Lim Kit Siang

Kalau terasa akan kalah, biarkan sahaja Parlimen terbubar dengan sendirinya

― Aspan Alias
The Malaysian Insider
Nov 13, 2012

13 Nov ― Ada dua perkara yang saya hendak sentuh sekali gus hari ini. Yang pertamanya ialah tentang program UMNO Seremban yang mengadakan majlis parti di Kem Tentera Sikamat, Seremban, dan yang kedua ialah isu Himpunan Rakyat 1Malaysia yang dianjurkan oleh UMNO dan BN melalui penganjuran oleh beberapa NGO pada 24 hb November ini.

Saya tidak berapa perasan bila program itu diadakan tetapi yang nyata ada jemputan Dato’ Ishak Ismail kepada semua penduduk Sikamat untuk mereka hadir di majlis anjuran beliau di dalam kem Rejimen Ke-4, Artileri Di- Raja, Sikamat dan ini amat memeranjatkan banyak pihak kerana ia dibenarkan oleh pemerintah Kem tersebut untuk UMNO mengadakan majlis politik itu.

Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, yang berucap dalam majlis itu sepatutnya memberikan penjelasan kenapa UMNO mengheret tentera dalam politik dan jika tentera menjadi aktif dalam politik ini merupakan petanda buruk akan melanda negara dan tidak siapa akan dapat mengenali politik yang sebenarnya dalam tempoh yang terdekat ini. Ini merupakan satu fenomena baru di dalam UMNO dan ini hanya menunjukkan betapa terdesaknya parti yang telah memerintah negara sejak merdeka itu.

Jika tentera digiatkan dalam politik maka kita sudah tidak ada lagi sistem politik yang betul dan ia akan hanya membawa negara kepada keadaan dan situasi yang mana rakyat tidak akan tahu lagi yang mana satu sistem yang betul sebagai sebuah negara demokrasi kerana semua sistem dan tata cara bernegara itu sudah berkecamuk dan tidak menentu lagi. Anak-anak muda tidak akan lagi tahu siapa yang sepatutnya bergiat dan siapa yang sepatutnya duduk di tengah-tengah dengan ‘magnanimous’ kerana setiap rakyat sudah tidak tahu lagi yang mana yang sepatutnya mereka lakukan dan yang mana yang tidak boleh dan beretika untuk dilakukan.

Oleh kerana keadaan ini sudah mula berlaku ia sepatutnya menjadi pengukur kepada kemampuan untuk mempertahankan sistem demokrasi negara ini. Maka tidak boleh kita biarkan perkara seperti ini berlaku justeru pilihanraya inilah sebaik-baik masa untuk memperbetulkan apa yang tidak kena dalam negara kita ini.

Himpunan rakyat 1Malaysia

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, telah membuat sidang media semalam yang beliau sedang mengetuai satu sekatariat untuk menganjurkan himpunan rakyat 1Malaysia pada November ini di Kuala Lumpur. Ia bermatlamatkan untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada kepimpinan pada hari ini dan UMNO sedang menggunakan badan-badan bukan kerajaan untuk menganjurkannya. Menggunakan NGO-NGO seperti ini merupakan satu-satunya jalan untuk mengumpulkan manusia yang sudah menjauhi UMNO dan BN itu.

Tetapi masalahnya UMNO menggunakan cara yang sama yang digunakan oleh Pakatan Rakyat dan ia bukan cara UMNO yang lazim mereka lakukan. UMNO terpaksa menciplak dan mengadakan perhimpunan seperti yang dilakukan oleh pembangkang. Tetapi perbezaannya amat jauh di antara UMNO dan pembangkang kerana UMNO sudah pasti terpaksa menggunakan badan-badan NGO dan tentulah ia memakan belanja yang banyak untuk menyempurnakannya. Saya tidak menjangka yang orang ramai akan memberikan sokongan padu terhadap perhimpunan ini kerana mereka dijemput dengan semua persediaan yang mahal-mahal dengan karipap dan minuman serta tambang menambang serta bas-bas percuma untuk mengangkut manusia yang kebanyakannya terdiri dari pelajar-pelajar dan budak sekolah.

Berlainan dengan pihak PR yang hanya mengumumkan tempat dan waktu perhimpunan diadakan tanpa perlu membayar dan menyediakan makanan dan khemah-khemah untuk menarik orang ramai untuk datang. Kita telah melihat berapa ramainya kedatangan serta kehadiran rakyat jelata dalam perhimpunan rakyat di Senawang, Seremban pada 3hb Nov yang lepas. Mereka datang dalam hujan lebat dan berpayung dan berbaju hujan yang tidak diberikan oleh PR. Mereka berbelanja sendiri kerana yang memberikan motivasi mereka untuk hadir itu adalah semangat dan perasaan ingin kepada perubahan kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang.

UMNO atau BN tidak mungkin mampu untuk memanggil kehadiran yang besar tanpa disediakan makanan, pengangkutan, topi serta baju T yang mahal-mahal. Sebaliknya bagi UMNO, mereka akan diberikan kontrak untuk membekalkan baju T dan topi. Mereka tentulah mendapat habuan yang besar dan mereka yang mendapat kontrak itu tentulah mereka yang hampir dengan pejabat setiausaha agong dan setiausaha kerja UMNO Pusat. Satu perhimpunan rakyat anjuran BN itu akan memakan belanja yang berjuta-juta.

Bagi UMNO ia hanya untuk menunjukkan kepada ramai yang mereka juga mendapat sokongan tetapi rakyat tahu tujuan pimpinan BN hanyalah untuk merawati jiwa mereka yang tertekan dalam menghadapi pilihanraya yang hampir tiba ini. Mereka (UMNO) hanya hendak menunjukkan dan menempelkan imej sokongan sahaja tetapi ia hanyalah ibarat seorang wanita yang mengenakan bedak sejuk di muka mereka sahaja. Bedak sejuk di muka-muka mereka akan hilang setelah baru bangun dari tidur dan selepas mandi. Bedak sejuk itu tidak kekal melekat di muka-muka mereka.

Mengikut kata-kata Ahmad Maslan di antara mereka yang berucap nanti adalah mereka yang mewakili berbagai-bagai bidang masyarakat. Beberapa professor kangkong serta mereka yang bergelar dan bernama yang mewakili berbagai pihak akan berucap. Mereka termasuklah Chandra Muzaffar dan Lee Lam Thye. Apa yang akan mereka perkatakan tidaklah dapat kita jangkakan kerana selalunya mereka akan memberikan retorik dan ucapan mengungkit-ngungkit tentang apa yang BN telah lakukan kepada rakyat dan sebagainya.

Mereka tidak akan berani bercakap tentang segala kemungkaran politik, ekonomi dan sosial yang BN telah lakukan oleh mereka selama ini. Satu yang pasti perhimpunan anjuran BN akan menggunakan belanja yang besar untuk menjayakannya. Untuk mengekalkan BN memerintah rakyat terpaksa berbelanja terlalu mahal tetapi tidak juga mendapat perhatian ramai.

Bagi pandangan peribadi saya jika BN tidak berkeyakinan dengan diri sendiri untuk menghadapi PRU ini biarkan sahaja penggal ini terbubar dengan sendirinya pada 28hb April yang akan datang. Mengadakan perhimpunan besar pun bukannya memberikan faedah apa-apa pun. Apa perbezaan di antara 29hb April dengan Mac? Yang pasti Najib merupakan satu-satunya PM yang belum mendapat mandat sehingga hari ini.

Kalau UMNO sudah masuk kem tentera untuk mengadakan ceramah, itu adalah petanda yang UMNO tidak relevan lagi kepada rakyat biasa.