— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Sep 24, 2012
24 SEPT — Saya telah cuba untuk tidak menulis tentang Dr Mahathir Mohamad lagi tetapi tidak dapat saya berbuat demikian kerana beliau masih lagi menyalahkan semua orang di atas perpecahan orang Melayu sebagaimana anggapan beliau sekarang.
Dalam tulisan beliau dalam Mingguan Malaysia semalam beliau menzahirkan perasaan sedih di atas apa yang telah terjadi kepada orang Melayu yang pada beliau akan hilang kuasa politiknya disebabkan perpecahan sesama sendiri.
Tidak susah untuk memikirkan siapa yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir sebagai Melayu yang tamak kuasa yang telah memecahkan Melayu itu. Ia tidak lain selain dari Anwar Ibrahim yang telah menjadi duri dalam daging kehidupan sepanjang hayat beliau.
Dr Mahathir masih lagi bercakap tentang Melayu yang beliau sendiri telah pecahkan dan hasil dari perpecahan itu dilontarkan kesalahannya kepada semua orang kecuali diri beliau sendiri.
Utusan menggambarkan yang beliau telah menangis memerhatikan perpecahan orang Melayu sekarang ini. Tetapi Dr Mahathir mesti faham yang orang Melayu telah lama menangis dan tersedu di atas perbuatan beliau memecahbelahkan pimpinan dan premis perjuangan Melayu iaitu Umno selama ini.
Umno telah beliau jadikan sebagai alat permainan beliau dengan menggunakan sentimen Melayu yang menebal dan menggunakan simpati dan sokongan Melayu itu untuk kepentingan peribadi beliau.
Kata perbilangan “sesal dahulu pendapatan, kesal kemudian tiada gunanya”. Inilah yang patut Dr Mahathir rasakan sekarang dan berhenti mengalih dan melontarkan kesalahan kepada orang lain seperti Pak Lah dan Anwar Ibrahim.
Di sini Dr Mahathir perlu merasakan kekesalan di atas permainan politik melampau beliau sehinggakan Umno tidak ada lagi pemimpin yang mempunyai roh perjuangan yang sejati melainkan pemimpin-pemimpin yang datang secara “dubious” yang kita tidak tahu asal usul perjuangan mereka dan keluarga mereka.
Dr Mahathir telah mendapat segala kehendak politik peribadi beliau tetapi “at what cost?” Berapakah harga yang terpaksa dibayar untuk mempertahankan Dr Mahathir itu? Kerosakan tentunya bermula dari suatu masa dan adalah tidak wajar Dr Mahathir untuk menyatakan yang kerosakan itu bermula dari zaman kepimpinan Pak Lah semata-mata.
Kerosakan yang kita lihat sekarang begitu teruk dan tidak mungkin ianya bermula dari zaman Pak Lah yang baru sahaja empat tahun meninggalkan kuasa setelah menjadi PM hanya selama lima tahun. Pak Lah itu sendiri merupakan pemimpin yang dari awal tidak sepatutnya menjadi Perdana Menteri. Begitu juag Najib Razak dan Muhyiddin Yassin yang ada pada hari ini.
Tetapi mereka-mereka ini muncul ke depan kerana ketiadaan dan ketandusan kepimpinan dalam Umno hasil dari penyingkiran pemimpin-pemimpin yang baik oleh Dr Mahathir dahulu. Berjayalah Dr Mahathir memperolehi apa yang beliau inginkan, iaitu barisan kepimpinan yang hanya “mengangguk seperti burung balam” dalam Umno.
Tetapi Dr Mahathir itu adalah makhluk seperti kita semua juga. Sampai masanya beliau terpaksa bersara dan apabila beliau bersara, di sinilah bermulanya masalah yang kita sedang hadapi sekarang. Umno sudah menjadi parti yang kekeringan pimpinan, kosong dan tidak bermaya lagi.
Dr Mahathir tidak menjadikan alam yang terbentang luas ini sebagai guru. Padahal bukan kita tidak nampak jika sesebuah negara itu dipimpin oleh seseorang dengan jangkamasa yang terlalu panjang, negara itu akan kehilangan kepimpinan kerana semua mereka yang berkepimpinan itu akan mati ditelan masa.
Bukan tidak ada contoh yang jelas yang boleh kita lihat dan dijadikan pelajaran. Presiden Tito memerintah hampir tiga dekad, akhirnya apabila beliau tiada Yugoslavia berpecah menjadi lima negara kecil yang berperang tiada kesudahannya.
Presiden Marcos, seorang yang mula pemimpin yang demokratik akhirnya menjadi diktator dan memerintah selama 20 tahun, akhirnya Filipina sehingga hari ini belum lagi dapat bangun ke tahap yang mereka pernah alami dalam tahun enam puluhan.
Begitu juga Indonesia yang diperintah Suharto selama 30 tahun menjadi haru-biru dan baru sekarang sahaja negara tersebut telah kembali menjadi negara yang disegani dan negara demokrasi terbesar selepas India di Asia ini.
Kita boleh perhatikan di mana-mana negara yang pemimpinnya memerintah sebegitu lama, akan mewarisi negara yang sarat dengan korupsi yang susah untuk dibendung. Ethiopia, Algeria, Indonesia, Filipina, Zimbabwe dan terlalu banyak contoh yang membuktikan yang negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin terlalu lama akan menghadapi penyakit politik dan sosial yang besar dan memakan masa yang panjang untuk diperbetulkan.
Tuduhan Dr Mahathir yang orang Melayu telah berpecah belah dan menganggap Melayu mudah lupa, tetapi elok kita ingatkan yang Mahathir sendiri sudah terlalu banyak perkara yang beliau telah lupa.
Beliau terlupa kepada hakikat yang segala perbuatan kita akan diadili oleh rakyat pada masa yang akan datang. Ada di antara penyokong tegar Umno membenci saya kerana saya tidak berhenti-henti menyebut perkara yang lama. Tetapi kalau tidak ada yang lama masakan ada yang baru.
Perbuatan pemimpin akan disebut sampai bila-bila. Apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir itu merupakan sejarah yang baru dan masih ramai yang hidup dan mengingatinya. Sejarah tetap diperkatakan selalu walau selama mana pun usia sejarah itu. Abu Jahal telah mati lebih dari 1,400 tahun dahulu, namun namanya tetap disebut dengan apa yang dia telah lakukan.
Firaun tetap menjadi bacaan sejarawan walaupun zaman Firaun tu telah berlalu lebih dari tiga ribu tahun yang lalu. Sesiapa pun tidak boleh mengelakkan sesiapa dari menyebut hal sejarah walaupun sejarah itu telah berlalu ribuan tahun yang lalu. Sejarah tetap sejarah dan ia akan tetap menjadi bahan telaah rakyat di masa yang akan datang.
Dr Mahathir tidak boleh menyalahkan apa yang berlaku kepada orang Melayu kepada orang lain. Dr Mahathir telah membiarkan Umno menjadi reput dan apabila sampai ke tahap Umno sudah tidak dapat diperbaiki lagi ini, beliau masih hangar-bingar menyebut isu ini seolah-olah beliau tidak ada kena mengena dengan keadaan yang berlaku ini.
Orang Melayu sedar yang mereka telah berpecah-belah. Maka mereka (orang Melayu) sekarang begitu “conclusive” mengambil keputusan untuk bersatu di luar Umno dan BN. Jika pemimpin-pemimpin Umno dan BN, termasuk dengan Dr Mahathir sekali inginkan perpaduan, saya mencadangkan supaya mereka-mereka ini turut sahaja kehendak orang Melayu untuk berpadu di luar Umno itu.
Pemimpin Umno harus menerima pandangan banyak pihak yang kali ini pembangkang akan menang secara “outright”. Tsunami politik akan lebih hebat lagi dari tsunami 2008 dahulu. Siapa yang tidak percaya dengan pandangan ini, itu hak masing-masing.
Menganggap Melayu akan selamat hanya di bawah Umno sahaja merupakan satu mitos yang tidak boleh diikuti dan dipercayai. “Enough is enough,” kata seorang pemimpin Umno sendiri kepada saya semalam.
Beliau seterusnya berkata, “selagi kita meyakini Umno selagi itulah pemikiran kita diperangkap. Buat itu tak boleh buat ini tak boleh. Sampai bila kita hendak diperangkap dan perkuda oleh pimpinan yang hanya memikirkan kepentingan mereka semata-mata?”
Kita sudah tidak ada masa untuk mendengar “gelembong” Umno lagi. — aspanaliasnet.blogspot.com