Lim Kit Siang

Perkasa masih bermain dengan api perkauman dan agama

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Apr 08, 2012

8 APRIL — Seruan pemuda Perkasa supaya orang Islam tidak bersama didalam rally Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April nanti menjelaskan lagi betapa jumudnya pandangan Ketua Wira Perkasa itu.

Semasa rakyat berbilang kaum sedang bertungkus lumus mencari penyelesaian terhadap penyelewengan dan pencemaran demokrasi ini ada pula pihak yang hendak menyelitkan kepentingan sempit pertubuhan itu dan berniat untuk menggagalkan usaha dan niat rakyat untuk memperbetulkan kepincangan yang dilakukan oleh institusi demokrasi negara ini.

Kenapa pula orang Islam tidak boleh menyertai rally tersebut. Apa yang “un-Islamic” nya rally itu sehinggakan orang Islam diseru untuk tidak menyertai rally yang berkepentingan untuk demokrasi dinegara ini? Saya tidak mahu berbahas tentang agama kerana saya tidak berpengetahuan agama yang lengkap. Tetapi apa yang saya fahami Islam memang menuntut umatnya untuk menolak kemungkaran politik dan ekonomi dan memperjuangkan kebenaran.

Wira Perkasa meminta supaya Pak Samad (A. Samad Said) tidak bersekongkol dengan Ambiga Sreenevasan dalam rally Bersih 3.0 kerana kumpulan 84 NGO itu adalah semata-mata memperjuangkan perjuangan peribadi Ambiga dan kerja itu adalah kerja anti Islam.

Sebagai seorang ahli Perkasa saya tidak nampak niat permuda Perkasa membuat kenyataan itu selain dari berniat jahat untuk memecahkan kesatuan rakyat yang mahukan “transparency” di dalam sistem pilihanraya negara ini.

Bagi Umno (sokongan Perkasa) mengelirukan rakyat merupakan satu-satunya cara untuk membunuh semangat rakyat yang inginkan sebuah negara demokrasi yang tulin. Mewujudkan kekeliruan ini adalah untuk kepentingan pihak yang gilakan kuasa dan amat takut jika kuasa itu terlepas dari genggaman mereka.

Matlamat kenyataan ini tidak kurang dan tidak lebih untuk memecahkan gerakan yang besar yang inginkan perubahan dan transformasi didalam sistem pilihanraya negara ini. Apabila semua sistem termasuk sistem pilihanraya itu baik dan transperan ia merbahayakan pihak yang sedang asyik dengan kuasa sekarang ini. Apa yang dikecewakan oleh pihak parti pemerintah hari ini, ialah mereka tidak lagi mudah untuk menipu dan mengelirukan rakyat seperti mana yang mereka lakukan selama ini untuk berkuasa.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Samad Said himpunan Bersih3.0 ini tidak kena mengena dengan akidah Islam serta agama-agama lain. Islam itu satu agama universal dan apa-apa tindakan untuk memperbaiki keadaan yang tidak baik itu merupakan tuntutan agama kita dan juga agama-agama yang lain.

Kita amat sedih dengan interpritasi agama yang dibuat oleh pemuda Perkasa dan ini amat membingungkan banyak pihak. Banyak pihak merasa kebingungan kerana terkejut dengan tahap pemikiran pertubuhan yang kononnya memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu itu.

Bagi saya tindakan Bersih 3.0 ini merupakan tindakan bukan sahaja oleh tuntutan demokrasi tetapi lebih lagi kerana ia adalah tuntutan agama kita jua. Agama Islam menentang penipuan dan jika ada pihak yang tidak suka dan bersetuju orang Islam membuat tuntutan yang amat penting ini ia merupakan tindakan anti Islam yang nyata.

Ini bukan isu Ambiga, tetapi ia merupakan isu sejagat dan isu yang memihak kepada kepentingan umat khususnya bagi rakyat Malaysia. Rakyat selama ini ditekan dengan hebat oleh pihak yang tidak mahu terpisah dengan kuasa walaupun merekalah yang telah menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Kerana takutkan reaksi rakyat kerana kemungkaran mereka, maka pihak yang gila kuasa ini melacurkan institusi-institusi demokrasi dengan berbagai-bagai cara yang hina dan tidak bertamaddun itu.

Saya berpendapat setiap orang yang mahukan kebenaran politik dinihari, mereka tidak sepatutnya merasa terhalang untuk menyertai himpunan Bersih 3.0 ini dan lakukan dengan baik dan tidak melanggar undang-undang seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

Pihak berkuasa terutamanya pihak Polis tidak sepatutnya menghalang penunjuk perasaan secara aman ini kerana itu adalah hak mereka. Negara ini mereka yang punya dan kuasa untuk menentukan masa depan negara juga adalah hak kita semua termasuk mereka yang menyokong Bersih 3.0 ini. Sebaliknya polis wajar memberikan kerjasama dengan penunjuk perasaan ini dengan memudahkan laluan mereka ke Dataran Merdeka untuk melakukan protes “duduk” di sana.

Mereka bukannya pergi ke Dataran Merdeka itu untuk melakukan keganasan. Mereka pergi untuk duduk menzahirkan perasaan tidak puas hati mereka kerana sikap tidak telus mereka yang berkuasa ini.

Kita ketepikan sahaja pandangan Perkasa ini kerana jika tuduhan mereka yang Ambiga mempunyai agenda peribadi, percayalah Perkasa juga merupakan pertubuhan yang memperjuangkan agenda seorang dua pemimpin mereka yang amat jelas dan mudah difahami oleh banyak pihak. — aspanaliasnet.blogspot.com