Ahli bawahan ibarat garam bagi pemimpin Umno

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Mar 29, 2012

29 MAC — Akhir-akhir ini saya telah dihubungi oleh ramai di antara rakan-rakan saya untuk berjumpa minum petang dan makan malam. Mereka ini adalah di antara ahli-ahli Umno yang memberikan saya semangat dan sokongan moral untuk saya kembali bergiat, kali ini dalam DAP.

Sesungguhnya saya mempunyai ramai rakan-rakan di dalam Umno yang akhir-akhir ini selalu berhubung dan berbincang tentang politik setakat “level” kita yang rendah-rendah ini.

Kesemua diantara mereka terus menerus meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap Umno yang kian merosot imejnya dikalangan rakyat. Kata mereka kali ini Umno akan berhadapan tentangan hebat dari pembangkang dan juga sibuk menyelesaikan masalah dalaman yang mereka sedang hadapi terutamanya semasa PRU nanti. Semuanya hendak menjadi calon dan semuanya merasakan mereka adalah calon “winnable” untuk Umno dan Barisan Nasional.

“Bro, kami ni gunanya hanya semasa pilihanraya sahaja. Lepas tu kita tidak ada guna dah. Mereka akan sapu semua yang ada dan peranan kita hanyalah untuk melihat dan memberikan sokongan bila mereka menghadapi masalah sahaja,” kata salah seorang yang bercakap dengan saya itu.

“Lepas ini kita tidak ada lagi peranan” katanya lagi.

Saya memberikan respon terhadap kata-kata ini. Saya menyatakan kepada mereka itulah yang saya marah dengan Umno. Pemimpin Umno memandang rendah kepada rakyat dan ahli-ahlinya sendiri.

Pemimpin-pemimpin besar Umno hanya menganggap ahli-ahli Umno di bawah ini seperti garam untuk masakan hidangan enak-enak mereka sahaja. Mereka tahu garam itu amat penting dalam sesuatu masakan untuk mengenakan masakan yang mereka akan baham itu.

Kita tahu garam itu penting tetapi pentingnya garam itu ada hadnya. Selalunya garam ini hanya digunakan dengan jumlah yang kecil. Ia hanya digunakan sedikit sahaja untuk masakan itu. Garam hanya digunakan setakat sesedap rasa sahaja. Mereka tidak akan menggunakan garam lebih dari setakat sesedap rasa, kerana jika garam digunakan berlebihan masakan itu akan menjadi masin dan tidak enak rasanya lagi.

Pemimpin-pemimpin Umno hanya menggunakan ahli-ahlinya hanya untuk pilihanraya dan mereka akan dibiarkan melata selepas itu. Mereka tidak akan diperlukan lagi apabila mereka sudah memberikan jasa dan bakti dalam sesuatu pilihanraya itu.

Ahli-ahli di bawah ini hanyalah garam kepada Umno. Ahli-ahli hanya dipergunakan untuk menyedapkan apa yang mereka makan. Apabila sudah digunakan garam ini, bekas garam itu akan diletakkan di tempat yang tidak sebaik ikan dan sayuran yang diletakkan didalam peti sejuk yang nyaman.

Jadi ahli-ahli Umno sekarang sudah mulai sedar yang mereka hanyalah “standard” garam sahaja kepada partinya. Garam merupakan satu “ingredient” yang paling murah sekali didalam sesuatu masakan itu.

Setakat itu sahajalah nilai ahli-ahli Umno kepada pemimpin-pemimpinnya. Tetapi garam-garam inilah yang selama ini menjadi penyedap kepada pemimpin yang makan sedap-sedap itu. Kalau tidak ada garam-garam ini didalam Umno, nanti mereka tidak akan merasakan makan yang sedap lagi.

Membasuh sayur-sayur yang ada “chemical” juga selalunya menggunakan air garam untuk mempastikan sayur-sayur itu suci dari kandungan “chemical” yang digunakan oleh penanam sayur itu. Apabila sayur-sayur sudah bersih dari kotoran itu, air garam akan dibuang sahaja dan mengalir ke longkang-longkang bersama-sama dengan air kumbahan yang lain-lain itu.

Itu sahajalah gunanya ahli-ahli Umno dan itu pun anggapan dan penilaian pemimpin-pemimpin besar terhadap mereka.

Patutlah Dr Mahathir Mohamada menganggap Umno ini di penuhi oleh orang-orang yang tidak berkelayakan (tidak professional). Kalau mereka (ahli-ahli Umno) itu professional masakan mereka hanya dianggap sebagai garam sahaja? — aspanaliasnet.blogspot.com

3 Replies to “Ahli bawahan ibarat garam bagi pemimpin Umno”

  1. Amboi kesiannya ahli-ahli garam Umno ni.Jauh lebih teruk layanan yang diterima kalau dibanding dengan orang gaji murah dari jiran kita.Dah lah,usah lagi jadi masakan garam untuk memenuhi perut buncit Umno.Biar mereka hilang selera tanpa garam dan kaput terus dari kelaparan.ABU!

Leave a Reply