Lim Kit Siang

Jangan tunjukkan sangat sikap ‘inferiority’ itu

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Jun 10, 2012

10 JUN — Sampai bila pemimpin-pemimpin kerajaan (BN) hendak berperang dengan rakyat? Perbalahan tentang isu PTPTN berlarutan sehinggakan TS Muhyiddin dan Menteri Pendidikan Tinggi telah bertindak untuk menjadikan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) mangsa pertembungan diantara kerajaan dan PR dengan melakukan tindakan yang paling bodoh (maaf kerana menggunakan istilah bodoh) yang dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin setinggi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan tinggi negara.

Kalau kita amati secara halus ramai pemimpin yang pandai-pandai telah menjadi bodoh apabila menjadi pemimpin Umno Baru. Terlalu jelas yang pimpinan tertinggi Umno Baru yang mengaku untuk mendahului rakyat tidak mampu untuk mempertahankan janji-janji untuk menjadi pemimpin yang ‘magnanimous’ sepenuhnya jika dimandatkan oleh rakyat lagi sekali.

Membekukan permohonan pelajar UNISEL untuk mendapatkan PTPTN ini menunjukkan yang pemimpin-pemimpin yang terlibat sesungguhnya tidak mempunyai daya kepimpinan yang sejajar dengan cita-cita untuk menjadi pemimpin negara yang berangan-angan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju. Kemajuan negara bermula dengan kemajuan cara berfikir dan tindakan yang setanding dengan pemikiran pemimpin negara maju yang demokratik.

Alih-alih hari ini keputusan untuk membekukan itu telah ditarik balik oleh kerajaan pusat setelah membekukannya selepas tiga empat hari selepas arahan pembekuan itu. Ini merupakan tindakan yang amat memalukan yang tidak terperi dan ramai tidak menyangkakan yang tindakan ini boleh diambil oleh pemimpin kerajaan yang beriya-iya untuk menandingi kewibawaan pimpinan Pakatan Rakyat.

Sikap pemimpin kerajaan persekutuan nampaknya lebih keanak-anakan.dan bagaimana rakyat hendak meletakkan kepercayaan kepada pimpinan seperti itu untuk mendapatkan jaminan yang generasi yang akan datang tidak ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang kurang kemampuan untuk berfikir.

Tindakan pembekuan itu diterima oleh kerajaan Selangor dengan tenang dan Menteri Besarnya telah mengambil tindakan untuk mencairkan eset UNISEL bagi penyelesaian hasil dari tindakan gila pemimpin persekutuan ini. Kerajaan Selangor pimpinan TS Khalid Ibrahim boleh menyelesaikan isu ini walaupun pemimpin persekutuan telah melakukan berbagai tekanan terhadap Selangor.

Apabila sudah menyedari kesilapan kerajaan persekutuan telah mendabik dada yang kononnya PR tidak mampu untuk memberikan pelajaran percuma seperti yang dijanjikan. Pimpinan mengambil isu pembekuan dan penarikan balik pembekuan itu sebagai permainan politik yang sangat rendah darjatnya. Mengakui menang yang disuarakan oleh Khaled Nordin merupakan satu kenyataan keanak-anakan.

Tiada siapa yang menang tetapi yang sudah pasti mampu menyelesaikannya ialah TS Khalid Ibrahim yang bersedia mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan isu pembekuan itu dengan mencairkan aset universiti itu untuk memberikan penyelesaian kepada pelajar-pelajar yang dianiayai oleh pimpinan persekutuan itu. Penarikan balik pembekuan itu merupakan satu tindakan ‘damage control’ bagi pimpinan persekutuan kerana mereka menyedari yang pembekuan PTPTN oleh pimpinan persekutuan itu akan dapat diatasi oleh kebijaksanaan pimpinan negeri Selangor.

Saya amat percaya TS Khalid mampu mengatasi isu itu dengan baik kerana saya tahu beliau boleh lakukannya. Inilah yang tidak mahu dilihat oleh pimpinan persekutuan. Lama juga saya berkhidmat dibawah TS Khalid ini dan saya amat berkeyakinan beliau akan buktikan kemampuan beliau mengatasi isu ini jika kerajaan persekutuan tidak menarik balik pembekuan itu.

Jika isu ini sudah selesai, pimpinan persekutan dari sekarang jangan menjadikan pelajar sebagai mangsa kepada politik ‘desperate’ mereka dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang ini. Apabila bertindak tanpa berfikir dan bercakap lebih pantas dari berfikir inilah jadinya.

Janji pemansuhan PTPTN atau pun pendidikan percuma itu merupakan usaha dan janji PR jika dapat dan berjaya menganjak pimpinan BN dari Putrajaya dan itu merupakan komitmen Pakatan Rakyat. Saya dan ramai lagi percaya yang PR mampu untuk menjadikan pendidikan itu tanggungan kerajaan jika mendapat kuasa.

Pimpinan BN pun percaya ia akan mampu dilakukan oleh PR jika PR berkuasa tetapi mereka (BN) juga tahu mereka (BN) tidak akan mampu untuk melakukannya. Inilah yang menjadikan pimpinan BN tidak senang duduk dan tidak nyenyak tidur kerana ketidakmampuan mereka untuk mengatasi komitmen Pakatan Rakyat itu.

Itulah sebabnya saya telah menulis dalam posting saya beberapa hari yang lepas yang pada hakikatnya BN lah yang sedang berusaha menandingi PR dan bukannya PR yang menandingi BN. Pimpinan BN tahu yang jika Pilihanraya diadakan besuk hari, PR lah yang akan mendapatkan mandat itu.

Maka itulah sebabnya pimpinan BN sedang berada di dalam keadaan ‘defensive’ kerana mereka juga sedar yang rakyat secara majoritinya sedang bersama PR. Hanya menunggu tarikh pilihanraya sahaja.

Isu pendidikan percuma merupakan isu yang mampu dilakukan oleh PR kerana jika negara Scandinavia boleh memberikan pendidikan percuma walaupun tidak mempunyai hasil minyak dan hasil mahsul seperti yang kita ada, kita tidak nampak kenapa isu ini tidak boleh dilakukan oleh PR.

Maka tindakan kerajaan persekutuan untuk menjadikan pelajar sebagai mangsa kerana ketakutan dan keresahan mereka yang takut dengan kehilangan kuasa itu merupakan satu tindakan yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran ramai orang.

Sememangnya seseorang yang sudah tidak tenang itu akan melakukan perkara-perkara yang tidak betul dan sentiasa ‘flip-flop’ dalam semua tindakan mereka. Hendak tidur tidak lena, hendak makan tidak lalu dan mandi pun tidak basah. Oleh itu segala tindakan mereka tidak berdasarkan kepada pemikiran yang stabil dan tenang.

Inilah bahayanya jika kita mandatkan pimpinan negara kepada pimpinan BN kerana pimpinan yang tidak berfikiran yang tenang akhirnya akan memudharatkan rakyat lebih-lebih lagi bagi generasi yang akan datang. Penyakit ‘inferiority complex’ pimpinan persekutuan ini kian jelas.

Rakyat Selangor mesti ingat itu. Jangan perjudikan nasib anak-anak kita dengan memberikan sokongan kepada pimpinan yang ‘perongos’ ini. — aspanaliasnet.blogspot.com