Lim Kit Siang

Ramalan Dr M akan salah lagi rasanya

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Sept 21, 2012

21 SEPT — Betulkah pandangan Dr Mahathir Mohamad yang Barisan Nasional (BN) akan menang tipis dalam PRU yang akan datang? Ada yang bertanya samada ramalan ramai yang Umno akan tumbang ada kebenarannya.

Dr Mahathir meramalkan kemenangan untuk BN, tetapi kemenangan yang tipis. Dr Mahathir juga mengakui yang BN akan menjadi kerajaan yang lemah dan akan menghadapi masalah “defection” selepas pilihanraya dan sebagainya.

Dr Mahathir meramalkan yang BN akan mendapat majoriti 2/3 jika BN menghadapi PRU kali ini dengan lebih kuat dan melakukan pemilihan calon dengan tepat.

Keupayaan Dr Mahathir untuk menelaah keputusan PRU itu menjadi persoalan kepada yang berfikir. Dalam pada Umno menghadapi masalah yang besar sekarang, mana mungkin Umno itu akan mendapat kemenangan majoriti 2/3 di Dewan Parlimen? Walau bagaimanapun sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir sendiri berhak untuk meramalkan keputusan PRU itu nanti, kerana pilihanraya itu pun belum diadakan lagi.

Pihak lain pula ramai yang meramalkan Pakatan Rakyat (PR) akan menang “hands down” dan akan melakukan perubahan besar kepada lanskap politik buat pertama kali dalam sejarah kemerdekaan negara kita.

Dr Mahathir berkata yang Pakatan Rakyat ini hanya sekumpulan manusia yang berpakat-pakat untuk melakukan kejahatan. Tetapi semua pakat-pakat yang beliau lakukan sekarang terbukti sebagai pakat-pakat jahat untuk kepentingan segelintiran pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja.

Salah satu dari dua ramalan itu akan menjadi kenyataan: Samada yang mengatakan BN akan kalah atau pun pihak yang mengatakan BN akan kekal memenangi PRU itu nanti.

Tetapi apa yang hendak saya nyatakan di sini ialah, tidak semua ramalan Dr Mahathir itu menjadi kenyataan. Ramai yang berkata Dr Mahathir hanya berkata-kata dengan apa yang beliau hendak dengar sahaja.

Pada tahun 1985 dahulu beliau meramalkan yang Parti Bersatu Sabah (PBS) yang baru sahaja wujud tidak akan berjaya mengalahkan parti Berjaya dan kerajaan yang dipimpin oleh Harris Salleh di Sabah.

Dr Mahathir mempunyai keyakinan seratus peratus yang Berjaya akan dapat mengekalkan mandat dalam pilihanraya negeri pada tahun itu kerana PBS adalah parti baru dan tidak mungkin berjaya.

Dr Mahathir begitu berkeyakinan yang Berjaya akan berjaya dan beliau terus memberikan sokongan terbuka kepada Berjaya untuk mengekalkan kuasa di Sabah. Dr Mahathir dalam ucapan beliau di Sabah dalam kempen pilihanraya itu telah berucap dengan penuh keyakinan dan beliau berjanji yang beliau akan berenang atau tenggelam bersama Berjaya.

Akhirnya Berjaya telah tumpas dengan teruknya sehinggakan Harris Salleh sendiri telah kalah di kawasannya sendiri, di Tenom. Tetapi Dr Mahathir berubah pendirian dan tidak mahu tenggelam bersama Berjaya seperti yang beliau janjikan semasa kempen pilihanraya itu.

Dr Mahathir sedar yang beliau telah tersalah membuat ramalan terhadap keputusan pilihanraya negeri itu. Dr Mahathir terus berenang dan membiarkan sahaja Harris Salleh tenggelam sendirian.

Sesungguhnya tidak mustahil jika Umno mengalami keadaan seperti yang dialami oleh Berjaya. Apabila rakyat mahukan perubahan, keadaan itu akan wujud dengan sekelip mata sahaja.

Rakyat akan menolak dan meruntuhkan parti yang telah terlalu lama menjadi “sanctuary” kepada semua pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni yang rakus selama ini.

Rasanya Dr Mahathir akan tersalah ramal lagi kali ini… — aspanaliasnet.blogspot.com