21 June 2011 | Roketkini
KUALA LUMPUR, 21 JUN – Semua pemimpin Barisan Nasional dijemput menyertai perhimpunan Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kepada usaha rakyat prihatin yang mahukan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin BN lain perlu turut serta dalam perhimpunan aman itu yang dijadualkan pada 9 Julai ini.
“Ini adalah selaras dengan jemputan terbuka yang dibuat oleh Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan untuk semua parti politik termasuk BN dan semua NGO untuk menyertainya bersama rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata beliau berbesar hati untuk sama-sama berjalan untuk keadilan dan keamanan bersama Perdana Menteri dan timbalannya serta Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MCA Datuk G. Palanivel, Presiden PBB Tan Sri Taib Mahmud, Presiden SUPP Tan Sri George Chan, Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan, Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok, Presiden PRS James Masing, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dan lain-lain pemimpin BN demi pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.
Menurutnya, jika Perdana Menteri, timbalannya dan menteri-menteri kabinet serta para pemimpin BN mengeluarkan kenyataan dan menyatakan pendirian yang bersifat negarawan, ia akan menjadi hari bersejarah bagi demokrasi Malaysia.
Ini adalah kerana ia dapat mengakhiri jeritan-jeritan negatif, berpecah-belah dan membinasakan yang yang telah dibuat oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab sepanjang bulan ini, tambahnya.
Perhimpunan aman Bersih 2.0 menuntut:
1. Bersihkan senarai undi
2. Reformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media bebas dan adil
5. Masa berkempen minimum 21 hari
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor
Kit Siang mencadangkan dua tuntutan tambahan untuk Bersih 2.0, iaitu:
• Menolak dan mengecam sebarang bentuk ancaman berulangnya tragedi 13 Meri 1969 sebelum atau semasa pilihan raya diadakan; dan
• Menubuhkan kerajaan sementara (caretaker government) sebaik sahaja Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan di mana menteri dan exco tidak boleh menyalahgunakan kedudukan “sementara” untuk mengumumkan peruntukan, projek dan program.
(Pada 1975 mahkamah di India telah memutuskan Perdana Menteri India Indira Gandhi tidak layak bertanding sebagai Ahli Parlimen kerana telah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai perdana menteri sementara (caretaker PM) apabila didapati bersalah menggunakan kapal terbang negara untuk kempen pilihan raya)
Kit Siang turut menegur Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak berbuat apa-apa terhadap hasutan yang dibangkitkan oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengancam kaum Cina dan India serta mengugut “apa-apa boleh berlaku” jika perhimpunan aman Bersih 2.0 diteruskan.
Beliau mendesak Najib, Muhyiddin, Hishammuddin dan Ketua Polis Negara untuk menjelaskan mengapa Ibrahim Ali “menikmati perlindungan” sebegitu rupa walau pun jelas telah membuat hasutan dan mengapi-apikan perkauman.
Katanya, kerajaan BN bersikap tidak adil kerana bertindak pantas apabila tuduhan dikenakan terhadap mana-mana ahli atau pemimpin Pakatan Rakyat.
Sementara itu, laporan berita menyebut bahawa mahkamah sesyen Shah Alam semalam telah menetapkan 19 Julai depan untuk menyebut semula kes Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, yang dituduh menerbitkan artikel yang didakwa mengandungi ayat-ayat menghasut di laman blognya pada 30 Disember lalu.
Pada 7 Februari lalu, Shuhaimi dari PKR mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan artikel itu yang bertajuk “Pandangan saya berasaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor 1959” di laman blognya. – Roketkini.com