— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Jun 26, 2012
26 JUN — Saya bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa kita tidak perlu mengikut jejak cara Arab Spring untuk menjatuhkan kerajaan, kerana diantara Malaysia dan negara-negara arab itu berbeza. Di negara-negara Arab itu tidak ada demokrasi dan saya bersetuju dengan Dr Mahathir itu.
Kita tidak mahu terjadinya Arab Spring disini untuk mendapatkan kuasa. Kita memilih untuk mendapatkan kuasa melalui pengiraan undi didalam pilihanraya yang diadakan secara demokratik. Tidak ada siapa yang mahukan kekecohan dalam politik ini, lebih-lebih lagi pihak pembangkang.
Kerana tidak mahu berlakunya Arab Spring itulah, rakyat mendesak kerajaan untuk membetulkan sistem pilihanraya di negara kita ini. Negara kita telah melalui pilihanraya demi pilihanraya sejak merdeka tetapi rakyat sekarang sedar bahawa sistem pilihanraya dan demokrasinya yang telah terlaksana selama ini tidak sampai ketahap yang munasabah. Ianya berat sebelah dan sentiasa memberikan kelebihan kepada BN sahaja.
Pihak kerajaan yang “incumbent” tidak mahu melaksanakan sistem pilihanraya dengan betul kerana sistem yang betul akan menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap BN dan akhirnya akan kehilangan kuasa yang mereka tamakkan selama ini. Rakyat tidak mendapat penerangan dengan adil kerana kerajaan tidak membenarkan parti pembangkang untuk menyampaikan perancangan dan kempen mereka melalui media massa perdana contohnya.
Di setiap pilihanraya pihak pembangkang tidak dapat bertanding dan bersaing diatas “level playing ground” dan ini tidak lagi disukai rakyat yang kian hari kian bermaklumat dan pandai menilai baik buruk setiap pihak; tidak kira parti yang memerintah atau pun parti yang membangkang. Dalam pada pihak kerajaan menghambat segala maklumat dan pengetahuan kepada rakyat, pihak pembangkang dapat juga memenangi empat buah negeri-negeri di Semenanjung Malaysia ini dan telah mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat jika di bandingkan dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.
Tidak ada sesiapa pun mahukan cara mengambilalih kuasa dengan mengikut cara Arab Spring itu dan itulah sebabnya kerajaan sepatutnya memberikan keadilan kepada pihak pembangkang untuk merapati rakyat untuk memberikan pilihan kepada rakyat untuk menilai pihak mana yang lebih bersesuaian mengikut keadaan semasa pilihanraya itu diadakan.
Dr Mahathir berkata rakyat tidak perlu melakukan peralihan itu sambil beliau bertanya, “buruk sangat kah BN sekarang ini?” jawapannya ada kepada rakyat… Mahathir mungkin kata BN itu lebih baik dari Pakatan Rakyat. Tetapi itu pandangan Dr Mahathir. Pandangan rakyat mungkin lain pula. Itulah sebabnya kerajaan sepatutnya melaksanakan pilihanraya ini dengan adil dan saksama supaya rakyat dapat mengadili keadaan semasa itu nanti.
Apabila rakyat dibenarkan untuk mendapatkan maklumat secara adil, maka mereka (rakyat) boleh memberikan penilaian samada untuk mendengar kata-kata atau kempen Dr Mahathir atau untuk mendengar pandangan pihak pembangkang. Yang pentingnya dalam demokrasi setiap rakyat mesti diberikan peluang untuk mendengar pandangan dari kedua-dua belah pihak secara bebas dan beretika.
Kalau media itu adil maka pembangkang tidak payah berkempen dan berceramah dan BN pun tak payah untuk membawa pemimpin-pemimpin besarnya berkempen dengan “aggressive” di setiap tempat kerana jika BN berkempen ia adalah kempen yang sangat mahal harganya dan ia melibatkan wang rakyat.
Contohnya, apabila Najib dan Muhy melawat dan berkempen di Perak sahaja, belanja untuk membeli karipap sahaja memakan belanja puluhan ribu ringgit. Karipap-karipap itu tidaklah tembam macam mana pun. Itu tidak termasuk belanja untuk menaikkan khemah dan sewaan bas yang beratus buah untuk membawa orang ramai datang mendengar temberangnya disetiap tempat beliau melawat. Jumlah perbelanjaannya sampai ketahap jutaan ringgit.
Oleh itu Dr Mahathir jika benar beliau jujur beliau sepatutnya meminta pimpinan yang ada sekarang memberikan liputan yang adil di antara pihak kerajaan dan pembangkang. Tetapi beliau sendiri tidak mahu melakukan perkara yang baik ini kerana pihak yang memerintah begitu banyak perkara yang hendak dilindungi dari pengetahuan rakyat. Apabila kita tuduh begitu Mahathir dan pimpinan yang ada sentiasa menafikan yang kerajaan tidak ada apa yang hendak diselindungkan.
Jika tidak ada apa yang hendak diselindungkan apa perlu takut dengan liputan diberikan kepada pihak pembangkang. Tetapi pimpinan BN akan berkata yang pembangkang akan membuat fitnah melalui media massa perdana itu. Jika benar pembangkang membuat fitnah bukan kah itu baik untuk BN kerana pembangkang melakukan fitnah itu melalui media massa perdana yang ditonton oleh semua rakyat. Apa yang kerajaan takut sangat?
Saya tidak menjangka yang BN yang berkuasa sekarang ini akan memberikan kelonggaran ini, tetapi insyaallah kebenaran akan timbul juga akhirnya. Malahan sekarang rakyat nampak pembohongan BN dan pemimpin-pemimpin mereka melalui media massa perdana itu dan itu sahajalah tempat pembangkang untuk berpaut. Pembangkang tahu dan berkeyakinan yang media massa perdana itu “bias”, justru apa pun yang dikatakan oleh mereka melalui media massa arus perdana itu sudah dianggap sebagai pembohongan oleh kebanyakkan rakyat.
Kepada Dr Mahathir, beliau tidak perlu khuatir akan datangnya cara Arab Spring untuk mengambilalih kuasa dari BN itu. Itu tidak mungkin terjadi di sini kerana rakyat mahukan pengambilalihan kuasa itu melalui pilihanraya yang adil dan saksama.
Jika Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh, beliau sepatutnya mendesak supaya kerajaan menerima dan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 3.0 yang lalu. Tetapi kita tahu mereka (BN) tidak akan memenuhi tuntutan-tuntutan itu. Sedangkan tanpa memenuhi tuntutan itu pun BN akan tewas apatah lagi jika mereka secara “gentleman” memenuhi tuntutan itu.
Apa yang dikatakan oleh Mahathir itu benar, tetapi beliau jugalah yang tidak akan bersetuju untuk melaksanakan pilihanraya secara bersih kerana sudah terlalu biasa mendapat kuasa melalui cara yang tidak bersih.
BN menganggap jika mereka boleh mendapat kuasa melalui cara kotor, apa perlunya mendapatkan secara bersih? Yang pentingnya mendapatkan kuasa dengan cara apa pun seperti yang dijanjikan oleh Najib beberapa bulan dahulu.
Hanya kali ini rakyat diharap mampu menilai pihak mana yang lebih baik. Bak kata perpatah, “hanya mutu mengenal manikam”, bukannya “Muthu mengenal Maniam”. — aspanaliasnet.blogspot.com