Erti persabahatan Pakatan

By Wan Hamidi | May 13, 2011
The Malaysian Insider

Semua orang tahu PAS, DAP dan PKR tidak akan berganjak dari prinsip perjuangan masing-masing. Itu soal dasar parti. Komponen sekular MCA, Gerakan dan beberapa lagi parti dalam Barisan Nasional yang menolak Ketuanan Melayu pun masih boleh bersahabat dengan Umno walau pun dalam senyuman pahit.

Perbezaan ketara di antara PAS yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai dasar politik dan DAP yang memperjuangkan demokrasi sosial bersifat sekular telah menjadi bahan kepada musuh politik mereka Umno untuk mengapikan permusuhan.

Yang tidak ditonjolkan oleh media arus perdana milik Umno dan Barisan Nasional ialah kesefahaman PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang berpegang kepada dasar bersama untuk menegakkan keadilan melalui demokrasi tulen yang menentang rasuah, salah guna kuasa, politik perkauman dan mempergunakan agama untuk kepentingan politik.

Sebaliknya apa yang sibuk digerakkan oleh kempen perang saraf Umno ialah mencipta fitnah dan pembohongan untuk menimbulkan syak wasangka sesama anggota komponen Pakatan Rakyat.

Tohmahan kononnya DAP terlibat dalam usaha sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara telah dijelmakan sebagai berita oleh Utusan Malaysia yang semata-mata memetik tuduhan liar blogger pro-Umno tanpa usul periksa.

Setelah beberapa hari isu ini dibangkitkan, ada kalangan pemimpin Umno sendiri yang mula menjauhkan diri daripada taktik kotor itu. Namun ia tidak akan menghentikan serangan propaganda Umno dan konco-konconya terhadap Pakatan Rakyat.

Serangan-serangan ini telah dimulakan sejak Umno dikejutkan dengan kekalahan beberapa negeri serta kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen dalam pilihan raya umum 2008. Untuk menutup kelemahan diri, para pemimpin Umno cepat-cepat menuding jari menyalahkan orang lain.

Apabila isu konspirasi agama rasmi dibangkitkan, para penyebar fitnah menyangka ia adalah kejayaan besar untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan tanpa menyedari kesan jangka panjang hasutan sedemikian terhadap keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Apa yang mereka tidak jangkakan ialah reaksi PAS dalam menangani pembohongan itu. Bukan sahaja para pemimpin PAS tidak berdiam diri, malah mereka berdiri teguh bersama DAP untuk mematikan serangan fitnah yang tidak munasabah itu.

Datuk Seri Abdul Haji Awang mengulangi pendirian Pakatan untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta kebebasan mengamalkan agama-agama lain dengan aman.

Dalam kenyataannya, Presiden PAS itu menyatakan: “Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian hiruk-pikuk yang dilemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian, adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah”.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyokong laporan tidak berasas Utusan.

“Pada hal berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu bukannya berita benar. Perkara itu dinafikan sendiri oleh golongan paderi dan DAP. Berita itu ternyata bersifat provokasi yang boleh menimbulkan suasana huru-hara di dalam negara.”

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman yang membuat laporan polis terhadap berita palsu Utusan itu pula menganggapnay sebagai satu agenda yang didalangi UMNO yang sengaja mahu meniupkan api permusuhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Mereka tahu bukan Islam tidak menyokong BN, mereka terpaksa untuk mendapat simpati dari pengundi Melayu,” katanya.

Suara Mazlan mewakili kebanyakan pemimpin dan ahli PAS yang sudah pun menghidu perang saraf Umno yang mahu memecahbelahkan perpaduan Pakatan.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan atas alasan “adakah DAP boleh perjuangkan Islam?”, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyatakan:

“Kita ada Perlembagaan, agama rasmi adalah Islam dengan raja-raja adalah ketua… jadi tak timbul soal ini…kerajaan negeri Pulau Pinang (yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng) juga tidak pernah mengabaikan soal berkaitan dengan Islam… tiada apa-apa masalah.”

Isu agama dan kaum akan terus dilontarkan oleh konco-konco Umno; tambahan pula menjelang muktamar agung PAS yang akan menyaksikan pemilihan kepimpinan parti pada Jun depan.

Ada kalangan Umno yang masih mengharapkan “wakil-wakil Umno” dalam PAS akan tunduk kepada hasrat untuk membawa keluar PAS dari Pakatan. Bagi mereka, hanya cara itu dapat menguburkan Pakatan melalui politik pecah dan perintah.

Namun, para pemimpin dan ahli PAS diingatkan oleh oleh AJK PAS Pusat Mohamad Sabu supaya berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat Umno yang semakin terdesak sejak kebelakangan ini.

“Kalau PAS keluar Pakatan Rakyat, BN akan memerintah sehingga hari kiamat sebab dia tahu kalau PAS bersama Pakatan Rakyat ini sahaja yang boleh menggugat BN.

“Sebab itu BN tiada jalan lain, jadi terpaksa mencari apa sahaja jalan bagi memastikan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, ini kerana BN bimbang kekuatan PAS dalam Pakatan Rakyat… tambahan yang boleh kalahkan Umno adalah PAS,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.

Pendirian sebeginilah yang menggusarkan pucuk pimpinan Umno; jarum hasutan mereka gagal mengubah pendirian kepimpinan PAS. Persahabatan erat PAS dan DAP dengan kerjasama PKR menyukarkan Umno dan konco-konconya untuk percaya kepada tohamahan-tohmahan perkauman serta keagamaan sempit.

Mungkin Umno tersalah jangka bahawa komponen-komponen Pakatan tidak akan membantu satu sama lain kerana pentingkan diri sendiri, dalam apa yang sering digambarkan oleh media arus perdana sebagai pakatan rapuh.

Yang nyata, formula Pakatan yang saling membantu serta mempertahankan sahabat dalam perkara-perkara yang benar dan baik sudah terbukti berjaya.

Jika pergeseran sesama sendiri dapat dikendurkan; jika perebutan kerusi dan jawatan dikurangkan; jika syak wasangka dileburkan; tidak mustahil kemantapan Pakatan akan dapat dipertingkatkan lagi.

——–

Wan Hamidi is a veteran journalist who has a penchant for rock music.

Leave a Reply