Lim Kit Siang

Kalau Malaysia jadi seperti Singapura, apa yang Ezam takutkan?

By Aspan Alias | December 13, 2011
The Malaysian Insider

13 DIS — Senator Ezam Mohd Nor berkata kalau PR memerintah PR akan dipengaruhi DAP dan Malaysia akan menjadi seperti Singapura. Apa maksud beliau susah hendak difahami dan itu tidak menjadi hal, kerana Umno memangnya sebuah parti yang pemimpin-pemimpinnya selalu bercakap yang susah hendak difahami oleh orang ramai. Apa yang tidak eloknya di Singapura itu mungkin Ezam sahaja yang tahu.

Apa yang Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura? Adakah Ezam takut Malaysia tidak lagi kaya rasuah seperti di Singapura? Adakah Ezam takut Malaysia akan menjadi negara maju jika negara ini menjadi seperti Singapura? Adakah Ezam takut jika Malaysia menjadi negara yang mempunyai kepimpinan yang beretika dan pemimpin-pemimpinnya tidak berlumba-lumba untuk menakluki segala harta kekayaan negara?

Atau mungkin kah Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura pemimpin-pemimpinnya terpaksa menjadi pemimpin-pemimpin yang berdisiplin dan penuh dengan etika kerja yang tinggi? Elok bertanya kepada Ezam, adakah beliau akan merasa kerugian jika tidak ada lagi pemimpin-pemimpin kerajaan yang menggunakan pengaruh dan kuasa untuk mendapatkan pinjaman kerajaan dalam jumlah ratusan juta ringgit?

Wang yang sepatutnya digunakan untuk membiayai perniagaan lembu itu digunakan untuk membeli kondominium dan Mercedez walaupun pengerusi syarikat itu mengakui yang perniagaannya belum berjalan lancar. Kalau Malaysia menjadi seperti Singapura ini kah yang amat ditakuti oleh Ezam?

Adakah Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura PMnya tidak boleh lagi menggunakan wang berbillion ringgit untuk menyelamatkan anaknya yang kerugian besar dalam perniagaannya?

Kenapa Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura kerajaannya tidak mengamalkan rasuah? Atau Ezam takut Malaysia akan menjadi financial hub jika negara ini menjadi seperti Singapura? Atau Ezam takut jika tidak ada lagi pegawai penguat kuasa rasuah dari MACC tidak lagi tertangkap merompak penggurup wang di KLIA?

Jika Malaysia menjadi seperti Singapura ramai berkeyakinan yang tidak akan berlaku ibu segala rasuah seperti isu PKFZ yang melibatkan jumlah wang rakyat yang berbelas billion ringgit yang mengaitkan pemimpin Umno Selangor dan ahli jemaah kabinet Persekutuan dari MCA dan Umno? Adakah ini yang Ezam takutkan?

Saya rasakan jika Malaysia jadi seperti Singapura tidak akan terjadi seorang setiausaha politik menteri ditangkap dengan wang tunai RM2 juta di pangsapurinya di P. Pinang. Ezam takut jika perkara seperti ini tidak berulang lagi?

Apa lagi Ezam. Apa yang saudara takutkan? Cuba cerita sikit. Orang ramai di negara ini semuanya bodoh. Dah saudara yang pandai boleh tolong beri sedikit jawapan? — aspanaliasnet.blogspot.com