— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Feb 19, 2012
19 FEB — Perdebatan diantara Lim Guan Eng (LGE) dan Chua Soi Lek (CSL) semalam menampakkan sikap dan pandangan MCA dan Presidennya yang ‘flip-flop’. Pandangan Soi Lek jelas menunjukkan lidah bercabang-cabang diantara parti terbesar dalam BN, Umno dan MCA. Saya tidak tahu mengapa CSL memberanikan diri untuk berdebat dengan topik sistem dua parti atau sistem dua bangsa dengan Setiausaha Agong DAP itu. Dari awal lagi saya telah menelah yang MCA akan gagal untuk meyakinkan orang ramai yang parti itu adalah sebuah parti yang hampir hilang seluruh kerdibilitinya dimata rakyat ramai.
Kita boleh mempelajari beberapa perkara dalam perbahasan ini. Pertamanya ia menunjukkan yang MCA lah yang anti Islam dengan menjadikan perhubungan baik di antara PAS dan DAP sebagai isu besar dalam perdebatan itu. Bagi MCA, PAS itu adalah parti Islam dan kerjasama DAP dengan PAS itu hanya akan menjadikan DAP sebagai keldai politik PAS untuk kepentingan PAS dan Islamnya.
Dengan kenyataan CSL itu maka hilanglah isu DAP anti Melayu dan Islam itu kerana MCA menganggapnya sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bagi MCA ia mahukan DAP menolak PAS kerana PAS adalah parti Islam yang didominasi oleh orang Melayu Islam. MCA tidak selesa melihat kerjasama DAP dengan parti Islam ini dan ia menunjukkan yang anti Melayu dan anti Islam itu adalah MCA. MCA masih tidak menyedari yang isu rasis dan agama ini adalah isu yang tidak lagi laku kepada generasi sekarang ini.
Umno pula selalu menyatakan tentang isu ini bertentangan dengan pandangan MCA. Oleh kerana permainan politik yang dianggap tidak bijak Umno sebaliknya menuduh PAS diperguna oleh DAP pula. Ini menunjukkan yang parti-parti komponen dalam BN masih mahukan cara mengekalkan kuasa dengan memecah belahkan kerjasama yang terjalin diantara parti-parti dalam pakatan itu.
CSL menggunakan isu kerajaan Perak yang diketuai oleh seorang pemimpin PAS (Nizar) walaupun DAP telah memenangi 18 kerusi dalam pilihanraya yang lalu, sedangkan PAS dan PKR hanya memenangi 13 kerusi. CSL telah cuba membuktikan tuduhan beliau yang DAP diperguna oleh PAS sehinggakan calon PAS telah menjadi Menteri Besar Perak sedangkan majoriti kemenagan itu adalah dari pihak DAP. CSL lupa yang Umno mempunyai majoriti kerusi di Pulau Pinang semasa BN mentadbir negeri itu sedangkan Ketua Menterinya di wakili oleh parti Gerakan.
Dalam kes di Perak CSL mesti faham yang jawatan Menteri Besar mesti seorang Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang tubuh negeri itu maka itulah sebabnya Nizar Jamaludin telah dilantik menjadi Menteri Besar negeri itu sehinggalah BN melakukan rampasan kuasa mengikut pintu belakang dua tahun dahulu.
Dalam kes di Perak itu ia dapat membuktikan yang DAP menjunjung perlembagaan negara dan negeri dan sanggup merelakan seorang Melayu menjadi Menteri Besar walau pun parti itu memenangi kerusi yang lebih dari parti-parti lain dalam komponen PR itu. Oleh kerana itu Umno, BN dan orang Melayu keseluruhannya tidak ada sebab untuk merasa sangsi untuk memberikan sokongan kepada DAP dari sekarang ini.
Sesungguhnya tuduhan MCA dan Umno terhadap DAP yang bersalah-salahan itu hanya menunjukkan ketakutan MCA terhadap sokongan rakyat berbilang kaum terhadap DAP sekarang ini. Dengan kata-kata CSL semalam ia membuktikan yang MCA sudah terasa ‘desperate’ untuk mendapatkan sokongan rakyat terutamanya kaum Cina kepada parti itu walaupun CSL memainkan isu rasis yang begitu menebal dalam perbahasan itu. BN tidak dapat memberikan pendapat dan pandangan yang sama terhadap DAP; Umno menuduh DAP rasis dengan mengatakan parti itu memperkudakan PAS dan sebaliknya MCA pula menuduh DAP diperkudakan oleh PAS.
Parti-parti dalam BN begitu gelisah dengan sikap parti-parti dalam PR mampu untuk bertoleransi diantara satu dengan lain didalam gabungannya. Kesemua parti dalam PR adalah parti ‘multiracial’ yang menjadi cara yang terbaik untuk negara dalam zaman sekarang ini. MCA dan Umno amat resah jika politik rasis ditolak rakyat kerana dengan penolakkan isu-isu rasis ini ia akan menghilangkan ‘comfort zone’ BN yang selama ini kekal di atas isu perkauman yang menebal. Lagi berpecah rakyat dengan isu perkauman lagi mudah untuk BN mengekalkan kuasa.
Rakyat sudah mula merasakan nikmat hidup bertoleransi diantara rakyat yang berbilang kaum dan agama. Rakyat tidak mahu lagi diperkotak katikkan oleh politik yang berbau perkauman kerana mereka sedar yang akan menerima kebahgiaan atau celaka didalam hidup adalah mereka sendiri (rakyat) bukannya pemimpin-pemimpin yang sudah kaya raya seperti Qarun di zaman Firaun dahulu.
Jika kita dengar pandangan sempit dan chauvinis MCA ini kita akan kerugian terus terusan. Sikap bermuka-muka MCA sangat jelas kerana suatu masa yang tidak berapa lama dahulu MCA telah mengingatkan PAS yang DAP menentang hukum hudud dan PAS perlu berwaspada terhadap DAP. Tetapi semalam MCA telah menakutkan orang Cina supaya tidak menyokong DAP kerana PAS akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan Kedah. Entah mana satu sikap sebenar MCA dan CSL. Sekejap begini sekejap begitu. Mungkin kita patut meminta CSL membuka mulutnya lebar-lebar bagi kita melihat apakah jenis lidah yang ada didalam mulutnya itu dan berapa cabang lidahnya.
Bagi DAP, parti ini sedang mendapat sokongan semua pihak setelah puluhan tahun bersusah payah berjuang dengan tohmahan dan momokan parti-parti yang berkuasa. DAP sangat ditakuti oleh banyak pihak kerana parti itu sedang menjadi parti yang sedang meningkat kepopularitinya di kalangan semua pihak. Adalah amat tidak bermoral bagi mana-mana pihak yang menganggap DAP sebagai chauvinis kerana yang chauvinis sebenarnya ialah BN; Umno dengan chauvinis Melayunya dan MCA dengan chauvinis cinanya.
Isu rasis tidak lagi mendapat tempat dihati rakyat yang ramai. MCA tidak akan berjaya untuk melabelkan DAP sebagai parti chauvinis kerana DAP sekarang sudah mula mendapat kepercayaan rakyat berbilang kaum. Dengan kemasukan ramai orang-orang Melayu didalamnya, ia amat menggerunkan MCA dan parti-parti dalam komponen BN. MCA tidak boleh disertai oleh orang Melayu kerana parti itu hanya untuk orang Cina. Itulah sebabnya MCA sedang berusaha keras untuk mendapat sokongan orang Cina yang rata-rata memberikan sokongan bukan sahaja kepada DAP, tetapi juga kepada PAS.
Jika rakyat menolak isu rasis untuk hidup aman dan damai dinegara kita ini maka semua parti-parti rasis dalam BN akan mati tegak dan tidak menjadi relevan lagi dalam jangka masa yang singkat ini.
Apa yang perlu dilakukan oleh DAP ialah untuk meneruskan pentadbiran kerajaan bersama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat secara adil dan berjuang habis-habisan untuk mengecilkan atau menghapuskan ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran BN selama ini.
Walaupun ia memakan sedikit masa untuk memberikan bukti tentang ketelusan pantadbiran PR, ia akhirnya akan disedari oleh rakyat jelata, empunya negara yang kita semua cintai ini. Tiada siapa yang bertanggungjawab kepada negara kita selain dari kita rakyat yang ramai ini. — aspanaliasnet.blogspot.com