by Subyky Latif
The Malaysian Insider
Jun 26, 2012
26 JUN — Jika Umno ada kejayaan besar dalam perjuangannya setakat ini ialah ia dapat menenamkan persepsi di kalangan orang Melayu yang tebal Umnonya bahawa DAP anti Islam.
Inilah yang dijaja di merata-rata oleh agen Umno sebagai usahanya menyekat kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
Dan antara dalih orang Melayu tidak berapa mahu PAS menggantikan Umno ialah kerana PAS berkawan dengan DAP. Ada pun momokan DAP itu anti Melayu mulai reda kerana mulai ada benih Umno — dua bekas ADUNnya — menyertai DAP.
Maka yang rancak disabut dalam perjumpaan Umno ialah DAP anti Islam.
Saya tidak berhajat untuk membela DAP, tetapi saya hendak tanya, adakah DAP itu sebagai sebuah parti politik dalam masyarakat yang ramai penduduk Islam begitu bodoh untuk menampilkan politik anti Islam?
Sebagai parti politik ia bukan sekadar hendak melihat hasil dari perjuangannya betapa Malaysia jadi sebagai negara bersih dari rasuah, kerjaannya baik dan adil, rakyatnya rukun dan damai, tetapi ia juga bercita-cita menerajui negara atau sekurang-kurangnya parti pembangkang yang kuat dan disegani.
Bagi mencapai semua impiannya itu ia mesti mendapatkan sokongan rakyat dan majoriti rakyat Malaysia adalah orang Islam. Walaupun ada dalam sejarah kerajaan dapat ditegakkan melalui rampasan kuasa, tetapi amat sukar dilakukan di Malaysia, malah ia tidak lagi mudah bagi kebanyakan negara di dunia.
Dalam apa keadaan pun jalan terbuka bagi membentuk kerajaan ialah melalui pilihan raya. Demi menentukan DAP terus berperanan dalam politik di Malaysia baik menjadi pembangkang atau pun lebih dari itu ialah kekal sebagai parti politik yang demokrasi, dianggotai oleh rakyat berbagai kaum, agama dan kebudayaan.
Kerana ia adalah benih dari Singapura, maka di awal kemunculannya ia tidak menarik semua kaum kerana Umno berjaya melebelnya sebagai parti perkauman Cina, anti Melayu dan anti Islam.
Selain dari kepungan itu, ruang yang terbuka baginya ketika itu ialah sokongan dari masyarakat Cina. Lalu ia menumpukan semua usaha bagi mendapatkan sokongan orang Cina bagi menjadikannya pembangkang yang boleh mengosongkan sokongan kepada MCA.
Ia dapat dilakukannya. Maka sekarang ia tidak perlu lagi bercakap banyak tentang kemahuan orang Cina kerana mahu tak mahu kerajaan terpaksa ikut bagi mengelakkan semua Cina dan India lari daripada BN. Walaupun kerajaan cuba bagi apa yang Cina dan India mahu tetapi Cina tidak tertarik kepada BN kerana ia mengekalkan rasuah dan berbagai penyelewengan.
Saki dan daki perkauman yang masih ada dalam politik Malaysia DAP tahu ia tidak boleh bersendirian dan ia memerlukan sekutu Melayu dan Islam. Untuk sekurang-kurangnya 50 tahun lagi Melayu dan Islam menjadi kuasa penentu politik.
Yang terbaik bagi DAP dalam masa 50 akan datang ialah menjadi sekutu kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan orang Islam. Ia dapat sekutu yang baik itu iaitu PAS. DAP tahu PAS tidak sebodoh yang Umno sangka. Ia tahu PAS juga adalah sepintarnya. Maka bodohlah DAP jika ia kira PAS itu bodoh dan boleh diperbodohkan.
Jika DAP menjadi juara orang Cina saja, tidak mempedulikan keperluan orang Melayu, maka sukarlah hendak mengekalkan muafakat dengan PAS. Jika ia jadi anti Islam seperti yang ditunjukkan oleh politik Israel dan setengah negara Eropah, maka DAP akan kehilangan sekutu PASnya dan akan hilang langsung sokongan orang Islam.
Dengan ia bersekutu dengan PAS dan PKR, tinggal Melayu yang berkarat Umno saja mengatakan DAP parti perkauman Cina. Orang Melayu di luar Umno sudah menerima DAP badan politik yang rasional.
Dan rata-rata pemimpin muda DAP sekarang mengikuti perkembangan Islam dan mulai melihat Islam sebagai kebuyaan yang baik. Kerana ia adalah parti yang menganut faham sekularisma, maka tidaklah ia menganut aqidah Islam. Pegangannya itu samalah dengan MCA, MIC, Gerakan, malah tidak banyak bezanya dengan Umno dalam aspek syariyah.
PAS merasa munasabah sikap DAP itu. Kalau sama saja akidah DAP itu dengan PAS, maka tidaklah perlu kedua-duanya berada dalam parti yang berlainan.
Oleh itu DAP akan memastikan dan melakukan apa yang boleh menarik sokongan orang Islam. Orang Islam tidak akan tertarik kepada yang anti Islam, dan bodohlah DAP kalau ia mahu menjadi anti Islam sedang orang Islam sekarang mulai senang dengan penampilan DAP. Ia tidak akan rosakkan apa yang ia sudah capai.