Lim Kit Siang

Rally Bersih itu haram, kata Majlis Fatwa?

Oleh Aspan Alias | May 08, 2012
The Malaysian Insider

8 MEI — Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuarat kali ke-99 telah membuat keputusan bahawa rally Bersih dan demonstrasi itu adalah haram. Fatwa ini memang satu fatwa politik kerana hakikatnya pihak polislah yang merancang kekecohan dalam rally Bersih baru-baru ini. Bagi saya, saya rela dicemuh dan dikata oleh sesiapa pun, tetapi ini merupakan fatwa yang sangat mengejutkan.

Majlis Fatwa sepatutnya mengambil isu-isu yang banyak berlaku di keliling kita yang sangat bertentangan dengan kehendak hukum dan syariat agama suci kita. Saya bukan orang pandai agama tetapi untuk menentukan yang fatwa ini adalah fatwa politik tidak payah menjadi seorang ulamak kerana ianya adalah fatwa politik.

Jika benar Majlis Fatwa ini mempunyai kredibiliti elok kita cadangkan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan ini mengeluarkan fatwa tentang isu NFC misalnya. Ini merupakan isu salah guna kuasa yang dilakukan oleh pihak pemerintah dan jumlah yang terlibat bukannya sedikit.

Majlis Fatwa juga sepatutnya memberikan fatwa tentang kehadiran ratusan ribu pengundi yang di kalangan pendatang asing tercatit dalam daftar pengundi di Selangor misalnya. Kerja memasukkan nama-nama pengundi yang tidak layak mengundi itu merupakan satu penipuan dan itu adalah salah dari segi agama kita yang suci. Saya tidak tahu mengapa Majlis Fatwa tidak mahu mengeluarkan fatwa tentang isu ini jika benar-benar mahu terlibat dalam politik negara.

Mencuri wang rakyat yang telah sampai ketahap trillion-trillion ini juga wajar diketengahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan BN yang begitu ketara juga wajar dikeluarkan fatwa yang kukuh dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Oleh kerana Majlis Fatwa mahu bertanggungjawab maka Majlis Fatwa harus menerima “accountability” terhadap isu rasuah secara besar-besaran yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar kita.

Majlis Fatwa sepatutnya tidak selektif dalam memberi fatwa, lebih-lebih lagi dalam isu politik dan kenegaraan. Majlis Fatwa sepatutnya memerhati dan mengetengahkan isu-isu yang kotor dari segi Islam yang berlaku di hadapan mata dan kepala kita sendiri. Majlis Fatwa tidak sepatutnya menjadi alat kepada mereka yang “desperate” dan terdesak kerana ia akan memudaratkan rakyat negara ini.

Saya tidak sangka yang mengadakan rally untuk memberhentikan penipuan oleh suruhanjaya pilihanraya itu adalah salah. Yang saya tahu jika kita biarkan penipuan dilakukan secara terbuka oleh SPR itu bagaimana pula tanggungjawab sebagai seorang Islam yang membiarkan penipuan itu berterusan?

Adakah Majlis Fatwa mengharapkan kita untuk menadah tangan dan berdoa sahaja tanpa sesuatu usaha dilakukan untuk memberhentikan penipuan itu? Jika senarai pengundi itu merupakan senarai yang telah dilacurkan, apa pula pandangan Majlis Fatwa terhadap isu ini? Adakah Majlis Fatwa memfatwakan yang itu adalah halal dan boleh dilakukan dan kita semua membiarkan sahaja perkara terkutuk itu dilakukan?

Kenapa Majlis Fatwa memberikan kelonggaran kepada sebelah pihak untuk melakukan sesuatu yang jahat dan memberikan fatwa yang mengharamkan sesiapa yang mahukan kejahatan itu dihentikan.

Kita tidak boleh membiarkan apa yang dilakukan oleh SPR ini berterusan. Kita abaikan sahaja fatwa yang berat sebelah itu. Sebagai seorang Islam, pandai-pandailah kita untuk menilai yang mana satu yang jujur dan yang mana pihak yang menjadi alat kepada kepentingan yang rakus kuasa.

Oleh kerana pilihanraya sudah hampir bermacam-macam karenah setengah pihak yang tidak semenggah, termasuklah Majlis Fatwa. Memang sahlah kita hidup di akhir zaman. Yang baik dikatakan salah dan yang buruk dikatakan benar dan dilindungi dengan menggunakan agama.

Saya kira rakyat sepatutnya memanggil ribuan sadiqiah Islam dari seluruh negara untuk membuat ketetapan dalam isu ini untuk mendapatkan fatwa yang sebenar-benarnya mempunyai kredibiliti yang tinggi yang tidak menokok dan menambah hukum Tuhan yang sudah tersedia lengkap itu. Saya tahu dan ramai yang tahu, fatwa ini keluar kerana takutkan Bersih 4.0 yang akan mengeluarkan 1 juta rakyat kali ini.

Pandangan saya mungkin mendapat reaksi keras dari sesetengah pihak, tetapi biarlah kita berjumpa di Yaumil Mahsya sahaja untuk penentuannya.

Sekian. — aspanaliasnet.blogspot.com