Besok perayaan ulang tahun Umno, walaupun Umno itu sudah tiada

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 10, 2012

10 MEI — Dengar khabarnya Umno akan “celebrate” ulang tahun yang ke 66 besok dengan perhimpunan ahli parti yang besar-besaran. Katanya Umno berumur 66 tahun besok, 11hb Mei. Upacara sambutan besaran-besaran ini akan menjadi seperti pelancaran untuk menghadapi pilihanraya yang bakal diadakan sekejap sahaja lagi.

Saya lebih tertarik jika Umno hanya mengadakan doa selamat besar-besaran untuk Umno yang telah mati itu bukannya merayakan hari lahirnya. Parti itu telah mati dan semua orang tahu siapa yang merancang kematiannya dan kenapa kematian Umno itu amat perlu bagi seorang pemimpin pada tahun 1988 dahulu. Tidak payah diulangi lagi kerana blog inilah yang telah mengulangi kejadian itu berpuluh-puluh kali sebelum ini. Umno sekarang sepatutnya merayakan ulang tahun yang ke 24 sahaja kerana itulah umur sebenar parti Umno yang sekarang ini.

Sepatutnya ulang tahunnya dirayakan pada bulan Februari yang lepas. Tetapi Umno terpaksa mengambil dan menukar tarikh lahirnya ke11 Mei kerana itulah tarikh lahir Umno yang sebenarnya. Saya dan siapa pun tahu kenapa Umno memilih 11 Mei itu sebagai hari ulang tahun parti itu. Sebabnya senang; kerana Umno asal itu merupakan parti tulin perjuangan untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Umno baru ini ingin menumpang “kekeramatan” Umno lama itu maka ia memilih untuk menggunakan tarikh kelahiran parti yang telah mati dibunuh pada tahun 1988 dahulu sebagai tarikh ulang tahun parti yang baru berumur 24 tahun itu.

Perkara seperti ini memang biasa berlaku dinegara ini. Kalau kita ingat suatu ketika dahulu Keretapi Tanah Melayu telah kerugian puluhan juta ringgit kerana ramai pekerja perbadanan itu yang telah mati masih mendapat pencen mereka yang di terima oleh pihak lain secara haram. Walaupun pekerjanya sudah lama mati tetapi ada pihak yang membuat tuntutan pencen tersebut secara haram dengan tidak mengisytiharkan kematian mereka. Pencen mereka sebaliknya diterima oleh keluarga dan sahabat mereka yang menggunakan tanda tangan palsu untuk mendapatkan wang pencen simati itu. Kejadian ini merupakan satu penipuan besar.

Berbalik kepada perayaan ulang tahun Umno yang 66 tadi, saya berpendapat kita biarkan sahaja mereka (Umno) melakunkan tipu helah moral itu. Umno memerlukan sangat nama baik Umno asal itu untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Tetapi seperkara yang kita mesti terima ialah rungutan orang seperti saya dan ramai yang lain itu memang mempunyai asas yang kuat. Kalaulah pandangan kumpulan seperti saya ini salah, masakan Umno beriya-iya benar untuk mengambil tarikh kelahiran Umno asal itu sebagai tarikh ulang tahun parti itu sekarang sedangkan parti Umno sekarang hanya berusia 24 tahun, lebih muda dari umur anak bongsu saya. Ramai yang mengkritik saya kerana masih bercakap tentang Umno lama itu. Tetapi mereka tidak sedar yang mereka sendiri (Umno) sedang berbelanja jutaan ringgit untuk memperingati Umno lama itu dengan mengadakan majlis besar-besaran.

Besok kita akan mendengar retorik Umno asal yang akan dibuat oleh pemimpin Umno baru ini. Besok kita, ibarat mendengar lagu P. Ramlee yang enak-enak oleh Musli Ramli. Tetapi Musli bukannya P. Ramlee. Musli hanya seorang penyanyi yang pandai menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee yang telah meninggal pada tahun 1973 dahulu. Dan Musli pun boleh cari makan dengan kepandaiannya menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee dengan baik seperti pemimpin Umno baru menggunakan nama asal Umno itu untuk mencari makan melalui FGVH, Scorpene, MAS, AirAsia dan banyak lagi yang mereka telah selewengkan itu.

Oh ya, mereka yang telah membunuh Umno dulu pun akan bersama-sama merayakan ulang tahun Umno yang telah dibunuh itu besok. — aspanaliasnet.blogspot.com

Leave a Reply