— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 28, 2012
28 MEI — Betulkah pandangan Dr Mahathir jika PR kalah dalam pilihanraya nanti negara akan huru-hara? Satu lagi yang menjadi persoalan ialah kata-kata Mahathir yang jika Umno kalah dan ditewaskan Melayu akan hilang kuasa politiknya? Kenapa Mahathir alih-alih terlalu sayang kepada Umno pula? Kenapa Mahathir alih-alih dan tidak semena-mena terlalu sayang kepada orang Melayu yang selama ini beliau pandang rendah? Persoalan-persoalan yang saya ajukan ini jangan di salah fahamkan.
Saya bertanya perkara ini, kerana orang Melayu telah hilang identiti asalnya oleh kerana Mahathir. Apabila Mahathir kembali bercakap pasal masa depan orang Melayu dan tentang ketakutannya kepada huru hara negara ini, ia amat bertentangan dengan apa yang beliau lakukan selama ini, terutamanya semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dahulu. Segala yang beliau lakukan semasa sedang seronok berkuasa dahululah yang menjadi penyebab berlakunya apa yang berlaku pada hari ini.
Saya mempunyai keyakinan tinggi yang Mahathir sedang begitu panik dengan pergerakan perubahan yang sedang berlaku dalam minda rakyat termasuk minda orang Melayu. Yang pastinya Mahathir tidak mahu seboleh-bolehnya melihat Umno ciptaan beliau kecundang dihadapan mata beliau semasa beliau masih hidup ini. Kalau di nilai dari sudut mana pun, mahu tidak mahu Mahathir merupakan orang yang “accountable” terhadap kekeruhan politik negara kini.
Kecelaruan politik negara tidak akan menjadi begini buruk dalam sekelip mata dan tidak adil jika Mahathir dan konco-konconya meletakkan semua kesalahan kepada kelemahan Abdullah Ahmad Badawi sahaja. Malahan naiknya Abdullah Ahmad Badawi itu adalah kerana kesalahan Mahathir sendiri kerana Mahathir sememangnya mahukan Abdullah menjadi PM kerana beliau menyangkakan Abdullah boleh beliau pengaruhi dalam pentadbirannya. Continue reading “Mahathir jangan dijadikan contoh dan ikutan”