Di dalam bermusuh sesama sendiri

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 31, 2012

31 MEI — Umno bukan sahaja bermasalah untuk menentang parti-parti pembangkang, parti itu juga sedang berhadapan dengan masalah dalamannya. Masalah dalaman Umno bukannya kecil. Ia melibatkan pergerakan dalam yang dilakukan oleh sekumpulan pemimpin Umno yang veteran dan yang muda untuk menyusun kembali hiraki kepimpinan parti itu.

Dalam situasi menghadapi pilihan raya umum, Umno juga sedang membuat persediaan untuk mengadakan perhimpunan agong parti dan perhimpunan kali ini melibatkan pemilihan kepimpinan di setiap peringkat. Gerakan-gerakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti dalam isu pemilihan kali ini amat besar ertinya dalam menentukan masa depan setengah pemimpin tertinggi parti dan pemimpin muda yang tidak sabar untuk menongkah arus dengan cita-cita besar menjadi Pemegang tampok kuasa suatu hari nanti.

Sejak akhir-akhir ini perkembangan dalam Umno telah menampakkan bibit-bibit perpecahan kerana ada usaha untuk mengenepikan Muhyiddin agar kekosongan itu dapat diisi oleh pemimpin muda yang inginkan menjadi pelapis kepada Najib yang mereka jangka akan terpaksa mengakui yang beliau telah gagal dalam segala “avenue” untuk terus memegang tampuk pentadbiran negara dan akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Mengikut tradisi Umno Timbalan Presiden merupakan orang yang akan mengambil alih tampuk kuasa itu, tetapi sejarah negara kita ramai juga Timbalan Perdana Menteri yang tidak kesampaian hajat mereka untuk menjawat jawatan PM itu. PM di Malaysia boleh memasukkan orang lain dalam penjara dan juga berkuasa untuk mengelakkan diri sendiri dari dipenjara walaupun telah melakukan jenayah yang besar.

Najib khabarnya mahukan sepupunya yang “kureng” sedikit itu untuk mengambil alih kedudukan beliau jika beliau bersara. Maka Muhyiddinlah yang menjadi sasaran dalam senyap untuk mengambil giliran untuk diketepikan. Jika ini berjaya dilakukan maka dengan mudah boleh menyusun untuk meletakkan seorang calon Ketua Pemuda yang dikalahkan oleh Khairy untuk menyusul dari belakang untuk mengambil tempat Hishammuddin akhirnya.

Samada pemilihan parti atau PRU dahulu mempunyai impliksi besar terhadap parti. Jika pemilihan parti dilakukan dahulu maka muka-muka yang akan dicalonkan dalam PRU yang menyusul akan banyak berubah dari apa yang dijangkakan pada masa ini. Tetapi yang lebih munasabah ialah berlakunya PRU dahulu dan dalam persediaan untuk menyusun kembali hiraki parti selepas PRU itu maka masing-masing pemimpin tertinggi akan mengenengahkan calon-calon “winnable” masing-masing.

Apabila senarai calon-calon Umno diumumkan nanti maka bermulalah perpecahan yang besar kerana itu adalah budaya dan cara Umno pada masa kini. Keadaan dan situasi kelam kabut ini akan lebih serius lagi jika dibandingkan dengan pilihan raya yang lepas kerana kali ini ialah pilihan raya penentu nasib masa depan mereka yang sedang berusaha untuk menerajui parti sebagai jalan ke arah kuasa yang besar itu.

Tetapi ramai di kalangan pemimpin-pemimpin Umno juga merasakan apa-apa yang dirancang oleh setiap pemain politik besar dalam Umno itu akan gagal semuanya jika Umno kalah dalam pilihan raya yang akan datang ini. Seperti yang kita tersedia maklum rakyat pengundi sudah menunjukkan dengan jelas sikap mereka terhadap Umno sekarang ini. Ramai rakyat sudah tidak mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap parti itu kerana isu berat yang menggunung sedang dihadapi olah parti itu di hadapan pengadil yang mutlak dalam demokrasi iaitu rakyat jelata.

Sebesar mana pun jawatan parti yang dipegang oleh seseorang itu, ia tidak memberi apa-apa makna kepada mereka jika parti kecundang dalam pilihan raya umum yang akan datang. Kita semua tahu yang kebarangkalian Umno tewas dalam pilihan raya kali ini adalah besar, malahan ada pihak yang berkeyakinan yang Umno akan hanya memenangi kurang dari 60 kerusi dalam PRU ke13 ini. Sekarang Umno hanya mempunyai 69 kerusi di dewan Parlimen.

Tetapi yang pasti menjadi tanggungjawab moral sebagai pemimpin, ialah dengan meletakkan semua jawatan parti dan kerajaan jika Umno memenangi kurang dari 69 kerusi dalam pilihan raya yang akan datang ini.

Kalau diikutkan hukum akal, parti itu akan kecundang. Hukum Tuhan tiada siapa yang tahu. — aspanaliasnet.blogspot.com

CategoriesUncategorized

2 Replies to “Di dalam bermusuh sesama sendiri”

  1. Kalau diikutkan hukum akal, parti itu akan kecundang. Hukum Tuhan tiada siapa yang tahu. — aspanalias

    Oleh sebab itu kita semua rakyat mesti pakai akal dan bertekad sama sekali as one true Malaysian untuk hukum parti yang sudah tidak berjiwa bangsa dan negara,iaitu Umno/BN.Buang yang keruh ambil yang jernih.Umno’s life expiry life sudah busuk macam bangkai biawak!Tiau them out coming election.Sooner the better.

Leave a Reply