— by Mohd Asri Zainul Abidin
The Malaysian Insider
Nov 25, 2011
25 NOV — Awal bulan November ini saya hadiri seminar di The Middle East Centre, Oxford bertajuk “The Sacking of Syria: Assad as Hulego”. Pembentangnya Rana Kabbani, seorang penulis dan penyiar Syria. Saya kagum dengan keberanian wanita ini. Mungkin jika di Malaysia ada pihak yang tidak mahu hadiri ucapannya sebab beliau “free hair” dan agak bergaya. Letak itu di sebelah dahulu, saya kagum dengan semangatnya mengkritik regim-regim Arab. “A very inspiring speech.”
Saya tertarik apabila salah seorang British bertanya beliau bahawa tidakkah nanti selepas kejatuhan Assad akan menyebabkan golongan “extremist” yang memperjuangkan “Islam state” akan mengambil alih. Beliau dengan bersemangatnya bertanya balas “kenapa awak kata demikian? Apakah kerana awak mendengar mereka melaungkan ‘Allahu Akbar’?!”
Seterusnya beliau berkata bahawa mereka melaungkan Allahu Akhbar adalah kerana Islam agama mereka. Tiada siapa berhak menafikan hal itu. Ia bermaksud Allah itu Maha Besar. Itu adalah slogan Muslim apabila berhadapan dengan regim yang sombong dan bongkak. Untuk siapa lagi yang hendak mereka laungkan slogan kebesaran. Tiada kaitan dengan kehendak mengujudkan “Islam state” seperti yang diidamkan oleh sesetengah gerakan.
Kenyataan Rana Kabbani ini sebenarnya suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Ramai orang dalam pertubuhan atau parti yang ingin mengujudkan “Islamic state” menyangka bahawa slogan agama, atau kesediaan rakyat berhimpun dengan mereka dalam usaha menjatuhkan sesuatu kuasa atau regim bererti rakyat bersedia untuk menerima acuan “Islamic state” yang mereka perjuangkan. Andaian yang kurang tepat. Hari ini di Mesir, selepas kejatuhan Mubarak, Ikhwanul Muslimin masih gagal mencari kata sepakat dengan banyak gerakan lain. Kebimbangan sebahagian rakyat terhadap kewujudan “Islam state” menjadi penghalang untuk menerima Ikhwanul Muslimin mengepalai mereka. Sangkaan bahawa rakyat yang bersolat dan bertakbir di Medan Tahrir, Kaherah pada hari revolusi lepas melambangkan persetujuan menerima “Islamic state” adalah andaian yang salah.
Saya baru sahaja menghadiri satu seminar tentang “Homophobia”. Seminar yang cuba memperjuangkan hak golongan GLBT ini. Saya ingin mendengar apakah idea mereka ini. Hakikatnya di Barat pun mereka tidak begitu diterima dan terpaksa merintih nasib. Inikan pula di negara muslim seperti Malaysia. Menariknya, pembentang dalam seminar tersebut juga mendakwa mereka (golongan GLBT) mempunyai sumbangan semasa perjuangan revolusi Mesir di Medan Tahrir baru-baru ini. Saya tidak pasti sejauh manakah benar dakwaannya. Cumanya yang pasti semua pihak bergabung untuk menjatuhkan regim Mubarak.
Saya teringatkan sahabat saya Muhammad Benaissa, bekas Menteri Luar Morocco — saya pernah cerita dalam artikel yang lepas — yang pernah turut menjadi fellow di OCIS, Oxford. Beliau telah kembali ke negaranya. Memang liberal pemikirannya. Beliau berkata bahawa kembalinya manusia ke masjid dan melaungkan seruan agama ketika menghadapi sesuatu regim tidaklah bermaksud mereka mahukan “Islamic state”. Hanya tabiat manusia apabila suara dan hak mereka disekat, tiada jalan yang tinggal, maka mereka akan memanggil Tuhan. Itulah pendapat beliau. Ada kebenarannya, walaupun sebenarnya ada yang benar-benar mahukan “Islamic state”. Ada pula yang hanya mengadu kepada Tuhan tanpa mempunyai sebarang hasrat tentang negara Islam. Mereka hanya mahukan hak dan keadilan. Hanya Tuhan yang sudi mendengar setelah pemerintah begitu “ketegar”.
Rakyat Muslim secara umumnya mahukan asas Islam dipegang dalam sesebuah negara. Asas itu merujuk kepada perintah-perintah Allah yang wajib diamalkan oleh seorang muslim seperti amanah, berperaturan, berprinsip, menghormati hak orang lain, terurus dan seumpamanya. Ini kerana kerosakan negara-negara umat Islam adalah disebabkan hilangnya ciri-ciri mulia dalam diri pemimpin. Rasuah, salah urus, tidak maju ke hadapan, tidak berwawasan, tidak menghormati hak rakyat dan seumpamanya adalah racun yang telah memusnahkan negara-negara umat Islam. Sebagai muslim, kita tahu hal ini bercanggah dengan perintah ajaran Allah dan rasulNya. Maka kewajipan berpegang kepada Islam bagi kepemimpinan sesebuah negara dalam kerangka ini disepakati oleh hampir semua pihak.
Namun, apabila hasrat mengujudkan negara Islam itu dilaungkan, maka rakyat akan mempunyai tafsiran yang pelbagai. Ini bukan semestinya menunjukkan mereka menentang Islam, tetapi mereka keliru apakah sebenarnya “Islamic state” itu? Sebabnya, wajah “Islamic state” itu telah diconteng oleh banyak pihak. Media Barat dan juga sikap para pejuang negara Islam itu sendiri. Taliban umpamanya telah mengujudkan negara Islam dalam satu tempoh yang telah memberikan kesan yang negative tentang kebebasan rakyat dan hak-hak wanita. Iran sebelum itu sehingga kini telah menakutkan dunia. Ribuan cerdik pandai Iran terpaksa melarikan diri kerana ancaman regim Tehran. Penjara dan pembunuhan adalah perkara biasa di Iran. “Brain drain” menjadi satu masalah kepada negara tersebut. Padahal negara itu mempunyai ramai bijakpandai. Dua orang jiran yang menjadi sahabat saya di Oxford ini merupakan dua cendiakawan Iran. Seorang pakar mysticism dan seorang pula musician. Pakar mysticism ini tinggal di Amerika dan masih dizinkan balik ke Iran. Saya sering berbincang tentang bidang kepakarannya iaitu ‘Ibn Arabi’. Beliau baru sahaja menghasilkan karya “Method and Mysticism” yang dihadiahkan senaskah untuk saya. Sementara seorang lagi, Dr Mirdad yang pada zaman mudanya merupakan seorang pejuang ketika di universiti di Iran. Beliau bersama ratusan ribu yang lain membantu revolusi menumbangkan Shah Iran. Namun, apabila kerajaan baru dibentuk, demokrasi terus dinafikan atas nama agama, beliau dan rakan-rakannya memprotes kerajaan. Hasilnya, ramai yang dibunuh. Beliau sempat menyelamatkan diri lari ke beberapa negara dan akhirnya kini menetap di Sweden. Sudah hampir 30 tahun meninggalkan negaranya dan diharamkan pulang. Demikian tokoh cendiakawan agamawa Iran seperti Mohsen Kadivar diharamkan pulang. Mohsen Kadivar mempunyai website dan artikel-artikel menarik seperti Wilayat al-Faqih and Democracy.
Negara Islam yang menjadi impian untuk keadilan, hak dan kesaksamaan telah menjadi negara mullah yang turut menafikan hak yang diidami rakyat. Hanya menukar kuasa dari yang ber”coat” kepada yang berserban atau berlebai, namun keadilan dan hak terus terabai. Lebih malang lagi, kekerasan dan penafian hak itu atas nama Tuhan dalam perkara yang Tuhan tidak nyatakan pun. Wajah negara Islam itu mengelirukan banyak pihak, apatahlagi apabila ada yang cuba menggambarkannya sebagai negara hukum yang memotong tangan, merejam wanita, memancung kepala, mengharamkan itu dan ini, mengharamkan media, mengharamkan Internet, mengharamkan pendapat yang tidak sama dengan kerajaan dan “mazhab” kerajaan dan seterusnya. Tanpa terlebih dahulu menggambarkan wajah rahmat Islam yang lebih luas yang mengatasi segala unsur hukuman yang bersifat terpencil itu. Tuhan dalam sesetengah gambaran pejuang Islamic State adalah tuhan yang penuh bengis dan garang. Sedangkan Tuhan yang dikenali oleh muslim adalah Tuhan yang berfirman tentang diri-NYA: “Sesungguhnya rahmatKU mendahului kemurkaanKU” (Riwayat al-Bukhari).
Rakyat tidak menolak Islam, tetapi mereka mungkin ragu-ragu dengan model negara Islam yang hendak ditegakkan oleh sesetengah pihak. Mereka tidak ragu dengan Tuhan, tetapi mereka ragu dengan tafsiran kehendak Tuhan yang buat. Apatah lagi apabila kelompok agama itu sering memilih pendapat yang paling sukar untuk dilaksanakan. Dalam menafsirkan hukum-hukum yang bersifat zanni (mempunyai lebih dari satu tafsiran) ada kecenderungan sesetengah pejuang negara Islam memilih pendapat yang mungkin menjadi ketakutan kepada sesetengah pihak. Umpamanya, dalam Mazhab Shafie dan beberapa mazhab yang lain; seorang Muslim yang membunuh non-Muslim, tidak boleh dihukum qisas (bunuh balas). Ini berbeza dengan Mazhab Hanafi. Begitu juga dalam Mazhab Shafie dan beberapa mazhab yang lain pampasan untuk mangsa non-Muslim yang dibunuh hendaklah kurang dari kadar yang dibayar kepada Muslim. Juga pandangan dalam mazhab bahawa Kristian dan Yahudi yang menukar agama mereka kepada agama selain Islam boleh diambil tindakan dengan dibuang negara dan seumpamanya. Demikian juga pandangan dalam kalangan sarjana silam bahawa bukan Muslim tidak boleh membina rumah lebih besar dari rumah Muslim ataupun menaiki kenderaan dalam kawasan Muslim. Pandangan-pandangan seperti ini adalah tafsiran kepada politik di zaman tersebut dalam kerangka yang tertentu. Sekalipun ada hadis yang berkaitan, namun teks dan konteks hadis hendaklah disemak.
Disebabkan kecenderungan memilih “jalur keras” dan literal dalam memahami nas-nas politik dalam Islam, maka ada tokoh-tokoh gerakan Islam menampilkan pandangan-pandangan yang dianggap terkeluar konteks politik kerangka hari ini. Ini menyebabkan generasi baru, sekali pun bertudung dan bernasyid, belum tentu bersetuju dengan negara Islam model tersebut. Menolak negara Islam yang ditafsirkan oleh sesuatu pihak, bukan semestinya menolak Islam.
Seseorang dikira menolak Islam apabila membantah sesuatu nas yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah. Nas yang tidak mungkin mempunyai lebih dari satu tafsiran seperti haramnya arak, judi, zina, homoseks, riba, rasuah, pecah amanah, bunuh dan seumpamanya. Adapun nas yang terdedah kepada pelbagai tafsiran, jika seseorang menolak salah satu tafsiran ulama, bukanlah bererti menolak Islam. Hal ini hendaklah difahami. Jika tidak, semua Muslim akan terdiri dari kalangan yang menolak Islam. Ini kerana dalam ribuan hukum, yang mempunyai ribuan tafsiran, setiap orang akan memilih tafsiran tertentu. Mereka yang bermazhab Shafie, secara tidak langsung menolak pandangan mazhab-mazhab yang lain. Begitulah sebaliknya.
Maka, menolak sesuatu tafsiran tentang negara Islam atau Islamic state, bukan semestinya menolak Islam. Namun, jika atas factor benci atau tidak setuju dengan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri, lalu menolak negara Islam, maka dia memang menolak Islam.
Hari ini di Barat, Turki nampaknya disanjung. Ramai yang memuji negara Islam moden yang cuba dibuat oleh Turki. Itupun satu lagi tafsiran negara Islam. Ya, ramai yang memuji negara Islam model Turki. Jika seseorang memilih negara Islam model Turki dan menolak model Iran atau Taliban, itu juga satu tafsiran yang perlukan perincian.
Apa yang penting gerakan Islam hendaklah mewujudkan sebuah negara yang tidak menyanggahi al-Quran dan as-Sunnah dan memenuhi inspirasi rakyat di era ini. Peduli apa pun namanya!
* Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah Visiting Research Scholar 2011-2012 di Oxford Centre for Islamic Studies, England.