usaha terbaik untuk menggerakkan pengundi seluruh negara agar berdiri di belakang Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan tidak memberikan ruang Umno/BN dan media-media mereka, sama ada media cetak atau eletronik, untuk menimbulkan perpecahan dan perselisihan di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat.

Berhubung dengan itu, perlu untuk dijelaskan bahawa laporan terkini kononnya DAP telah bersetuju terhadap perlaksanaan hudud sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya pada PRU 13 adalah sangat tidak benar dan tidak berasas.

Pendirian DAP bahawa hudud tidak sesuai atau wajar untuk Malaysia kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan Malaysia yang majmuk merupakan pendirian DAP yang terbuka, berterusan dan konsisten dalam 46 tahun sejarah parti ini.

DAP telah menjelaskan pendirian kami dan inilah sebabnya mengapa perkara itu tiada di dalam Dasar Bersama PR, yang hanya boleh dipinda sekiranya terdapat persetujuan daripada ketiga-tiga perti PR.